Laman Webantu KM2A1: 5295 File Size: 10.2 Kb * |
MMMM: B3C - Kebangkitan Reformasi Di Malaysia By Marhain Tua 24/8/2001 9:08 pm Fri |
[Mahathir beruntung kerana orang Melayu amat sabar dan kuat memendam rasa
walaupun teruk dihina dan dipijak seikut-suka. Tetapi setiap kesabaran itu
ada hadnya. Sepatutnya Mahathir mengurangkan sedikit cengkamannya - bukannya
semakin mencabar kesabaran mereka. Bayangkan sebahagian besar daripada mereka
yang ditangkap ISA itu adalah permata daripada bangsa melayu yang dihormati
dan disegani. Bab 3C: Kebangkitan Reformasi Di Malaysia
Indah Khabar Daripada Rupa Propaganda British mengena sasaran apabila menyebut akan pengaruh komunis
yang berbisa. Sebenarnya, British sengaja mencipta sedikit kekecohan
serangan komunis sekali-sekala untuk menakut-nakutkan sahaja. Kalau ada
serangan di pusat kawalan di perkampungan baru pada malam hari, kebanyakan
serangan itu dilaksanakan secara rambang oleh tentera British sendiri untuk
mencetuskan keadaan betapa bahayanya pengaruh komunis di negeri ini. Ada
juga serangan itu dilaksanakan oleh komunis Cina sebagai alasan memudahkan
permintaan ketua masyarakat Cina perkampungan mereka menuntut sesuatu
kemudahan yang baru daripada British sebagai bahan pelembutnya.
Demikianlah British dengan propagandanya untuk terus mencengkam negara ini.
Orang Melayu terus dimangsakan walaupun orang Melayu tidak pernah
mencetuskan apa-apa masalah terhadap penjajah.
Orang Melayu yang taat membayar cukai pintu dan menjaga keselamatan
masing-masing sehingga bersabar ketiadaan bekalan api dan air telah
dinafikan hak hidup bebas dan kenikmatan kemudahan utiliti seperti
masyarakat Cina dan India kerana mereka akur dengan kerajaan untuk tidak
mencetuskan sebarang huru-hara. British memang menyedari kesetiaan Melayu walaupun mereka kurang
berinteraksi dengan masyarakat Melayu di kampung dan desa. Pihak British
menerima laporan harian mengenai keadaan keselamatan kampung dan desa
melalui Benggali penjual roti ataupun gula tarik (gula yang diperbuat dengan
mengisar bijian gula menggunakan kuasa putaran roda basikal) yang bergerak
dari satu kampung ke kampung dan melalui mamak jual kain palaikat ataupun
penjual roti canai dan teh tarik di hujung setiap kampung. Inilah rangkaian
talibarut British di zaman dulu. Ada juga banggali yang diberikan modal
menternak sapi dan kerbau untuk bekalan susu segar British dulu. Pada waktu
yang sama mereka merupakan pengumpul maklumat keselamatan negara.
Sebelum dibenarkan menjadi penggembala dulu, mereka pernah bertugas sebagai
askar 'The Indian/Punjabi Rifles', ataupun warden di penjara. Apabila
pencen, mereka dibenarkan menjadi jaga dan pengawal di sekolah-sekolah dan
panggung wayang. Oleh kerana penternakan lembu dan kerbau sapi memerlukan
lori untuk pengangkutan apabila binatang ini mahu disembelih di rumah
sembelihan, kita dapati penggembala sapipun mempunyai rangkaian pengangkutan
lori yang ditaja bersama dengan 'Gudahara' (rumah ibadat kaum benggali).
Sekaligus kita dapati pada zaman dulu, ini juga masyarakat yang menguasai
pengangkutan bas dan lori di pekan dan bandar. Alangkah pelik perkara ini.
Kenapakah tidak ada orang Melayu yang diberikan lesen mengendalikan
pengangkutan bas dan lori di zaman British sedangkan hampir semua pemandu
orang putih adalah orang Melayu? Kenapakah British tidak berunding dengan
pemimpin Melayu ketika itu agar sekumpulan masjid dan suarau menjadi
tuanpunya bas dan lori untuk pengangkutan awam? Kenapakah tidak digunakan
zakat yang dikutip daripada umat Islam ketika itu untuk dijadikan modal
perusahaan ini? Kalau benggali boleh dibenarkan menjaja roti di perkampungan
Melayu, kenapakah British tidak mengajar beberapa anggota tentera dan polis
cara-cara membuat roti dan galakkan mereka menjaja sambil merisik rahsaia?
British juga memerintah melalui sistem pecah-belah dan perintah. Satu ketika
dulu kita telah bincangkan bagaimana British menggunakan guru-guru yang
didatangkan daripada India untuk menyebarkan maklumat songsang di
sekolah-sekolah, masjid, gereja dan kampung-kampung. Kerana itu masyarakat
guru merupakan masyarakat yang terlalu dimuliakan oleh bangsanya. Mereka
celik huruf dan boleh membaca. Apa yang mereka katakan, orang kampung
percaya. Mereka yang datang membujang mampu mengahwini dara pingitan kampung
dan yang datang daripada keluarga ternama setiap masyarakat. Sekaligus
mereka dapat menyebarkan apa juga bentuk propaganda yang diputarkan dalam
minda mereka. Sebalik semua propaganda itu apakah yang diberitahu oleh British mengenai
orang Melayu? Mereka kata Melayu itu 'Malas', 'Pelupa' dan suka 'Mengamok'.
Tetapi, apakah asas mereka membuat andaian yang sungguh mengaibkan itu?
