Laman Webantu KM2A1: 5305 File Size: 13.5 Kb * |
TJ SPY B1: Di Sebalik Lensa Mossad By GT 25/8/2001 9:32 pm Sat |
[Tentu ada sebabnya kita menerbitkan rencana yang bercorak
risikan atau pengintipan ini menjelang ulangtahun kemerdekaan
Malaysia. Polis Malaysia pernah dikatakan antara yang 'terhebat'
di dunia (termasuk pintar menipu, memutar, menyamar dsb.) tetapi
apakah mereka boleh mencapai status itu begitu sahaja atau ada
pihak yang melatih mereka? Siri rencana ini, antara lain, mendedahkan peranan Mossad dalam
kematian ngeri Puteri Diana dan Dodi yang begitu misteri dan gagal
diselesaikan sampai hari ini. Ia menunjukkan satu perencanaan yang
rapi yang hanya dimiliki oleh mereka yang sudah lama mengkaji dan
sudah cukup masak dalam tektik 'buat dan lari' (coverup without
any trace). Bukankah tektik seperti ini juga berlaku dinegara ini
dimana banyak perkara luarbiasa dan misteri dirancang agar pihak
tertentu teraib nanti. Bahagian 1 Setiap kali satu lampu merah yang terletak di sebelah telefon
menyala, satu alat perakam suara pun digerakkan secara automatik di
sebuah apartment Paris berdekatan Pompidou Centre di tengah-tengah
Fourth Arrondisement yang hingar-bangar. (Catatan: 'arrondisement'
ialah perkataan Peranchis bermaksud wilayah. Paris dibahagikan
kepada 'arrondisement' dan daripada nombornya orang boleh tahu mana
satu kawasan mewah dan sebaliknya - penterjemah).
Lampu itu telah dipasang wayarnya oleh seorang juruteknik Israel
yang diterbangkan khas daripada Tel Aviv untuk disambungkan kepada
alat perakam. Tujuannya ialah untuk mengelakkan sebarang keraguan
jiran berhampiran kalau-kalau telefon itu berdering sepanjang malam.
Juruteknik itu ialah salah seorang 'yahalomin' seorang petugas
Mossad yang pakar dalam hal-hal komunikasi di tempat persembunyian
agensi risikan Israel. Apartment di Paris adalah serupa sahaja dengan apartment mereka di
tempat lain. Pintu depannya adalah kalis-bom, jendelanya mempunyai
kaca yang sama jenisnya yang terdapat di Rumah Putih (White House)
di Washington, yang mampu membias (deflect) 'scanners'. Memang
banyak apartment seperti itu di kota raya besar di seluruh dunia,
sama ada dibeli terus ataupun di sewa untuk tempoh yang panjang.
Banyak yang dibiarkan kosong begitu sahaja, untuk digunakan hanya
bila sampai masanya. Operasi yang diterajui di sebuah apartment di Paris sejak Jun 1997,
dengan ketibaan Monsieur Maurice. Dia petah berbahasa Peranchis yang
mempunyai loghat Eropah-Tengah. Sejak beberapa tahun sebelum itu,
jiran tetangga di situ sudah melihat ramai manusia sepertinya di
apartment itu dan kadang kala ada juga kaum wanita, dan mereka
semuanya muncul secara tiba-tiba, menginap di apartment itu untuk
beberapa minggu ataupun berbulan lamanya, sebelum menghilang dengan
cara yang sama. Maurice ialah seorang 'katsa', seorang perisik Mossad yang bertugas
di medan juang mereka. Kalau dilihat bentuk badannya, tidak ada sesuatu yang istimewa pada
Maurice. Kalau dia berjalan sendirian di khalayak ramai, tidak ada
sesiapa yang akan mengsyaki apa-apa darinya. Dia telah diambil untuk
menganggotai Mossad ketika agensi risikan itu berada di puncak
kegemilangannya. 'Halcyon times' kata orang putih, kerana ketika itu
Mossad memang sungguh unggul, tiada cacat-celanya. Bakatnya
terserlah ketika berkhidmat dengan kerajaan untuk memenuhi syarat
khidmat-negara yang mandatori. Apabila tamat dia diterima menjadi
perisik khas dan ditempatkan di unit risikan udara. Kepintaran
Maurice dalam pelbagai bahasa (beliau pintar dalam bahasa Peranchis,
Jerman dan Inggeris) telah dicatatkan dan kebolehannya dalam aspek
kehidupan yang lain. Dia pintar melakarkan fakta daripada berita
spekulasi, dan dia tahu sempadan membuat kerja-kerja meneka dan
menduga. Yang lebih penting lagi dia mempunyai bakat tersendiri
merangsang manusia; dia pandai mendesak, memujuk dan kalau semua
usaha tidak berjaya dia pandai mengugut.
