Laman Webantu KM2A1: 5285 File Size: 14.9 Kb * |
MMMM: B2B - Bendera Dalam Tamadun Manusia By Marhain Tua 23/8/2001 7:56 pm Thu |
[Cinta bukan sesuatu yang boleh dipaksa atau dipujuk dengan
pemberian percuma agar dipuja - apatah lagi oleh orang yang
ketiga. Bukankah itu rasuah namanya? Jika kerajaan mahu rakyat menyukainya ia perlu melakukan apa
yang dicintai dan dimahukan oleh rakyatnya - bukan sebaliknya.
Jika kerajaan memang berkhidmat kepada rakyat, secara automatis
cinta itu akan berputik dengan sendirinya tanpa perlu banyak
berkata-kata. Sebaliknya kerajaan amat memilih dalam memberi,
dan kerapkali melantik secara terbang insan tertentu bukan
berdasarkan meritokrasi. Patutlah polisi kerap diubah kerana
asyik tidak menjadi... 'There's only one thing we learn and ever will in history,
the fact that we never learn anything from it.' -My History Teacher-
- Editor] MMMM Bab 2B Bendera Dalam Tamadun Manusia Setiap rakyat di mana jua dia berada sudah ditanam cintakan
bendera negaranya sejak kecil lagi. Semasa berada di pra-sekolah
lagi anak-anak kecil diasah mengenal bendera negaranya dan
digalakkan memegang bendera itu sambil menggoyangkannya. Apabila
semakin dewasa, tangan yang diajar menggoyang bendera kecil itu
terus menggoyangkan genggamannya ketika dia membesar seolah-olah
bendera kecil itu masih ada di tangan. Sekaligus, setiap kata-kata
yang ditegapkan dengan genggaman dan hayunan tangan itu adalah
disertai oleh semangat ayunan bendera negaranya. Demikianlah
seterusnya apabila insan itu membesar dan menjadi dewasa sehingga
ada yang mampu menjadi wakil rakyat. Setiapkali tiba bulan kemerdekaan (Ogos) ada sahaja menteri
kebinet Mahathir yang sibuk-sibuk mahukan rakyat menghiasi
bangunan, pejabat, kediaman dan kereta dengan bendera Malaysia.
Ini adalah satu amalan lama yang difikirkan dapat menarik semangat
rakyat jelata untuk mengikuti ajakan itu dan diharapkan bendera
Malaysia berkibaran di seluruh negara.
Malangnya, rakyat sudah bosan dengan ajakan itu kerana sudah lama
sedar, tidak ada gunanya menyahut seruan dan ajakan kerajaan
mengibarkan bendera itu sedangkan ajakan dan rayuan rakyat agar
kerajaan mendengar rintihan mereka tidak pernah didengar dan
diberikan perhatian. Kalau dibaca dan didengar segala propaganda kerajaan mengenai
usaha mengibarkan bendera itu, ia membuatkan rakyat 'fed-up', mual
dan jelak sehingga tercetus perasaan marah dan benci yang tidak
ada tepiannya. Secara senyap-senyap dan secara tidak ada sesiapa yang perlu
mendahului ataupun mengepalainya, rakyat marhaen enggan
mengibarkan bendera itu walaupun ia diberikan dengan percuma.
Rakyat masih belum lupa kisah pemberian dan hadiah bendera
'tajaan' MBf satu ketika dulu dengan berkesudahaan kerajaan
terpaksa menyelamatkan syarikat itu. Sekaligus, yang sebenarnya
membeli bendera itu adalah rakyat juga.
Dulu, kos tajaan dikatakan satu juta ringgit. Kali ini kos tajaan
Maybank dikatakan lima ratus ribu ringgit. Sekaligus rakyat naik
marah, apakah yang dikatakan satu juta ringgit dulu itu
benar-benar digunakan untuk membeli bendera ataupun sebahagiannya
masuk ke saku sesiapa? Demikianlah kisahnya kini, apabila sesiapa merencana sesuatu untuk
mempropagandakan kerajaan yang tidak siapa yang mahu lagi. Hanya
kerana sehelai bendera yang diberikan percuma untuk rakyat terima
dan kibarkan semula, sudah menjadi satu tandatanya mega yang bukan
kepalang aibnya. Dalam budaya Melayu dan juga budaya orang timur, apabila pihak
atasan meminta ataupun bersunguh-sungguh mengajak golongan bawahan
melaksanakan sesuatu kerja, ajakan itu adalah sinonim dengan
arahan. Jarang sangat arahan itu ditolak mentah-mentah. Di zaman
Singapura di langgar todak, penasihat istana mengsyorkan raja
meminta rakyat menahankan betis mereka di pergigian air untuk
menahan serangan todak, rakyat yang gila-babi telah mematuhi titah
diraja dan sanggup membiarkan betis mereka rabak ditombak ikan.