Siapakah yang malas dan pelupa serta mengamok? Apakah orang kampung yang
bertani itu malas, sedangkan apabila selesai menanam padi mereka terpaksa
bertungkus lumus di bendang menghalau burung dan mencari sarang tikus untuk
dimusnahkan? Kalau mereka menoreh getah di kampung, mereka kena pergi
selepas waktu subuh menoreh getah sebelum matahari naik. Kalau terlambat,
aliran getah akan lembab dan merugikan? Pada sebelah petang, mereka pergi
semula ke kebun untuk mengutip getah sekerap. Mereka bekerja setiap hari
kecuali waktu hujan dan hari Jumaat. Kalau hari hujan mereka pergi ke bandar
untuk membeli peralatan berkebun. Pada hari Jumaat adalah hari kelepasan
mereka. Inikah yang dikatakan satu bangsa yang malas?
Apakah Melayu yang bertugas dalam pasukan keselamatan itu malas? Bukankah
banyak penyimpan sejarah British yang menulis akan keberanian askar Melayu
dalam buku sejarah ketenteraaan mereka? Kalau Lt. Adnan seorang pemalas,
bagaimanakah dia berani mempertahankan Bukit Chandu sehingga titisan darah
terakhir untuk membolehkan British dan para peniaga Cina dan India yang
kaya-raya melarikan diri ke India dan Filipina? Askar Melayu yang
menggunakan nombor askar 000001 ialah Allahyarham Abdul Samad. Selepas
perang dia bekerja sebagai pemandu Bas Serijaya. Kalau dia malas, tentu dia
terus melekap di rumah bekerja kampung sambil menjaja cerita
keperwiraaannya. Dia pernah berhijrah ke Perlis untuk mencari rezeki yang
halal dan pulang semula ke kampung halamannya di Bukit Dukung, Cheras. Salah
seorang anak lelakinya mungkin masih menetap menjadi pegawai keselamatan di
Kedutaan Malaysia di Den Hag. Siapakah yang sebenarnya malas dan pelupa? Kalau British tahu mengenang jasa
selepas perang dulu sepatutnya dia membangunkan Sungai Ramal, tanah
kelahiran Lt. Adnan ataupun membuat sekolah di Bukit Dukung kampung halaman
Abdul Samad. Bukankah itu sebesar-besar pembalasan tanda hormat yang boleh
dilakukan oleh British? Kalau Melayu di kampung tidak malas dan Melayu dalam pasukan bersenjata
tidak juga malas, Melayu manakah yang mendesak minda British hingga celupar
mengatakan Melayu itu satu bangsa pemalas dan pelupa? Kita akan sambung
jawapan ini pada Bab yang lagi satu. Oleh kerana British pintar mengawal aliran maklumat pada zaman dulu, maka
orang Melayu menjadi khayal dan percaya bahawa British memang pandai.
Memanglah British pandai sehinggakan setiap hari orang Melayu disuruh berdoa
agar Allah memanjangkan nyawa British dan empayarnya, orang Melayu lakukan
dengan bersahaja dengan sedap suaranya lebih enak lagi daripada orang putih
yang asli. Cuba dapatkan lirik lagu kebangsaan Britain dan anda akan sedar
bahawa lagu itu adalah berunsur satu doa kepada Allah juga.
God saves our gracious Queen, Long live our noble Queen, God save the
Queen.......sila baca http://www.copcity.com/anthems/uk.html
Lagu kebangsaan itu adalah berbentuk gospel yakni doa minta Allah panjangkan
umur Raja ataupun Ratu yang bertakhta. Bayangkan bagaimana orang Melayu
diajar dengan kesetiaan begitu sedangkan mereka tidak pernah melihat wajah
raja putih itu sepanjang hayat mereka menyanyikan lagu itu.
Sejarah berulang kembali, kini orang Melayu dikotak-katikkan lagi. Walaupun
negara sudah merdeka selama 44 tahun, di mana hampir setengah usia
kemerdekaan negara ini dijajah dan ditadbir oleh seorang maharajah tua yang
sudah sewel otaknya, orang Melayu masih percaya mereka sudah lama merdeka.
Merdeka apa yang Melayu banggakan apabila sesiapa sahaja boleh ditahan di
rumah mereka dan diculik serta dituduh bawah akta zalim peninggalan penjajah
dulu dan dinafikan hak dikenakan tuduhan di mahkamah? Merdeka apakah yang
Melayu banggakan kalau ada yang mudah dituduh sebagai militan kerana pernah
belajar di Pakistan dan dituduh pernah memegang senjata sebagai mujahidin?
Apakah menjadi satu dosa besar kalau orang Melayu memegang senjata dan
menjadi seorang mujahidin? Setiap tahun terdapat sekitar 5,000 askar melayu yang tamat perkhidmatannya
dalam angkatan tentera Malaysia (ATM). Inilah anak Melayu yang cukup
terlatih dalam ketenteraan kerana ada yang telah berkhimat di luar negara.
Kalau mereka berkhidmat di Bosnia merekapun boleh dianggap bekas mujahiddin.
Kenapakah mereka ini tidak menjadi bahan syak wasangka pihak polis pimpinan
Norian Mai? Bukankah mereka ini lebih hebat daripada segelintir Melayu yang
belajar di Pakistan? Apakah kemungkinan lepasan ATM ini tidak boleh bangkit
dan merampas kuasa daripada seorang maharajah tua?
Apakah Mahathir dan sidang penasihat hapraknya tidak memikirkan segala
kemungkinan ini? Ataupun apakah anggota ini berkemungkinan menjadi sasaran
penangkapan Norian Mai yang boleh dijangkakan? Kalau anggota tentera yang
masih berkhidmat semakin berani menyokong perjuangan Barisan Alternatif,
apakah yang dapat kita teka seterusnya dalam percaturan politik UMNO dan
Mahathir?
|