Sejak lulus daripada sekolah latihan Mossad pada 1982, Maurice telah
bertugas di Eropah, Afrika Selatan, dan Timur Jauh (termasuk
Malaysia?). Selalunya dia berjaya menyamar sebagai seorang peniaga,
seorang penulis bidang pelancongan, dan seorang juru jual. Dia telah
menggunakan beberapa nama berasingan dan biografi yang berbeza, yang
disediakan oleh perpustakaan yang menyediakan maklumat nama samaran
itu dan yang diuruskan oleh Mossad. Dalam kisah ini dia adalah
Maurice, seorang ahli perniagaan. Sejak berpindah-randah dalam tugasannya, Maurice telah mendengar
beberapa kisah pembuangan orang di 'Institute' nama samaran Mossad
yang digunakan oleh petugasnya; desas-desus mengenai pemecatan
dengan aibnya beberapa petugas dan kerjaya yang terbantut, penukaran
pegawai atasan di mana setiap pengarah baru membawa agenda dan
prioriti tugasnya. Apapun yang berlaku ia tidak pernah menjejaskan
moral kerja di kalangan petugas dalam perkhidmatan itu.
Kegiatan tugas semakin galak apabila Benyamin Netanyahu dilantik
menjadi perdana menteri yang termuda. Beliau mempunyai latar
belakang risikan yang sudah terserlah, memahami selok-belok setiap
perkara dari segi luar-dalamnya. Dia pintar untuk mendengar dan
setakat mana boleh mengejar. Tetapi sebaliknya, dari awal lagi,
Netanyahu telah mengejutkan pegawai risikan dengan mencampuri
hal-ehwal operasi pula. Pada tahap awalnya sikap ini dianggap sebagai penyapu baru yang
bersedia melihat kotoran di setiap ceruk dan sudut untuk menentukan
dia tahu segala rahsia yang perlu ditanganinya. Namun, keadaan
menjadi mendebarkan apabila Sarah, isteri perdana menteri mahu
meneliti apa yang ada di sebalik kanta pembesar dan mengetahui
perihal risikan Israel. Dia telah mempersilakan pegawai kanan Mossad
ke rumah untuk menjawab soalannya, dengan alasan dia meniru cara dan
sikap Hillary Clinton yang bertanya kepada CIA.
Koridor Ibupejabat Mossad di Tel Aviv mula menjadi hingar-bangar
apabila muncul bisikan dan desas-desus bahawa Sara Netanyahu meminta
fail yang mengandungi butiran peribadi para pemimpin dunia yang
mungkin dilawati dan ditemui oleh Benyamin Netanyahu. Yang paling
diutamakannya ialah cerita kegiatan seksual Presiden Bill Clinton.
Dia juga meminta laporan terkini mengenai duta Israel kerana
selalunya dia dan suaminya menginap di kediaman duta tersebut dalam
lawatan mereka ke seberang laut. Sara mahu tahu betapa bersihkah
dapur kediaman duta itu dan berapa kali pula kelengkapan tidur di
bilik tetamu ditukar-ganti. Sambil merasakan kelucuan dengan permintaannya, pegawai Mossad telah
memberi penjelasan kepada isteri perdana menteri itu bahawa
mendapatkan maklumat seperti itu bukan termasuk dalam bidang tugasan
mereka. Beberapa orang lama dalam perkhidmatan risikan telah ditukarkan
daripada tugasan harian kepada diamanahkan tanggungjawab operasi
kecilan yang perlu menyediakan kertas laporan yang mungkin tidakpun
dibaca. Apabila menyedari kerjaya mereka menjelang maghrib, ramai
yang bersara dan kini berselerak di serata Israel, menghabiskan masa
dengan membaca, terutama sekali bidang sejarah, sambil menyesuaikan
diri dengan hakikat bahawa mereka sudah menjadi manusia biasa.
