Laman Webantu KM2A1: 5314 File Size: 7.9 Kb * |
TJ SP MGG: Badan Pemikir Dan Tong Kosong By M.G.G. Pillai 27/8/2001 10:32 am Mon |
[Media pro kerajaan menjadi bahan ejekan dan ketawa gara-gara terlalu
gopoh memetik rencana oleh Amy Ridenour yang langsung tidak masuk aqal.
Seolah-olah ia sudah lama kempunan rencana asing yang memuji-muja
Malaysia sehingga menjulang rencana Ridenour yang entah apa-apa.
Kadang-kadang rasa kesian juga dekat Mahathir dan kuncunya kerana rencana
luar yang mengangkatnya itu bertaraf haprak dan tadika pula.... Ini
menunjukkan mereka yang menyokongnya bertaraf begitu semua agaknya.
- Editor] (Of Think Tanks And Empty Vessels) Oleh: MGG Pillai Kalau anda berada di Washington untuk sehari dua, terutama sekali
sebagai seorang wartawan, anda pasti terserempak dengan sekumpulan
manusia yang tidak mudah anda elak, kerana mereka bertugas sebagai
petugas ataupun ketua badan pemikir. Para diplomat yang sudah
bersara, yang masih mempunyai pengaruh untuk menunjuk-nunjuk kuasa
walaupun sukar mendapat peluang pekerjaan masih bertenaga memikirkan
isu yang terang, bertindak menubuhkan pertubuhan dan yayasan yang
tidak bermotifkan keuntungan untuk dijadikan badan mengelakkan
pembayaran cukai. Mereka muncul dalam perlbagai wajah dan rupa,
kebanyakannya diuruskan oleh teman-teman yang bersara daripada
Jabatan Negara, termasuk beberapa orang diplomat daripada Kedutaan
AS di Kuala Lumpur. Selalunya mereka mempunyai ruang berhubung
dengan mereka yang masih berkuasa di Washington. Adalah satu budaya,
kalau sudah bersara, seseorang itu mesti kekalkan pertaliannya
dengan sesiapa yang masih berkuasa untuk mengelak dipinggirkan
ataupun sengaja dilupakan. Demikianlah kisahnya mengenai 'The National Centre for Public Policy
Research' yang dinaungi oleh sepasang suami isteri tidak jauh
bezanya daripada pejabat murahan yang bergiat dalam urusan dasar,
antara ribuan perusahaan serupa itu di Washington. Inilah pertama
kali orang sedar wujudnya 'institusi' haprak ini semata-mata kerana
presidennya, Anne Ridenour, telah menulis satu artikel di Washington
Times, menyerang mantan timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim.
Saya berani berkata, institusi haprak ini lebih dikenali di Malaysia
daripada di Washington. Di Malaysia ia sudah dikutuk oleh banyak
pihak. Apabila kerajaan Malaysia dan media perdana menciplak laporan
badan harprak ini, tentulah ramai orang yang menaruh syak wasangka
terhadapnya. Kedutaan Malaysia di Washington memang didapati tidak berkesan,
ramai pegawai di sana yang sengaja bertindak sendirian sehingga
memalukan dutanya ataupun Wisma Putra ataupun keduanya sekali. Duta
yang ada adalah ipar kepada bekas menteri kewangan, Tun Daim. Dia
dihantar ke sana selepas kalah dalam satu pergolakan kuasa di Wisma
Putra. Kedutaan ini seperti juga kedutaan Malaysia di negara lain,
tidak bersungguh-sungguh mesra dengan pucuk kepimpinan di
Washington. Mereka sengaja memainkan peranan dingin kerana Wisma
Putra menganggap seluruh dunia ini adalah sambungan kepada Malaysia.
Kerana itu orang yang bertaraf penghulu di Merlimau dianggap layak
dan boleh dihantar sebagai duta ke Madrid.
Tidak wujud langsung sifat kesinambungan di kedutaan sana.
Kepentingan negara kerap terabai, dan terpulanglah kepada seseorang
duta atapun diplomat berbuat sesuatu untuk mengelakkan Malaysia
dihumban ke satu ceruk yang orang tidak peduli di kalangan
masyarakat diplomatik di Washington. Apabila perdana menteri
Mahathir naik gian mahu bertemu dengan presiden Amerika, dia
mengalami kesulitan untuk mendapatkan kad jemputan daripada Presiden
Bush. Pernah terjadi apabila menteri berdarah Yemen (seperti yang
disebut oleh Mahathir, baru-baru ini), Dato Syed Hamid Albar pergi
ke New York cuba berunding mendapatkan pelawaan. Tetapi pada
kelazimannya, kerja-kerja begini seharusnya menjadi tanggungjawab
orang kedutaan Malaysia yang sepatutnya mempunyai hubungan yang
rapat dengan pucuk kepimpinan di Washington.
