Laman Webantu KM2A1: 5293 File Size: 11.9 Kb * |
MMMM: B3A - Kebangkitan Reformasi Di Malaysia By Marhain Tua 24/8/2001 8:37 pm Fri |
[Reformasi tetap tidak berkubur walaupun beberapa pemimpin pembangkang
dan pelajar ditangkap. Sebaliknya setiap tangkapan itu telah melahirkan
kebangkitan yang tidak terduga. Baru-baru ini Reuters memaparkan gambar
seorang kanak-kanak berdemo bersama poster anti ISA. Apakah polis berani
menangkap kanak-kanak ini? Bab 3A: Kebangkitan Reformasi Di Malaysia
Hukum Karma Yang Mula Bergema Apabila kita sebut reformasi di negara ini, berapa ramaikah rakyat negara
ini yang sedar, siapakah sebenarnya yang mendukung semangat reformasi itu?
Kenapakah tidak ramai dari mereka yang datang daripada golongan yang berada
dalam UMNO sedangkan datuk moyang mereka dulu dikatakan pejuang UMNO?
Kenapakah yang paling ramai bertungkus lumus adalah generasi dan zuriat
generasi yang benar-benar berjuang mendapatkan kemerdekaan daripada British?
Ataupun mereka yang mempunyai pertalian darah dengan warga masyarakat
Indonesia dan nusantara? Pergerakan reformasi di Malaysia adalah satu pergerakan yang amat unik yang
tidak ada awalannya (precedent) di dunia ini. Pergerakan reformasi yang
digerakkan oleh Barisan Alternatif sebenarnya merupakan satu semangat
setiakawan satu golongan rakyat negara ini yang muak dengan pemerintahan
yang disebut demokrasi 'my-way' yang dicipta oleh seorang diktator tua yang
sudah sewel, tetapi terpaksa diampu agar terus bernyawa kerana orang-orang
yang mengampu itu mahu terus bernafas lega. Lantas, demokrasi 'my-way'
bertukar menjadi demokrasi 'our-ways' (acuan kita) yang tertumpu kepada
mengekalkan kuasa kerana kuasa yang ada itu amat penting untuk terus
bernyawa. Semangat reformasi yang kian membara ini akan terus berbara tanpa hentinya
sehingga ia menyala dengan semaraknya menunggukan saat penentu bila-bila
masa. Inilah semangat setiakawan yang tidak ada contohnya sebelum ini dan
yang sudah pasti akan dicontohi di tempat dan negara lain selepas ini.
Belum pernah terjadi sebelum ini, rakyat yang berbilang kaum dan agama serta
fahaman budayanya, bersatu di bawah pelbagai panji fahaman ideologi hidup.
Mereka mahukan kedamaian negaranya dan impikan kesenangan generasi yang akan
datang. Mereka sedar, impian itu akan tercapai hanya apabila Mahathir bin
Mohammad diturunkan daripada takhta regim diktator yang dipertahankannya
selama ini. Satu ketika dulu rakyat negara ini diganyang oleh penjajah kerana kewujudan
komunis yang mahu menggulingkan kerajaan. Akan tetapi, berapa ramaikah
komunis di hutan ketika itu berbanding bilangan askar orang putih dan
askar-askar negara Komanwel yang dibawa untuk mengganyang mereka? Berapa
ramaikah askar British yang mati terkorban kerana pertempuran dengan
komunis? Kenapakah tidak dipertikaikan betapa lebih ramai rakyat British
yang mati kemalangan jalanraya daripada bilangan yang mati dalam hutan
bertempur dengan pengganas komunis? Kenapa pula tidak diungkit, kalau benar
komunis mahu menjahanamkan askar British dulu, mereka hanya perlu menunggu
di selekoh jalan yang berbengkang-bengkok untuk menyerang hendap askar-askar
di situ? Private Jack Crossley yang kemudiannya menjadi pengarang berita Daily Mail
telah menulis jumlah angkatan tentera yang memerangi pengganas komunis
ketika itu seperti berikut: 'Selama 12 tahun, pengganas komunis telah
menyulitkan 50,000 anggota tentera, 60,000 anggota polis dan 200,000 (dua
ratus ribu) anggota home Guard - sila baca www.pressgazettge.co.ul/Features.aspx?ContentID=45 - yang terkini bertarikh
14 Jun, 2001. Apabila diteliti kembali semua stastistik dan peristiwa sebegini, tentu
timbul tandatanya, apakah benar komunis di hutan dulu sungguh berbahaya?