Semua kisah ini membuatkan Maurice merasa lega apabila ditugaskan
luar daripada Tel Aviv dan menjadi agen di medan juang.
Operasi terbaru di ibukota Peranchis itu memberinya satu peluang
lagi membuktikan dia seorang agen yang teliti dengan tugasnya, dan
mampu menyempurnakan arahan yang diharapkan. Dalam kes terbaru ini,
tugasnya bolehlah dikatakan mudah, kerana tidak ada bahaya yang
ketara, cuma risiko keaiban seandainya pihak berkuasa Peranchis
mendapat tahu akan tugasnya itu dan menghantarnya pulang secara
senyap dari situ. Duta Israel di Peranchis memang tahu kehadiran
Maurice di Paris, tetapi tidak pernah diberitahu apa sebabnya. Itu
adalah satu amalan biasa; kalau berlaku sesuatu yang mengaibkan,
duta itu boleh bersikap tidak endah sahaja.
Tugas pertama Maurice ialah merekrut seorang tukang palur. Sikap
mencari tali-barut ini dianggap dalam pengajian Mossad sebagai
'kaedah dingin' (cold approach) menggunakan khidmat orang tempatan.
Setelah bersabar selama dua bulan, Maurice yakin dia sudah hampir
mencapai kejayaan. Sasaran Maurice ialah Henri Paul, penolong ketua sekuriti di Ritz
Hotel, yang juga bertindak sebagai ketua supir kepada
tetamu-selebriti. Salah seorang tetamu-selebriti ini dulu ialah Jonathan Aitken,
seorang menteri dalam kabinet Parti Konservatif yang lalu. Aitken
telah diberi tugas khas menguruskan penjualan senjata kepada peniaga
Timur Tengah. Kisah ini dilaporkan dalam satu dokumentari
penyiasatan TV berjodol 'World In Action'. Akhbar 'Guardian' telah
menerbitkan beberapa laporan yang jijik mengenai hubungan Aitken
dengan bajingan jalanan, sehinggakan Aitken bertindak menyaman
akhbar itu Apabila kes itu dimulakan ada satu soalan yang mahu tahu
siapakah yang membayar sewa hotel ketika Aitken menginap di Ritz
Hotel menemui tetamu daripada tanah Arab dulu. Ketika menjawab,
Aitken bersumpah betapa isterinya yang membayar sewa hotel.
Melalui sumber yang diperolehi daripada pihak ketiga, Mossad dapat
maklumat betapa isteri Aitken tidak pernah pergi ke Paris pada waktu
Aitken menginap di sana. Aitken kalah dalam perbicaraan itu. Mossad
memang sudah lama menganggap aktiviti Aitken amat bertentangan
dengan keselamatan Israel. Kerana itu dia mesti diaibkan.
Pada 1999, selepas satu kes jenayah yang panjang di London, Aitken
didapati bersalah kerana membuat sumpah bohong (perjury) dan
dikenakan hukuman penjara. Pada ketika itu isterinya telah
menceraikannya dan tinggallah seorang yang pernah berkuasa dalam
dunia politik, keseorangan menghadapi masa depannya yang kelam.