Kemudian, apabila perkara ini didedahkan secara terbuka, seperti
yang dilaksanakan oleh Syed Hamid, ia hanya membogelkan betapa kita
tidak mempunyai etika politik yang beradab. Seandainya Malaysia
mahukan publisiti yang baik di akhbar perdana Washington, perkara
itu mudah diaturkan. Sesuatu berita yang baik mengenai negara memang
boleh ditonjolkan di akhbar ternama seperti Washington Post ataupun
New York Times, seandainya bahan beritanya memenuhi standard akhbar
itu. Jika tidak, kita terpaksa bergantung kepada putar-alam seperti
Ridenours yang ramai di dunia ini dan mengakibatkan aib kepada kita
sendiri. Orang semakin sangsi bagaimanakah tulisan Anne Ridenour boleh
tersiar di akhbar tempatan Malaysia. Akhbar perdana Malaysia sengaja
memerap laporan kritikal daripada media asing. Tetapi, ia memetik
laporan Ridenour itu dengan pantas sekali. The Sun telah menyiarkan
berita itu dengan penuhnya. Apabila saya hubungi kawan-kawan di
Washington, tidak siapapun yang kenal siapa dia Mrs. Ridenour
ataupun badan pemikirnya. Apabila sebuah badan pemikir tempatan di
Amerika yang sibuk dengan isu tempatan, tiba-tiba menulis secara
lantang untuk memberikan sokongan kepada Mahathir, dan bertegas agar
Malaysia diberikan ruang yang lebih menonjol dalam media Amerika,
kerana diperlekehkan selama ini, tentulah niat sebenar Ridenour itu
boleh dipertikaikan. Apabila beliau (Ridenour) mencabar dakwaan seorang pemimpin
pembangkang, dan dalam hal ini pengerusi DAP, Lim Kit Siang,
sekaligus cabarannya itu diperlekehkan walaupun dia bertegas
tulisannya itu adalah kesan cuitan intelek dan bukannya kerana
diupah. Perkara ini menjadi satu tandatanya besar apabila dakwaan
Lim Kit Siang sengaja diperam oleh akhbar media perdana. Ini semakin
membogelkan kehaprakan kerajaan Malaysia dalam menangani kempen
medianya. Para wartawan daripada akhbar dan majalah terkenal telah
berkumpul dan digalakkan untuk menulis yang molok-molok mengenai
Malaysia dengan syarat mereka tidak boleh menghubungi sesiapa yang
telah disenarai-hitamkan oleh tukang upah mereka.
Suasana politik di Malaysia sudah mencapai tahap yang begitu tegang,
sehinggakan sesuatu artikel itu boleh dipuji ataupun dikeji,
bergantung kepada sudut politik seseorang. Malaysia tidakpun
mempunyai dasar media yang tersendiri. Bekas ketua pengarang Utusan
Malaysia, Zainuddin Mamak Maidin telah diambil bertugas sebagai
setiausaha politik kepada kementerian penerangan untuk
memperbodohkan dirinya dan menjatuhkan sendiri martabatnya. Dia
berlagak berani menyerap kutukan yang dihumbankan kepada kerajaan
dan kini menanggung aib apabila kebijaksanaan yang sedikit sahaja
ada padanya itu dibogelkan. Apabila Mrs. Ridenour menggelabah, Kerajaan Malaysia menerima
musibah. Tidak siapa yang percaya, beliau menulis suka-suka tanpa
sesiapa yang membayarnya. Mungkin, bayaran itu tidak dibuat oleh
kerajaan. Tetapi, masih ramai pakpacak dan hartawan Malaysia yang
sanggup berbelanja besar membayarnya dengan harapan dapat memikat
kontrak yang besar daripada kerajaan sebelum mereka terhumban ke
longkang kemuflisan yang lebih besar. Artikel di Washington Times,
mengikut tafsiran orang Amerika dipanggil 'a lemon'. (Kalau
ditafsirkan mengikut fahaman marhaen Malaysia, adalah satu artikel
murahan untuk menegakkan seorang diktator tua yang sudah semakin
terdesak dan semakin haprak) M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR-01-1521 Asal: KM2 5311: MGG: Of Think Tanks And Empty Vessels |