Laman Webantu KM2A1: 5284 File Size: 12.0 Kb * |
MMMM: B2A - Bendera Dalam Tamadun Manusia By Marhain Tua 23/8/2001 6:23 pm Thu |
[Bendera membawa maksud banyak perkara. Malah ia mampu
menyelamatkan nyawa (seperti bendera kecemasan). Manusia
mencipta bendera yang berpelbagai itu sebagai satu simbol
pengganti kata kerana kekuatan pandangan mata manusia lebih
jauh dari telinga. Dalam keadaan yang bising dan hingar-bangar
dalam perang misalnya, bendera lebih efektif dari pekikan
suara. Bendera jelas membawa mesej di dalamnya. Tetapi apakah mesej
di dalam bendera yang terlalu besar saiznya sehingga pelajar
pun dikerah membinanya? Bukankah itu satu budaya asing (cuba teka!)
sebenarnya? Hmmm.. lain kali fikir dulu sebelum beria-ria
membuat bendera yang asyik memecahkan rekod sahaja.....
- Editor] Bab 2A Bendera Dalam Tamadun Manusia Bendera dan panji-panji adalah sinonim dengan perasaan manusia.
Sejak manusia kenal erti tamadun, bendera telah menjadi satu
lambang yang penting untuk manusia menyerlahkan apa persaan
hatinya: bangga, marah, pilu, suka, geram, cemas, mahu menyerang,
menerima takdir dan sebagainya. Kerana itu sejak zaman dulu lagi,
kita dapati sesuatu bendera itu dianggap sebagai sehelai kain yang
bekeramat sehinggakan bendera itu dijadikan lambang yang mempunyai
unsur-unsur azimat. Kalau kita buka sejarah purba setiap bangsa yang besar di dunia
ini, kita akan dapat membaca kisah betapa bendera dan panji-panji
memainkan peranan penting dalam kemajuan tamaddun bangsa itu.
Eloklah kita rakamkan sedikit peranan bendera ketika dulu:
a) Bendera sebagai kekuatan perang:
China, Korea dan Jepun memberi penekanan kepada bendera sebagai
lambang kekuatan bala tentera mereka. Dalam kajian 'Muslihat
Perang Sun Tzu' kita diberi tahu panji-panji ataupun bendera kecil
sengaja dipasang berderetan menyaluti batang puluh yang panjang.
Apabila ditegakkan dan dilihat dari jauh menunjukkan seolah ribuan
bendera yang dipegang oleh pasukan perang. Sehingga hari ini kita
dapat lihat bendera yang berwarna-warni masih digunakan di kawasan
rumah ibadat orang Cina yang berfahaman Konfusinisme dan
Buddhisme. Raja-raja Zulu menggunakan bendera untuk berkomunikasi antara bala
tenteranya di medan perang. Waktu dulu-dulu, peperangan hanya
dilaksanakan pada siang hari; bermula matahari terbit sehingga
matahari terbenam. Kalau tiba waktu makan tengah hari pasukan yang
berperang berhenti untuk makan dan ketika itu bendera 'berehat'
dikibarkan untuk dipersetujui oleh semua pihak. Apabila selesai
makan, dinaikkan kembali bendera tanda perang semula dan mereka
mula meneruskan kerja gila. Banyak juga peperangan dulu-dulu yang boleh dikatakan lucu, kerana
cara manusia berbunuhan ketika itu. Mereka berperang hanya pada
waktu siang, lengkap dengan waktu makan dan berehat juga. Pada
waktu makan itu, pihak yang 'bermusuhan' boleh berkumpul untuk
makan bersama. Perangai yang dianggap ganjil di zaman ini adalah
satu perkara biasa di zaman dulu. Kebanyakan peperangan dulu
adalah kisah menguasai takhta dan kawasan yang kerap ditandingi
oleh pihak yang diketuai oleh adik-beradik yang baru kematian raja
dan bapa mereka. Jelas, kerana gilakan kuasa ataupun mahkota raja,
rakyat jelata disuruh berbunuhan sesama sendiri, sambil ketua yang
mengepalai peperangan saudara itu mampu berdamai untuk
menyelesaikan masalah peribadi. Peperangan saudara yang bergantung kepada rakyat jelata yang
sedia ada, selalunya tidak memakan banyak masa, kerana ketahanan
askar yang berperang baik dari segi keupayaan tenaga mahupun
keupayaan mental. Kerana itu dalam sejarah Melayu kita terbaca
bagaimana perang saudara dalam sesuatu dinasti dilaksanakan dengan
bantuan bala tentera asing yang datang membantu. Itu sebabnya
sejarah peperangan raja-raja Melayu diwarnai penglibatan askar
Bugis, Aceh, Jawa, Majapahit, Banjar, Minang, Siam dan pasukan
daripada Barat. Sekali lagi bendera memainkan peranan yang besar
kerana dijadikan alat komunikasi di medan perang.