Mujur, muncul seorang anak muda yang memberitahu raja, gunakan
sahaja batang pisang. Jika tidak, ramai orang Melayu ketika itu
tidak berkaki lagi. Apakah terjadi akhirnya kepada anak muda yang memberikan
pendapatnya itu? Dia dihukum oleh raja akhirnya disebabkan orang
besar istana cemburu dan takutkan kepintarannya.
Malangnya di zaman Melayu sudah mengenal ICT dan ketika seorang
Maharajah Melayu (lantikan dan pertabalan sendiri) sibuk mengajar
dunia bagaimana mahu menjadi bangsa yang celik ICT, ada menteri
haprak yang tergila-gila mahukan rakyat mengibarkan bendera.
Apakah dia tidak sedar, rakyat tidak akan mengibarkan bendera itu
selagi tidak dipaksa? Apabila rakyat mengibarnya kerana terpaksa,
apakah pula akibatnya? Rakyat enggan mengibarkan bendera Malaysia kerana mereka mahu
bersikap kurang ajar. Mereka kurang ajar kerana mereka naik muak
melihatkan wakil rakyat telalu lama sangat dan galak sangat
bersikap kurang ajar. Perdana menteri Mahathir Mohammad dan segala
kabinetnya, menteri besar dan ketua menteri dan segala wakil
rakyat BNUMNO mesti sedar, apa juga pangkat dan gelaran yang
dianugerahkan kepada mereka oleh istana, pada asasnya mereka
adalah wakil rakyat. Sama ada mereka menjadi wakil rakyat dulu
dengan undi yang bersih tanpa undi hantu serta undi tipu, mereka
memegang jawatan yang ada sebagai wakil kepada rakyat. Tidak
kiralah kalau lebih tiga ribu pengundi yang memangkah kertas undi
di Kubang Pasu adalah mereka yang berusia antara 80 hingga 100
tahun. Pemenang pemilu yang mengalahkan Haji Subki Latif dulu kini
bergelar wakil rakyat, walaupun dia kini menjadi seorang perdana
menteri dan sekaligus naik tanpa sebarang meritokrasi.
Hakikatnya, kalau seseorang itu adalah seorang wakil rakyat, dia
mesti menjalankan tugas menepati hasrat dan harapan yang
diamanahkan oleh rakyat. Tetapi, apakah ertinya apabila seorang
wakil rakyat sengaja tidak pergi besidang di parlimen, kerana dia
mampu menerima tayangan lintas langsung di pejabatnya ketika
parlimen bersidang? Apa tujuannya berhibur di luar negara setiap
kali parlimen bersidang? Apakah maknanya seorang ahli parlimen
seperti Tun Daim bin Zainuddin dan Tun Gahaffar bin Baba mengambil
cuti panjang untuk tidak menghadiri sidang parlimen? Bukankah
sidang parlimen itu salah satu tugas mereka mewakili rakyat dan
membincangkan masalah rakyat? Rakyat Malaysia tidak kira apa juga kaum dan puaknya, ataupun
apakah ideologi parti mereka termasuk UMNO, MIC, MCA, PAS, DAP,
Keadilan, PBS dan banyak lagi; sudah sedar bahawa masa untuk
Mahathir dan UMNO meneruskan usaha merobotkan mereka, sudahpun
berlalu. Saya pernah menulis panjang lebar mengenai hal ini setahun dua
yang lalu. Sejak itu proses merobotkan itu masih berterusan. Yang
menjelekkan ialah proses merobotkan cara rakyat berfikir. Dulu,
kerajaan mengugut sesiapa yang menyebut bahawa Episod Sauk adalah
satu sandiwara akan ditangkap. Tetapi, cuba ikuti perjalanan
mahkamah sekarang ini dan teliti apakah akuan mahkamah mereka yang
sedang dibicarakan. Bukankah keterangan yang mereka berikan itu
sudah menjelaskan bahawa Sauk adalah satu kerja musibat untuk
bersandiwara? Kemudian pada awal tahun ini tercetus kisah Kampung Medan.