Jawapan kepada soalan ini akan berbunyi 'Ya!!!!!' kerana kita terpaksa
mengambil kira ratusan perkampungan baru penempatan semula masyarakat Cina
khasnya yang ditaja oleh British di bawah pemerintahan Jeneral Templar.
Inilah projek yang menyeluruhi negara sebaik beliau tiba menggantikan Sir
Henry Gurney yang mati diserang hendap di Bukit Fraser.
Masyarakat Cina yang ditempatkan di perkampungan baru itu diberikan bekalan
air dan lampu serta makan percuma melalui masakan berpusat kerana Templar
fikir komunis boleh dihapuskan dengan cara itu. Warga perkampungan itu
dibenarkan keluar mencari rezeki di siang hari dengan bekalan makan dan
minum peribadi yang cukup untuk digunakan seorang diri selama sehari. Cara
ini menidakkan komunis di hutan daripada mendapat bekalan makanan mereka.
Tetapi apakah berjaya rencana itu? Jawapannya 'Tidak....!!!' kerana bekalan
harian yang dimasak itupun dikongsi sama dengan penghuni hutan di tempat
kerja. Air hitam yang disangka kopi rupanya kicap yang dibekalkan dan
diseludup membolosi pemeriksaan rapi pihak polis dan tentera di pertengahan
jalan. Bingkai basikal digunakan untuk diisi tempat yang lompong dengan
beras dan gula serta garam dan apa juga bekalan makanan yang berharga.
Buah nenas yang difikirkan boleh menjadi santapan ketika berehat di ladang,
telah dikerobok isinya dulu untuk dimuatkan dengan bekalan makanan kering
dan dicantumkan kembali kelongsong nenas itu menggunakan pencungkil gigi
sebagai penyambungnya. Apa sahaja yang boleh dimakan diisi dalamnya; tauhu,
tauchu, daging salai dan apa juga mengikut selera pemintanya.
Penoreh getah ataupun pendulang bijih dan emas yang membawa bekalan itu
semua menanggung risiko ditangkap dan diseksa. Tetapi mereka lakukan juga
bukan kerana mereka bersimpati dengan perjuangan komunis tetapi kerana
ugutan terhadap nyawa mereka. Mereka dipaksa melakukannya kerana diugut
ataupun kerana diberikan upahan yang sungguh lumayan, mengatasi pendapatan
seminggu kalau si pembekal bekerja setiap hari sebagai penoreh ataupun
pendulang. Bayangkan rakyat marhaen di perkampungan baru keluar mencari
kerja di hutan belantara membawa bekalan untuk komunis yang mempunyai banyak
wang. Pada waktu yang sama, komunis yang berwang sanggup menghuni hutan
rimba hanya memikul senjata dan membeli bekalan makanan dengan harga yang
tinggi pula. Tetapi, komunis mempunyai bekalan wang yang banyak kerana
dibayar oleh tauke-tauke yang takut perniagaannya dirosakkan oleh pasukan
komunis. Ada juga tauke-teuke yang melakukan bayaran yang mahal itu secara bulanan
kerana mahukan monopoli perniagaannya di sesuatu tempat tidak disaingi oleh
orang lain. Contohnya ialah perniagaan melombong bijih, besi, emas dan
pembalakan serta penghasilan buluh dan rotan. Apabila sistem masak-kawah
dilaksanakan seluruh negara di kem penempaan semula orang Cina dan Melayu,
ada taukeh yang mendapat kontrak pembekalan makanan itu yang menaja pihak
komunis agar membuat sandiwara serangan pada malam hari di kem tahanan itu,
untuk memperteguhkan lagi perniagaan mereka.
Setiap kali kerajaan berura-ura menghentikan sistem masakah berkawah, setiap
kali itu juga ada serangan hendap di kawasan tertentu oleh pihak 'komunis'
terhadap pasukan keselamatan ataupun terhadap pegawai daerah British yang
berkereta di sesuatu tempat. Serangan hendap seperti itu tidak menjejaskan
nyawa. Sekali sekala ada pula bas sekolah di pagi hari yang ditahan untuk
dibakar. Semua ini adalah lakonan yang direncana oleh pihak tertentu untuk
memberikan gambaran bahawa komunis masih mengancam.