b) Bendera Sebagai Alat Komunikasi
Mula-mula sekali bendera digunakan sebagai lambang identiti,
makanya kita ada bendera negara dan negeri serta bendera institusi
seperti bendera PBB, ataupun bendera mazhab sesuatu agama ataupun
bendera yang melambangkan status seseorang. Di zaman dulupun
ketika berkhemah di medan perang, bendera digunakan untuk
menunjukkan khemah panglima tertentu supaya mudah dilihat dari
jauh oleh pasukan bawahan yang mahu melaporkan sesuatu ataupun
menerima arahan. Pada waktu itu juga, apabila raja pergi ke medan perang, dia
membawa seisi istananya, terutama segala isteri dan gundeknya.
Mereka ini ditempatkan di khemah tertentu lengkap dengan isyarat
bendera dan panji-panji. Pada zaman itu, kalau seseorang raja
ataupun pemerintah kalah ketika berperang, statusnya turun serta
merta menjadi hamba sahaya kepada raja yang telah mengalahkannya.
Isteri dan gundeknya bertukar tangan menjadi milik raja yang
menang, sedangkan dia merengkuk dulu dalam tahanan sambil memeram
seribu kenangaan. Akan tetapi, apabila manusia semakin waras dan berfikiran jauh,
ada raja yang menghantar isteri dan anak-anaknya keluar kawasan
perang untuk menyembunyikan diri di tempat yang dikira selamat dan
disuruh pulang selepas peperangan tamat.
Apabila tamadun manusia semakin canggih, bendera digunakan dengan
lebih berperanan sehingga menjadi alat komunikasi jarak jauh yang
berkesan. Bendera menjadi alat penting ketika pelayaran laut
merupakan cara pengangkutan utama manusia. Maka dicipta pelbagai
cara berkomunikasi dengan menggunakan bendera mengikut tahap
komunikasi itu dan bidang kegunaaannya.
Kod Antarabangsa Dengan Menggunakan Bendera
Kalau kita lihat kawasan pelabuhan di mana banyak kapal sedang
berlabuh, kita akan dapati kapal-kapal yang memasang panji-panji
pelbagai bentuk dan warna seolah satu hiasan kepada kapal mereka.
Memang, adakalanya kapal dihiasi dengan panji-panji dan bendera
ketika menyambut sesuatu upacara dan majlis tertentu. Tetapi pada
kebiasaannya, setiap panji ataupun bendera kecil yang dipasang di
tiang tengah kapal adalah isyarat yang ditujukan kepada kapal lain
ataupun kepada pihak berkenaan di pantai.
Bendera kecil yang dijadikan bendera isyarat itu dibuat dalam lima
warna sahaja: merah, biru, kuning, hitam dan putih. Bentuknyapun
berbagai-bagai, ada yang empat segi seperti yang digunakan dalam
perlawanan bola dan ditampal di bahagian dalamnya dengan warna
tertentu untuk menjadi simbol aksara (huruf), setiap satu; ataupun
mempunyai makna tertentu apabila dinaikkan di tiang bendera. Ada
juga panji-panji yang berbentuk kon terbaring, yang mempunyai
pelbagai warna tertentu sebagai nombor ataupun angka ataupun
isyarat ulangan dan gantian. Terdapat dua puluh enam bendera
'kotak' yang merupakan lambang abjad, sepuluh bendera kon yang
melambangkan angka, satu bendera isyarat memberikan jawapan dan
tiga bendera berbentuk kon yang digunakan sebagai pengulang
ataupun isyarat pengganti. Semua bendera yang digunakan itu mempunyai lebih dari satu makna.
Bergantung kepada posisi ia dipasang, makna sesuatu bendera itu
berubah dan perlu difahami oleh yang melihatnya. Umpamanya,
bendera yang melambangkan huruf 'T' ataupun 'Tango', boleh juga
mempunyai makna sebagai ingatan supaya kapal lain tidak merapati
kapal yang memasang bendera kecil itu. Begitu juga dengan bendera
yang menjadi simbol 'P' ataupun 'Papa', kalau dipasang sendirian,
ia dipanggil bendera 'Blue Peter' yang memberi isyarat semua
awak-awak ada di kapal kerana bersiap sedia mahu belayar.