Keadaan seperti ini amat difahami, kalaupun bukan disebabkan simpati
oleh Ari Ben-Menashe (kisahnya akan terbongkar dalam bab 8). Dia
pernah merasakan keperitan menghuni penjara New York setelah jatuh
dari mercu kemewahan sebagai penyelaras risikan kepada perdana
menteri Yitzhak Shamir. Ketika memegang jawatan itu, Ari telah
melihat betapa Mossad dan satu lagi agensi perkhidmatan risikan
Israel menjalankan tugasnya. Beliau menganggap Aitken sebagai
'seorang manusia yang terlalu percaya bahawa dia mampu menipu semua
orang, seperti yang dilakukan bertahun lamanya. Kesilapannya ialah
memandang rendah keupayaan Mossad. Mereka tidak pernah mengambil
banduan.' Berbeza dengan Jonathan Aitken, yang menghadapi masa depan yang
kelam di penjaranya, Ben-Menashe telah pulih daripada keaibannya.
Pada 1999, dia telah menubuhkan sebuah syarikat pengumpul maklumat,
berpusat di Montreal. Antara pelanggannya termasuklah beberapa
negara Afrika dan juga Eropah. Syarikat mega multinasional turut
mendapatkan khidmatnya setelah diyakinkan bahawa identiti mereka
sebenar tetap dilindungi oleh Ben-Menashe.
Antara kakitangannya termasuklah bekas perisik kerajaan Kanada, dan
mereka yang pernah berkhidmat dengan organisasi yang serupa di
Israel dan Eropah. Syarikat ini memberikan khidmat yang menyeluruh
dalam bidang ekonomi, industri dan juga perlindungan keselamatan.
Pegawainya memang mahir dalam tindak-tanduk peniaga kelengkapan
perang dan pintar berunding dengan kumpulan penculik. Tidak ada satu
bandar di dunia ini yang tidak mempunyai hubungan dengan mereka
kerana Ben-Menashe telah berjaya menjalin hubungan persahabatan
dengan ramai konteks sejak dia berkhidmat sebagai seorang perisik
yang disegani dalam perkhidmatan risikan Israel. Dia bersama
sekutunya kerap mengemaskinikan maklumat akan peredaran suasana
politik dalam Dunia Ketiga dan mampu meramalkan kerajaan mana yang
berkemungkinan tersembam ke bumi - dan siapa pula akan muncul
sebagai pengganti. Bersifat kecil dan padat, syarikat milik
Ben-Menashe wujud dengan mengambil contoh pergerakan Mossad.
Syarikatnya 'bergerak' kata Ben Menashe 'laksana pencuri di malam
hari. Itulah sahaja caranya dalam dunia perniagaan ini.' Bayarannya
memang lumayan sekali. Berbekalkan kerakyatan Kanada, dia berasa gembira kerana dapat
berkerja dengan segala 'anak raja dan warga istana seluruh
dunia..... mereka yang terkenal dan mereka yang berbelanja besar
untuk mendapatkan perlindungan yang baik-baik. Kepada mereka semua
pengetahuan itu adalah kuasa dan salah satu tugas saya ialah
memberikan maklumat yang mereka inginkan.'
Di London beliau menginap di Savoy, dan di Paris, The Ritz adalah
hotel yang memuliakannya. Dalam satu waktu yang singkat, Ben-Menashe sedar bahawa hotel
tersebut masih kekal sebagai tempat pertemuan peniaga alat
kelengkapan perang daripada Timur Tengah dan konteks Eropah mereka.
Dia mengesahkan perkara ini dengan rakan lama di Mossad. Mereka
memberitahu beliau betapa hotel tersebut sudah menjadi salah satu
bahagian penting dalam aturan strategi Mossad. Ben Menashe mempunyai
kepakaran untuk merisik maklumat; 'Dari dulu lagi saya tahu tidak
ada satu maklumat yang didengar itu yang akan terbuang begitu
sahaja.' Kerana itu dia bertindak meneliti keadaan sekeliling dan
menilai kalau-kalau ada sesuatu yang menarik daripada penilaian itu.
Itulah dia pendirian tegas yang akhirnya melibatkan beliau dengan
kisah Diana, Princess of Wales, dan kekasihnya Dodi al Fayed, anak
lelaki playboy tuan punya Ritz Hotel yang kaya raya, Mohammed
al-Fayed. ....bersambung....
|