Laman Webantu KM2A1: 5272 File Size: 19.4 Kb * |
MMMM: B1 - Mana Gemilangnya Jalur Itu? By Marhain Tua 21/8/2001 10:04 pm Tue |
[Jelas kini rakyat mula serba-salah untuk memasang bendera
Malaysia walaupun ia sudah diberi nama baru 'jalur gemilang' yang
manja itu. Lagipun jalur yang dipasang dulu dibiayai oleh
MBf gagal memberi sebarang kegemilangan untunya. MBf lingkup
dihenyak rugi menggunung sebanyak RM2.6 bilion dan hutang melambak
mencecah RM1.3 bilion. Dengan kerajaan menyelamatkan MBf bermakna
wang rakyat telah diambil untuk mengongkos jalur ini seperti
kata budak kecil dalam cerpen ini. Proton adalah industri yang tidak berdasarkan meritokrasi patutlah
ia gagal untuk hidup sendiri. Ketiadaan saingan yang mencabar
menyebabkan ia asyik goyang kaki sedangkan tempoh untuk menurunkan
tarif duti mengikut AFTA sudah semakin dekat. Sampai sekarang tiada
tanda Proton mampu mencipta sesuatu yang mengancam kerana ia sudah
menjadi spesis yang terancam... sehingga Petronas terpaksa datang
menyusu dan mendodoikan.... tetapi tidak pernahpun ditangan-tangankan.
- Editor] Kelmarin anakku bersama isteri dan dua anak mereka
datang untuk bermalam di hujung minggu. Rupanya isteriku sudah
sedia tahu kedatangan mereka kerana beliau sudah lama
berbincang di telefon dengan menantunya, sebelum itu.
Tidak pula aku tanyakan apakah topiknya, kerana memang itulah
stail hidup kami selama ini. Kalau ada perkara serius yang
anak-anak dan menantu bincangkan, mereka digalakkan bercakap
mengenainya di telefon dulu. Dengan cara itu terperam segan
silu untuk bercerita benar dan menggunakan perkataan yang
mereka mungkin segan untuk menyerlahkannya bila bersemuka.
Aku boleh meneka ada sesuatu yang tidak kena, kerana isteriku
lama duduk di depan rumah seolah-olah menunggu ketibaan
mereka. Dia pura-pura membetulkan posisi pasu bunga di halaman
rumah, seolah-olah pasu itu sudah lama terabai. Sedangkan
itulah hobinya di sebelah pagi menunggukan munculnya matahari.
Namun, teka-teki itu aku peram juga kerana mahukan
keseronokan terus meneka apa yang terselindung antara
seorang ibu dengan menantu perempuannya. Apakah itu masalah
anak kami dengan tanggungjawabnya sebagai seorang suami ataupun
sebagai seorang ayah; ataupun masalah di sebelah ibubapanya
yang mungkin marah-marah, ataupun berkaitan anak mereka yang
mencetuskan masalah? Kira-kira satu tahun dulu, mereka menghadapi krisis rumah
tangga yang serupa kerana si isteri mogok sehingga memerlukan
si suami memujuk. Apabila gagal, mereka datang ke rumah untuk
mendapat petunjuk. 'Apakah kerana masalah kereta baru buat rumah tangga
bercelaru?' kataku, ketika itu. Mereka terdiam sahaja sambil berpandangan antara satu dengan
lain. Kami berbincang itu di malam hari selepas anak-anak
mereka sudah lama tidur lena. Punca perbalahan adalah soal
membeli kereta baru untuk menggantikan yang sudah lima tahun
usianya. Si isteri mahukan kereta itu ditukar dengan yang baru,
mengikut trenda selera adik-adiknya yang lain yang sudah
memiliki kereta baru semuanya. Suaminya pula bersetuju tetapi
tidak mahu menukarnya dengan jenis yang sama, kerana dia
dapat tahu kereta jenis itu banyak yang dibawa balik dari
negara luar untuk dikitar semula. Alang-alang menukar yang
baru biarlah beli yang betul-betul sahih barunya. Si isteri
masih mahukan 'Proton' juga kerana harga jual-balik memang
tinggi dan banyak pilihan warnanya. Lagi pun katanya, 'kita
menyokong industri kereta negara.'