British mempunyai ketumbukan udaranya di Malaya ketika itu, walaupun pesawat
yang dikerahkan di rantau sebelah sini adalah pesawat yang sudah berusia 35
tahun. Pesawat itu tidakpun digunakan untuk mengebom komunis, kerana kos bom
yang mahal. Cuma sekali-sekala British menggugurkan bom kimia jenis 245-T
yang diperolehinya dalam Perang Dunia kedua daripada Simpanan Jerman dan
Itali. Sila baca: https://www.tripod.com/twgas2.html. Penggunaan kimia ini
telah banyak memusnahkan kebun getah kepunyaan orang Melayu di
kampung-kampung sehinggakan ramai yang terpaksa lari masuk ladang kepunyaan
orang putih untuk meneruskan pencarian nafkah hidup mereka. Kesan bom kimia
itu adalah menggunakan teknik 'defoliation' (menggugurkan daun) yang
kemudiannya ditiru oleh Amerika di Vietnam.
Yang peliknya pengeboman cara itu tidak pula digugurkan pada ladang
persendirian yang dipunyai oleh tauke-tauke Cina yang kaya raya dan
bersahabat baik dengan tuan-tuan pegawai polis ketika itu.
Penjajah British merakamkan bahawa perkampungan baru (Cina) itu adalah satu
projek yang memberikan kejayaannya. Itu merupakan propaganda mereka, kerana
itu mereka turunkan sasaran taaf kejayannnya. Mereka berjaya membendung
komunis di hutan daripada mendapat bekalan dengan mudah, tetapi, tidak ada
seorangpun komunis yang mati kebuluran. Lagipun ketika merencana pembinaan
perkampungan baru dulu, matlamat tertingginya ialah menghapuskan komunis
sama sekali. Penjajah British amat berbangga dengan ciptaan Templer, kerana mereka
canangkan di London bahawa perkampungan baru Cina merata negara adalah
jawapan pintar mengurangkan aktiviti Cina dengan gerakan komunis. Mereka
tidak takutkan orang Melayu yang mereka anggap 'lemah, malas dan dungu dan
diam duduk di perkampungan'. Melayu yang kuat dan berdisiplin adalah Melayu
yang memakai uniform mengejar komunis di hutan, ataupun berkawal di istana
ataupun di perkampungan Cina. Pengawal Melayu (askar Melayu, polis hutan ataupun polis rusa kerana memakai
beret dengan gambar tanduk rusa, ataupun SC yakni 'Special Constable'
ataupun 'HG' yakni 'home-guard' padawaktu itu adalah satu kumpulan Melayu
yang menerima gaji bulanan. Setengah pendapatan mereka dikirimkan ke kampung
untuk menegakkan ekonomi desa dan setengah lagi dibelanjakan di kedai Cina
ataupun India untuk keperluan hariannya. Jikalau tidak mencukupi
perbelanjaan harian itu, wang pinjaman memang mudah disediakan oleh 'Keling
Ceti' yang terdapat di mana-mana. Ada jua yang bernasib baik menjadi
pengawal kepada warga istana, yang pada hujung minggu pergi berjudi di
tempat lumba kuda. Kalau yang dikawal itu menang besar, besarlah sogokan
diselitkan dalam seluar. Kalau yang dikawal itu kalah teruk, ada jugalah
beberapa kepingan siling yang dibuat laksana upah-beruk. Itulah dia jalanan
demokrasi penjajah British dulu. British berbelanja besar dalam melengkapkan pasukan pertahanan di Malaya
kerana takutkan pengaruh komunis yang dianggotai orang Cina yang dikatakan
menyorok di hutan belantara. Tetapi di bandar dan pekan, rakan karib
penjajah dulu adalah orang Cina. Semua bekalan keperluan mereka disediakan
oleh masyarakat Cina. British membekalkan elektrik dan air paip di bandar
dan pekan untuk menyenangkan masyarakat Cina. Masyarakat India ketika itu
merupakan masyarakat yang serba senang kerana diberikan kemudahan oleh
tuanpunya ladang. Ketika perkampungan Cina terang benderang dan bekalan
airnya bersih dan jernih, orang Melayu hidup di kampung berpelitakan lilin
dan lampu minyak. Air minum dikorek dari bumi ataupun bergantung pada air
sungai yang juga merupakan tandas 'mudah-alih' ala-teknologi dulu-dulu. Yang
mudah ialah membinanya, yang dialih ialah 'punggung' selepas mengebom air
yang menampungnya. - Marhaintua- ![]()
|