Kerajaan sibuk dengan usaha meleraikan rusuhan kaum. Yang anihnya
orang yang meneroka Kampung Medan berkata bahawa muka yang buat
kacau adalah muka orang luar. Sekaligus mereka memberi sindiran
bahawa rusuhan kaum di Kampung Medan adalah rusuhan yang
dirancang. Sekali lagi kerajaan membuat ugutan menangkap sesiapa
yang mengatakan perkara itu satu sandiwara. Dengan kuasa Allah
dalam satu bulan selepas meledaknya 'rusuhan' itu muncul berita
bagaimana satu 'platun' pasukan polis gerak-gempur di Kelantan
mengidap wabak ta'un yang mereka dapat ketika berada di Kampung
Medan. Kenapakah mereka yang digerakkan bertugas di Kampung Medan
sedangkan beribu polis gerak gempur di Lembah Kelang?
Soalnya sekarang apakah perasaan ahli keluarga mereka yang kini
merengkok kerana sandiwara Sauk? Bagaimana kisah anak isteri dan
sanak saudara mereka yang menanggung aib ataupun kehilangan orang
yang menyara hidup mereka? Bagaimana pula dengan warga Kampung
Medan yang menderita dengan episod 'rusuhan kaum' dulu? Apakah
mereka ini semua tidak mempunyai saudara mara yang turut
menanggung aib dan keperitan penyiksaan yang menimpa?
Apakah perasaan orang-orang ini apabila disuruh mengibarkan
bendera Malaysia sebagai satu lambang patriotisme dan
nasionalisme? Mereka akan menjawab, setiap kedutan dalam kibaran
bendera jalur gemilang itu adalah laksana kedutan penderitaan yang
mereka tanggungi. Hanya beberapa minggu yang lalu, Mahathir telah mengaibkan orang
Melayu dengan isu meritokrasi. Ini adalah rentetan Dewan Tunku
Canselor yang 'dibakar' mengikut istilah seorang yang bergelar
timbalan menteri bernama Kayveas. Tanpa mahu mengambil kira pengorbanan dan penderitaaan orang
Melayu selama ini yang merelakan tanah tumpah darah mereka diliwat
oleh sekumpulan penyamun dan lanun pimpinan seorang pemimpin yang
naik tanpa meritokrasi dan disokong oleh satu kabinet yang
sebahagian besarnya dianggotai oleh manusia yang tidakpun layak
berada di sana, Mahathir sudah menghina orang Melayu seluruhnya
apabila dia mensyaratkan isu meritokrasi kepada pelajar Melayu.
Kita akan bincangkan perkara ini lebih panjang dan terperinci
lagi, Insya Allah. Tetapi setakat ini kita mahu rakamkan beberapa perkara dengan
soalannya dulu: Apabila Mahathir menyebut meritokrasi untuk pelajar Melayu, apakah
kriteria meritokrasi yang digunakannya untuk menggunakan wang
ringgit simpanan orang Melayu untuk menyelamatkan perniagaan
anak-anak dan para kroninya? Apabila Kayveas diarahkan membuat pengumuman bahawa Dewan Tunku
Canselor dibakar kerana sabotaj, apakah Kaveas mempunyai
meritokrasi untuk menjadi seorang timbalan menteriyang lebih pakar
daripada pakar yang bertugas di Jabatan Bomba?
Apabila Aziz Shamsuddin mahu mengarahkan setiap guru dan pelajar
menandatangani akujanji dengan kerajaan, apakah dia menepati
meritokrasi terunggul menjadi seorang timbalan menteri? Apa jadi
dengan kes perbicaraan juruteknik PLUS yang cuba menukarkan cek
atas nama isteri pertama Aziz dulu? Kenapakah kes itu dipengapkan
sahaja sedangkan rakyat mahu tahu bagaimanakah syarikat 'mineral
water' boleh membayar wang sebanyak itu kepada isteri seorang
bakal timbalan menteri. ? Kita boleh menjangkakan ada usaha ugutan mengarahkan rakyat
mengibarkan jalur gemilang menjelang 31 Ogos ini. Kalau kerajaan
tidak bertindak ke arah ini, bererti kerajaan akan kalah dalam
memerangi rakyat. Selama inipun kerajaan telah memusuhi rakyat.