Aku memang bersemangat dengan kata-kata menantu perempuanku
itu. Memang ada semangat nasionalisnya. Tetapi aku bertanya
hanya empat soalan sahaja untuk mereka carikan jawapannya:
Pertama, apakah kalian sedar, ada kereta 'proton' yang
dikatakan baru sebenarnya kereta kitaran semula dari negara
barat selepas digunakan sebagai kereta-sewa. Kedua, Apakah
seronoknya berkereta baru, kalau kalian mesti membayar
hutangnya setiap bulan? Ketiga, kenapakah tidak digunakan
wang yang sepatutnya membayar hutang kereta yang bakal dibeli
itu untuk kalian bercuti dengan anak-anak keluar negara?
Keempat, apakah tercemar persaudaraan kalian dengan
adik-beradik semata-mata kerana kalian tidak mengikut stail
mereka bertukar kereta? Dengan soalan itu aku pun berundur untuk tidur, memberikan
mereka peluang mencari jawapannya semalaman mungkin merujuk
dulu kepada ibu mereka sebelum memberitahu aku apa
kesudahannya. Keesokan hari, sekembali aku daripada masjid, kelihatan anak
menantuku bersama anak-anaknya sibuk mencuci kereta mereka.
Suaminya tidak kelihatan di situ. Berdetik hatiku, apakah
mereka sudah membuat keputusan menjual kereta itu seperti yang
diingini oleh menantuku? Apakah kerana itu anak lelaki kami
tidak sama mencuci keretanya? Aku diam membisu memerhatikan
senario itu di sebalik jendela sambil otak tuaku terus ligat
mencari jawapan lain pula. Tiba-tiba isteriku meletakkan tangan
di bahu dan bertanya: 'Apa yang abang fikirkan? Abang ingat
pilihan mana yang mereka putuskan?' 'Kalau melihatkan gelagat mereka,' kataku semakin percaya
anak lelaki aku sengaja tidak mahu bersama mereka ketika itu,
'mereka akan pulang dan menjual kereta itu.'
Demikianlah pendapatku kerana tahu sangat pendirian anakku.
Kalau dia membuat sesuatu keputusan dan akujanji tidak rasmi,
dia tetap melaksanakannya. Isteri aku tersenyum, memberi isyarat aku tersilap. Rupanya,
anakku pergi ke pasar dengan basikal tua aku. Memang begitu
yang dibuatnya sekali sekala membeli-belah di kedai kampung
kami sambil mengambil kesempatan bersalam mesra dengan orang
kampung dan rakannya semasa kecil dulu.
Mereka telah memberitahu ibu mereka, bahawa mereka tidak jadi
menjual kereta itu, kerana berminat mahu keluar negara untuk
bercuti sekeluarga. Aku bersyukur kepada Allah swt. kerana mendorong mereka
membuat keputusan yang tepat. Tanpa aku memberikan alasannya,
mereka mampu meneka apakah pilihan terbaik di sebalik semua
cadangan aku itu. Rupanya mereka tahu apa yang terbaiknya.
Aku berpendapat, salah satu sebab kenapa bangsaku mundur
dalam mengejar pengetahuan adalah kerana mereka terikat dengan
budaya berbelanja di luar upaya dan kepentingannya. Bangsaku
lebih gemar berbelanja untuk menunjuk-nunjuk dan cuba
menandingi apa yang ada pada wakil rakyat, ataupun para
jiran yang berada. Mereka lebih sanggup berhutang sana-sini
semata-mata mahu menunjukkan mereka mampu membeli. Soalnya
apakah wakil rakyat dan jiran yang kaya itu membelinya dengan
wang pencarian yang halal? Sebenarnya aku berbangga melihatkan semakin ramai anak-anak
Melayu yang berkereta sekarang ini. Tetapi kenapakah ramai
sangat yang membeli kereta Perodua dan Proton sahaja,
sedangkan anak-anak kaum lain membeli kereta import?