Dengan lain perkataan, dalam dunia maritim hingga ke hari ini, di
sebalik segala kecanggihan ICT, bendera dan panji-panji menjadi
lambang komunikasi yang penting. Ada tujuh tahap komunikasi dalam dunia maritim: Satu, menggunakan
setiap bendera untuk makna yang tertentu. Isyarat yang
menggunakan dua bendera selalunya merangkumi isyarat kecemasan
ataupun isyarat pengendalian kapal. Isyarat menggunakan tiga
bendera selalunya mengenai mata-angin, arahtuju, waktu, tandakata
dan kata-kerja, nokhtah, pengiriman kod dan pembatalan kod.
Isyarat menggunakan empat bendera adalah untuk nama-nama kapal,
halatuju dan isyarat ilmu alam dan sebagainya. Isyarat lima
bendera adalah untuk kedudukan kapal dan waktu. Isyarat 'enam
bendera' adalah untuk menunjukkan hala utara, selatan, timur dan
barat dan juga kedudukan di longitude dan latitude. Isyarat tujuh
bendera adalah untuk memberikan gambaran kedudukan pada garisan
'longitude' (bujur) yang melebihi satu ratus darjah.
Sila rujuk: International
Marine Signal Flags dan The
Semaphore Flag Signalling System Contohnya:
AC: Saya mahu tinggalkan kapal (mungkin kapal tengah terbakar.
Isyarat ini harus difahami oleh pengikut totok UMNO)
AN: Saya memerlukan seorang doktor, maksudnya doktor perubatan
asalkan bukan Mahathir ataupun isterinya ataupun Ling Liong Sik
ataupun doktor pakar bakar jambatan) BR: Saya perlukan sebuah helikopter. CD: Saya perlukan bantuan segera. NC: Saya sedang cemas dan menunggukan bantuan.
DV: Saya sedang hanyut EF: Kecemasan S.O.S. ataupun MAYDAY. Ingatkan ejaannya, bukan
'MEHDET' GW: Ada orang terjatuh di laut, tolong selamatkan dia. (Yang ini
mungkin banyak dipasang tidak lama lagi di rumah orang UMNO).
QD: Saya (kapal) akan maju ke hadapan
QT: Saya (kapal) akan gostan. ZL: Isyarat anda sudah diterima tetapi tidak dapat difahami.
Bendera sudah menjadi lambang perasaan manusia. Di Singapura di
zaman dulu-dulu ketika British masih lagi menjajah, umat Islam
memasang bendera kecil berwarna putih sebagai tanda ada kematian.
Bendera itu dipasang daripada halaman rumah si mati sehingga jalan
besar, sebagai panduan orang luar datang menziarah.
Di negara maju, setiap kilang dan pejabat mengibarkan bendera
syarikat masing-masing setiap hari sepanjang tahun, dan bendera
khas itu menjadi simbol kemegahan warga pekerjanya. Begitu juga di
bidang permainan, setiap pasukan ataupun kelab permainan mempunyai
bendera dan panji-panji sendiri yang dianggap oleh para penyokong
sebagai sehelai kain sakti yang mereka sanjungi.
Kita dapat melihat bagaimana negara luar memberikan sanjungan yang
tinggi kepada bendera negara mereka, setiap kali ada acara sukan
yang besar-besar dipertandingkan. Setiapkali seseorang pemenang
sesuatu acara mendapat tempat nombor satu, dia akan mencari
bendera negaranya dan berlari mengelilingi balapan sambil
mengibarkan bendera itu dan melambaikan tangan kepada para
penonton. Bendera yang menyelimuti badannya ketika itu adalah
hadiah besar kepada jiwa dan semangatnya betapa dia menang
bertarung untuk negaranya. Kesetiaan manusia terhadap sesuatu bendera menjadi satu bentuk
ketaksuban disebabkan bendera sudah memainkan peranan yang besar
dalam tamadun moden. Jikalau kita lihat bendera Amerika Syarikat
yang diberi nama 'The Old Glory ' ataupun 'Star-Spangled-Banner'
kita akan dapat mengikuti betapa setiap lipatan daripada '12
lipatan (12 folds)' mempunyai contoh dan makna yang tersendiri.
Lipatan ini adalah merujuk kepada bentuk bendera itu dilipat
selepas diambil daripada keranda mayat yang ditutupinya. Setiap
lipatan ataupun kedut lipatan itu membawa makna yang sungguh besar
dan menaikkan semangat orang Amerika, kerana bendera merupakan
lambang peperangan saudara mereka dulu sehingga penyatuan menjadi
sebuah negara berpersekutuan. ....bersambung.... -Marhaintua-
|