Jika tidak, masakan parti pembangkang tidak boleh berceramah
secara terbuka, akhbar pembangkang dicatu terbitannya. Kerana
regim Mahathir memusuhi rakyat makanya perhimpunan bebas tidak
diizinkan dan apa juga usaha rakyat berkumpul membincangkan masa
depan mereka diganggu-gugat oleh kerajaan Mahathir.
Menyedari bahawa penasihat utama Mahathir adalah sekumpulan
manusia yang sudah sewel dan gila pangkat seperti Aziz Shamsuddin,
Zainuddin Maidin, Hamid Osman, Rais Yatim, Sanusi Junid, Rahim
Tamby Chik dan banyak lagi, apakah kesudahannya?
Besar kemungkinannya negara ini akan terus dilanda musibah
bikinan manusia. Inilah yang telah berlaku pada Liberia yang
membuatkan seorang sarjan (Jeneral Samuel Doe) merampas kuasa dan
menjadi diktator. Ataupun huru hara yang pernah berlaku di Uganda
di mana seorang bekas tukang masak (Amin Dada) akhirnya menjadi
seorang diktator. Atapun seperti yang berlaku di Burma apabila
junta tentera naik dan menghapuskan segala warga istana di negara
itu dan terus berkuasa sehingga kini.
Semua ini adalah serba mungkin kerana apa yang berlaku sekarang
menunjukkan satu muslihat menukarkan haluan demokrasi yang dipacak
oleh kumpulan Tunku Abdul Rahman Putra dengan sokongan orang
Melayu, perlahan-lahan berubah menjadikan negara ini menganut
beberapa unsur fasisme yang semakin ketara.
Semua kejadian dan peristiwa yang dilakonkan termasuk debat
olok-olok UMNO-PAS adalah satu rancangan mega yang bertali arus
untuk memesongkan orang Melayu daripada memberi sokongan kepada
parti lain selain UMNO. Segala kerja jijik memburukkan orang
Melayu dan mengaibkan setiap golongan Melayu yang dianggap
berpotensi sebagai bahaya kepada Mahathir dan pakpacaknya
diperangi dan diaibkan dan ditangkap bawah ISA walaupun mereka
tidak berbuat sebarang dosa. Rakyat amat menyedari perkara ini dan sekarang sedang bangkit
memeranginya secara bersendiri. Kali ini rakyat itu adalah marhaen
Malaysia tidak kira apakah dia bertugas sebagai peniaga, pelajar
universiti, ahli bomba, polis ataupun tentera, guru ataupun apa
sahaja yang mencari rezeki yang halal. Mereka mulakannya dengan
menolak sebarang usaha dan ugutan untuk mengibarkan bendera
Malaysia, tidak kiralah apa nama lain yang mereka berikan kepada
Jalur Gemilang itu. Ulangtahun kemerdekaan hanya sekitar seminggu lagi. Kita mahu
lihat apa yang akan Mahathir katakan dan lakukan. Apa lagi yang
akan direncana untuk memusuhi rakyat jelata, rakyat akan sedia
menantinya seperti penantian sehelai jalur gemilang berkibar di
angin lalu tanpa menyedari berapa lama dia mengibar hala itu.
Kebanyakan rakyat marhaen yang mogok daripada mengibarkan bendera
Jalur Gemilang itu, sudah lama ternampak bayang-bayang bendera
lain yang sedang berkibar sebenarnya. Itulah bendera hitam, yang
mempunyai lembaga putih menyurupai tengkorak manusia di
tengah-tengah dengan dua tulang bersilang di bawahnya. Di bawah
tulang manusia yang bersilang itu ada yang terbaca nama 'Mahathir'
di sana. Ada yang ternampak nama Aziz Shamsudin, Zam Mamak,
Rafidah, Daim, Eusoff Chin, Augustine Paul, Ariffin Jaka, Patil
Brothers, Mokhtar Abdullah, Megat Joned, Yusuf Noor, Umi
Darasuntik, Jin Shamsuddinh, Khalid Jaffari, Sanusi Junid, Halim
Saad, Tajuddin Ramli, Kaveas, Samy Vellu, Eric Chia, Vincent Tan,
tengku Adnan, Khalil Yaakob, Ali Rustam, Shahidan Kassim, Isa
Samad, dan banyak lagi. Salahkah kalau rakyat marhaen terus mogok dan mencemekkan muka
terhadap apa yang dikatakan semangat patriotisme itu?
-Marhaintua- |