Kenapakah hanya anak-anak muda Melayu yang menyokong industri
kereta negara? Kenapakah kaum lain sanggup membeli kereta
yang dikenakan cukai import yang berganda tingginya?
Jawapannya terletak kepada faktor 'puas hati'. Mereka sanggup
berbelanja besar membeli kereta import kerana kualitinya
tinggi dan kereta itu bukan kitaran semula. Kedua, kalau
kita mesti sokong industri kereta, kata mereka, ia harus
bermula daripada orang atasan, baik di pihak swasta ataupun
kerajaan.
Pada kali ini, aku masih keliru apa pula hajat anakku datang
berziarah tanpa membawa buah tangan, seperti kebiasaannya.
Itu adalah satu isyarat bagiku. Pada kebiasaannya, anakku
datang ke rumah dengan membawa beberapa barang kegunaan di
dapur, cukuplah untuk kami makan untuk setengah bulan, tanpa
aku perlu membelinya lagi. Kadang kala dia membeli daging dan
ayam untuk ibunya buatkan rendang ataupun masak kuning yang
kemudiannya mereka bawa pulang. Tetapi, kalau dia terburu-buru, memang tidak ada masa untuk
membeli sesuatu. Ataupun dia sengaja membuat begitu kerana
mahu membeli di pasar-mini koperasi kampung sebagai kiasan dia
masih terus menyokong. Aku perhatikan sahaja air muka anakku dan melihatkan pula
wajah menantuku. Aku cuba meneka apa masalah mereka, kali ini.
Apakah mengenai kereta lagi ataupun masalah memilih destinasi
untuk keluar negara dan bercuti. Aku terlihat isteriku
berbisik dengan menantunya, sambil pelukannya masih mendakap
cucunya yang nombor dua yang sudah pun berusia lima tahun.
Cucuku yang sulung masih lagi dalam pelukan ayahnya yang
meniti tangga, sambil berhati-hati memeluk anak yang sedang
tidur-mati. Setelah memberikan mereka masa untuk berehat, kami pun makan
malam bersama walau pun sudah terlewat. Ketika itu aku
melihatkan ada keceriaan di wajah anakku dan isterinya.
Entahlah, mereka ceria dibuat-buat ataupun kerana hidangan
masakan ibu yang memang lazat. Aku biarkan sahaja isteriku
berjenaka dan turut ketawa sekali-sekala, walau pun jenaka itu
adalah lelucon purba. Memang isteriku suka mengulang jenaka
lama laksana Mahathir dengan ucapannya. Setiap kali isteriku
berjenaka semacam itu, anak lelakiku akan menjeling padaku
memerhatikan reaksi ayahnya. Kalau dia terdengar ketawaku dia
pun akan sambut dan memanjangkan hilainya satu harakat lagi.
Itu sudah semacam satu perjanjian antara kami anak-beranak
sejak dulu, mungkin seterusnya sehingga kami mati. Mungkin itu
yang membuatkan ibunya sentiasa muda rupanya, sepuluh tahun
lebih muda daripada usia sebenarnya. Sambil makan itu aku tidak nampak ada masalah besar antara
anakku berdua. Maklumlah mereka sudah berkenalan lama dan sudah
berumahtangga tujuh tahun lamanya. Dari ekor mataku aku kerap
terlihat isteriku membesarkan matanya kepada anakku itu
seolah-olah ada isyarat memulakan sesuatu. Sekali-sekala aku
terlihat juga menantuku menyiku tangan suaminya. Aku tidak
pasti apakah itu satu isyarat ataupun mereka masih bertengkar
lagi, kali ini tanpa suara dan tikaman mata, cuma dengan tangan
dan kaki. 'Anak kamu berdua sudah makan, Atan ?' Aku tanyakan dengan
selamba setelah melihat dia hampir selesai dengan
makanannya. Abdul Rahman begitulah nama anak sulungnya, sedangkan yang
kedua bernama Abdul Razak. Yang ketiga nanti mungkin Hussin On
agaknya. Yang keempat, kalau lelaki juga mungkin mereka kena
fikirkan satu nama pilihan lain. Mungkin Anwar Ibrahim
ataupun Ezam, gamaknya. Kalau perempuan yang muncul, mungkin
mereka pilih nama Wan Azizah ataupun Bahirah ataupun Siti
Farida. Pilihlah apa sahaja, kataku dulu, asalkan tidak
Rafidah, Umi Fildah ataupun Darasuntik, sudahlah.
'Belum ayah!' jawabnya pendek, seperti biasa. Dia lebih suka
bercerita panjang dengan ibunya daripada dengan aku, kerana
soalan balik itu yang tidak sanggup ditanganinya.
'Kenapa terburu-buru sangat sampaikan anak tidak diberi makan
dulu?' aku soal untuk mengacah sahaja. Supaya dia dapat
rileks sebelum mengemukakan masalahnya?
Atan mengerling wajah ibunya sambil aku dapat melihat
isterinya menyiku lagi. Dia masih tidak menjawab soalan aku
itu. 'Hai, sejak bila kalian berdua pandai main siku-siku'
Selepas dapat dua anak?' tanyaku dengan iringan sedikit
ketawa. Atan mengalihkan tangan kirinya untuk berpeluk tubuh sambil
melihat pinggannya yang sudah kosong itu. Dia melihat dulu
wajah ibunya yang memberi isyarat sesuatu yang merupakan
rahsia mereka berdua sejak dulu. Itulah cara mereka
mengalahkan aku dengan berdalih akan sesuatu untuk
menyejukkan perasaan marahku dulu. Atan sudah pun mempunyai
dua orang anak, aku masih tidak tahu apakah rahsia isyarat
antara dia dan ibunya. Aku memang biarkan perkara itu sebagai
satu harta mereka berdua - harta menyimpan rahsia mengenai
cara menipu seorang bapa. 'Begini abah....!' kata Atan sambil memandang kepadaku.
'Semalam, Tati kena marah oleh ayahnya, kerana cuba memasang
bendera pada kereta kami!' Aku tersentak dengan pendedahan itu. Aku tidak sangka itu
masalah mereka. Aku fikirkan mereka bermasalah kerana mencari
kata sepakat mengenai destinasi percutian. Ayah Tati adalah sahabat lamaku, seorang pejuang tulen. Pernah
meredah hutan hampir tiga puluh tahun lamanya, mengejar
komunis dan menumpaskan petualang komando Indonesia yang
mendarat di Johor satu ketika dulu. Johan nama orang tua
itu yang sebaya umurnya dengan aku. Aku tahu isi perutnya
kerana kami pernah tidur sebantal semasa muda dulu, cuma
mimpi kami yang berbeza selalu. Tati ataupun Hartati adalah anak sulungnya yang kini menjadi
isteri kepada anak sulungku. Walau pun dia menantuku, isteriku
amat menyayanginya seperti anak perempuan sendiri. Kadang
kala dia lebih berminat membincangkan perkara yang serius
dengan ibu mertuanya daripada dengan ibunya sendiri.
'Kenapa ayah kamu marah Tati?' tanyaku dengan selamba.
Tati terdiam seribu bahasa sambil menundukkan muka. Aku
kehairanan dengan sikapnya itu kerana dia seorang anak yang
teguh hatinya. Kadang kala dia sahaja yang berani berdebat
dengan ayahnya. Yalah....debat seorang anak dengan bapanya,
takkan dia mahu berikan ayahnya kalah, jatuhlah air muka si
ayah.... 'Begini Yang..' kata isteriku. Kalau isteriku menyebut 'Yang' aku sudah tahu maknanya. Dia
jarang menggunakan perkataan singkat bererti 'sayang' itu
melainkan untuk mengenakan aku. Tetapi, aku gembira kalau
sekali-sekala dia gunakan perkataan itu. Lebih mesra
daripada perkataan 'awak' yang digunakan oleh warga ibu tua
zaman ini. Entah kenapa agaknya, semasa muda mereka panggil
'abang' dan 'sayang'. Ada pula yang panggil 'ling' dan 'di'
ataupun 'dar' atau pun 'darling'. Bila sudah tua hangkoi mereka
tukar dengan panggilan 'awak'. Apakah itu tanda mereka sudah
kena menopos? Aku semakin hairan, apakah susahnya meletakkan secebis kain
yang dipanggil 'Jalur Gemilang' di cermin kereta, kalau hanya
sebagai simbol menyambut ulang tahun kemerdekaan. Bukannya itu
perkara baru di negara ini. Aku masih teringat satu ketika dulu apabila hampir setiap
kereta di negara ini mencacakkan satu tiang kecil dengan
sehelai kain berjalur-jalur sehinggakan menakjubkan para
pelancung. Ketika itu rakyat mudah mendengar pemimpin
kerajaan seperti Anwar. Pasang bendera di kereta katanya,
rakyat pasang jalur gemilang di merata tempat, bukan sahaja
di kereta, di bangunan tinggi-tinggi, di rumah kediaman dan
kedai. Malahan ada yang memasang bendera besar di lori
sehinggakan polis terpaksa menahan segelintir mereka setiap
hari. Kalau bendera besar yang dipasang, mereka tidak lagi
menggunakan batang penyapu sebagai tiang, mereka gunakan
batang buluh dan paip-besi sebagai penegaknya. Kalau ada tiang
telefon yang tumbang, mungkin ada yang mengambilnya untuk
dijadikan tiang. Keadaan sudah berubah kini. Laungan memasang bendera
dilaungkan di sana-sini. Lima belas juta bendera dikatakan
akan diagihkan. Menteri yang gila menajanya semakin gila
lagaknya mahukan syarikat swasta muncul dengan berbelanja
menyediakan bendera. Tetapi, bagaimanakah syarikat swasta mahu
menyediakan bendera, sedangkan bendera yang diagihkan oleh
kerajaan tidak terpasang di kereta dan tidak diketahui mana
terbangnya? Memang aku pun hairan kenapa rakyat jelata boleh bertindak
seolah-olah mereka berpakat? Tidak pun ada sebarang berita
agar rakyat bermuafakat tidak memasang bendera. Setiap waktu
ada siaran radio yang menyiarkan nombor kereta yang menang
hadiah kerana mengibarkan bendera. Tetapi, rakyat tidak juga
teringin mahu memasangnya. Satu ketika dulu bendera percuma diagihkan oleh kerajaan kerana
bendera itu ditaja oleh MBF Holdings sebuah syarikat senaraian
papan pertama di BSKL. Lebih satu juta ringgit mereka
belanjakan untuk menyediakan bendera. Orang ramai kagum dengan
syarikat itu, lagi pun pengerusinya ialah seorang anak raja
istana Negeri Sembilan yang merupakan sahabat karib seorang
maharajah tua. Aku turut kagum ketika itu kerana turut
melihatkan beberapa pencakar langit yang tertegak di Batu
Tujuh Jalan Teluk Kemang. Inilah syarikatnya yang memiliki
'World Marina Resort' di mana kondominium mewahnya dibeli oleh
rakyat asing untuk bersantai di Port Dickson.
Ketika mendengar kisah bendera tajaan MBF itu aku pun pergi
melihat apartment yang tersergam tinggi. Aku menjadi terkejut
kenapa banyak sangat apartment yang tidak terjual lagi. Tidak
berapa jauh dari situ banyak lagi apartment yang tinggi-tinggi
yang tidak berpenghuni, kerana sijil kelulusannya belum
diberikan lagi. Aku menjadi kehairanan kenapa, seperti hairannya aku kenapa
nama Port Dickson itu tidak ditukar sahaja. Apa pentingnya
menyimpan Port Dickson tanyaku pada isteri pada satu hari.
'Aha ya! ' jawab isteriku ku dengan satu kehairanan juga.
'Apa salahnya PD itu dijadikan Pantai Damai ?' tanyaku
kepada isteri yang setia. 'Mungkin mereka lebih selesa dengan panggilan Pidi saja'
katanya. 'Betul,' kataku. Kalau kita boleh tukarkan PS menjadi PK apa
salahnya tukar makna PD itu? ' 'Macam mana tu?' tanya isteriku lagi. 'PS itu kan Port Swettenham, dan kini ditukarkan menjadi PK
bererti Pelabuhan Kelang. Takkan nak tukar jadi PIS ataupun
PISS,' Jawabku. 'Macam mana tu?' tanya isteriku lagi sambil tersenyum sikit
kerana dia tahu aku mula mengusiknya. 'PIS bererti Pelabuhan Isa Samad...!' 'Aha...PISS itu apa..?' 'Entah,' kataku. Orang putih kata 'terkencing'.
Memang di waktu itu kami di PD melihatkan banyak bangunan
tinggi yang tidak ada sijil kelulusannya. Bermacam jawapan
yang didengar. Ada yang berkata kerana bangunan itu tidak
mengikuti pelan asal yang mesti menyediakan satu tangki
penyucian benda najis, yang dulu kala disalurkan terus ke
laut. Ialah semacam yang diuruskan oleh 'Indah Water'
baru-baru ini. Aku bertanya pihak yang tahu, kenapakah di saat bangunan siap
baru mahu kenakan denda kepada pemaju, sedangkan tahap kerjanya
dipantau dulu-dulu untuk menentukan mereka membuat kolam
kitaran air-kumbah itu? Ada yang mencebik sambil menggosok dua
jari seolah-olah meniru penggurup wang mengira wangnya. 'Apa
maknanya itu bang?' tanya isteriku.'Itukan tanda orang kira
duit?' jawabku. 'Kira duit ke ataupun sogok duit?' tanya
isteriku semula. Demikianlah pengalaman kami dengan MBF dan Port Dickson. Kami
gembira ketika itu melihat MBF menaja bendera percuma di
bulan merdeka. Tup-tup, beberapa minggu kemudiannya, tersiar
berita syarikat itu terpaksa di 'bailout'oleh kerajaan. 'Kalau
begitu,' tanya salah seorang cucuku, rakyat yang berbelanja
membeli bendera itu?' 'Begini bang...!' isteriku menyedarkan kau daripada lamunan
itu. 'Tati tersinggung dengan cakap bapanya kerana menegah
memasang bendera di kereta mereka.' Aku diam sahaja sambil memikirkan alasan besanku itu.
'Abah...!' kata anak sulungku dengan berlembut seolah-olah dia
simpati dengan isterinya. 'Tati kecewa kerana ayahnya marah.'
'Marah...?' soalku lagi. 'Ya...! Ayah suruh kami tanggalkan bendera itu daripada
cermin kereta dan tidak membenarkan kami memasangnya lagi.'
'Hmmm ' kataku 'Yang buat Tati terkejut, ayahnya berkata: 'Apakah kamu tahu
bendera yang terpasang itu adalah lambang betapa orang Melayu
sudah menjadi satu bangsa pariah di dunia ini?'
Aku terkejut dengan cerita anakku itu. Pariah.....? Apakah
orang Melayu sudah menjadi satu bangsa pariah di dunia ini?
....bersambung.... -Marhaintua- |