Laman Webantu KM2A1: 5318 File Size: 22.4 Kb * |
BKAdil: Afidavit Ezam di Mahkamah Persekutuan By Ezam 27/8/2001 11:15 pm Mon |
[Afidavit ini mendedahkan banyak perkara termasuk apa yang amat
digeruni oleh Mahathir. (Hmmm...) Kelihatan Mahathirlah dibelakang
segala-galanya dan menguasai polis bertopeng sepenuhnya - Dollah
Badawi bagai tidak ada benda. Polis bertopeng ini juga seperti
berkhidmat untuk Mahathir sepenuhnya - bukan untuk negara.
Polis gagal memberi bukti bila dicabar oleh Ezam bahawa pembangkang
ingin mencetuskan huru-hara di negara ini sebagaimana yang digembar-gemburkan
oleh media. Sebaliknya asyik menuduh dan menyuruh Ezam mengaku melakukan itu
tanpa henti. Afidavit Sdr. Ezam Mohd Nor di Mahkamah Persekutuan
Saya ditahan pada 10 April 2001, jam 4.30 petang di
Lapangan Terbang Subang. Pasukan polis diketuai ASP
Ahmad Ramdzan bin Daud. Beliau perkenalkan dirinya
sebagai seorang anggota polis dan menyatakan saya
ditahan di bawah ISA tetapi tidak menyatakan sebarang
alasan bagi tahanan saya. Semasa ditahan, saya bersendirian dan tidak ditemani
sesiapa. Sejurus selepas ditahan, saya memohon agar
penahanan saya dimaklumkan kepada keluarga secepat
mungkin. Namun, setelah hampir 30 hari dalam tahanan,
saya dimaklumkan oleh keluarga saya bahawa mereka tidak
pernah mendapat makluman berhubung penahanan saya.
Dari Lapangan Terbang Subang saya dibawa ke Balai Polis
Subang dan semua barang-barang peribadi kepunyaan saya
diperiksa dan dirampas. Saya menandatangi satu borang
yang menyatakan saya ditahan di bawah ISA.
Setelah lebih satu jam ditahan di sana, saya dibawa ke
Balai Polis Jalan Travers dan dari situ saya dibawa ke
satu tempat yang tidak dimaklumkan kepada saya dalam
keadaan kedua-dua mata saya ditutup. Apabila balutan mata dibuka, saya mendapati telah berada
di dalam sebuah bilik bersama 3 orang anggota polis
berpakaian biasa. Saya kemudiannya diarahkan menanggalkan semua pakaian
untuk tujuan pemeriksaan badan dan selepas itu diberikan
sepersalinan seluar dan baju untuk dipakai sepanjang
tempoh tahanan. Saya juga diberikan satu baldi, dua
cawan plastik saiz besar, pakaian, satu ubat gigi dan
berus gigi, serta sehelai selimut. Saya dibawa tanpa memakai sebarang kasut/ selipar atau
alas kaki dan dengan mata bertutup ke sel tahanan seluas
kira-kira 12 x 6 kaki. Keadaan sel tersebut sangat kotor
dan berhabuk dan saya terpaksa mencucinya terlebih
dahulu sebelum dapat duduk dengan selesa.
Sel tahanan tersebut juga berkeadaan sempit dan panas
dan kurang peredaran udara. Tiada tingkap, hanya lubang
udara kecil. Saluran udara tersekat dan suasana
tersangat panas dan sumbat. Pintu masuk mempunyai satu
tingkap kecil yang digunakan untuk terima makan/ minum
dan membolehkan pengintaian oleh pegawai bertugas.
Saya tidur di atas platform simen yang dilapik dengan
satu lapis plywood (kayu nipis). Terdapat satu lampu
mentol yang sentiasa nyala pada masa malam. Saya tidak
dapat tidur pada waktu malam kerana lampu tersebut.
Keesokan harinya, 11 April 2001 saya dibawa dengan
keadaan tangan bergari, mata bertutup dan berkaki ayam
ke sebuah bilik soal-siasat. Di dalam bilik tersebut terdapat lima anggota polis yang
tidak memperkenalkan identiti sebenar mereka. Mereka
hanya memberitahu saya bahawa mereka adalah dari
cawangan khas PDRM. Mereka bertanyakan tentang keadaan sel saya. Saya
menyatakan rasa kurang senang dengan keadaan sel yang
berhabuk dan saya tidak selesa tinggal dalam keadaan
berhabuk. Salah seorang mereka memberitahu bahawa soal
habuk banyak atau sedikit bergantung kepada kerjasama
saya. Ini merupakan ancaman pertama kepada saya di hari
pertama soalsiasat. Mereka kemudiannya menerangkan tentang maksud tangkapan
secara umum -- tidak ada satu pun maksud tangkapan yang
dinyatakan kepada saya mempunyai sebarang hubungkait
dengan sebab-sebab tangkapan yang dinyatakan di dalam
sidang akhbar Ketua Polis Negara, Norian Mai pada 11
April 2001. Saya dimaklumkan sidang akhbar tersebut
diadakan bagi memaklumkan kepada umum tentang
alasan-alasan penahanan saya dan enam rakan-rakan saya
yang lain di bawah seksyen 73(1) ISA.
Mereka memberitahu kepada saya bahawa merekalah yang
berkuasa dalam menentukan tempoh masa penahanan.
Keputusan berkaitanan tempoh penahanan saya akan dibuat
berdasarkan laporan dan pandangan mereka.
Pada hari kedua penahanan, 12 April 2001 saya disoal
berkenaan pendirian politik saya serta sebab-sebab
penentangan saya terhadap Dr Mahathir, Umno, Barisan
Nasional. Bagi tujuan menjawab soalan-soalan tersebut,
saya tulis secara terperinci kepada mereka berkenaan
soal-soal penyelewengan dan rasuah yang dilakukan serta
laporan-laporan polis yang pernah saya buat berkaitan
perkara-perkara yang sama. Fakta rasuah terlalu banyak
sehingga mengambil masa satu hari untuk menyiapkannya.
Soalan-soalan diulang berkali-kali sehingga saya rasa
tertekan mental dan tidak dapat menumpukan perhatian
saya semasa disoal-siasat oleh pegawai-pegawai tersebut.
Pada hari ketiga, 13 April 2001 mereka memutuskan untuk
tidak lagi mengulangi soalan-soalan yang dikemukakan
pada hari kedua dan tidak mahu berbincang lagi tentang
persoalan rasuah dan penyelewengan kerajaan.
Saya sebaliknya ditanya, tentang perjumpaan saya dengan
Solahuddin Wahid, seorang pemimpin Indonesia dan adik
kepada Presiden Indonesia (sekarang bekas) Gus Dur di
Jakarta pada awal Januari 2001. Saya menerangkan dengan
jelas bahawa pertemuan tersebut adalah atas jemputan dan
inisiatif beliau serta pemimpin-pemimpin Nahdatul Ulama
untuk mendapatkan pandangan saya tentang keadaan di
Malaysia, khususnya keadaan Dato? Seri Anwar Ibrahim.
Pihak Polis memaksa saya mengakui bahawa pertemuan itu
adalah atas inisiatif saya bagi meminta bantuan untuk
melakukan huru-hara di Malaysia. Saya menafikan
sekeras-kerasnya dakwaan itu dan mencabar mereka
membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut. Saya juga
menyatakan kesediaan bertemu dengan mereka
(pemimpin-pemimpin Nahdatul Ulama serta Solahuddin
Wahid) dengan kehadiran pihak polis untuk membuktikan
bahawa saya tidak pernah melakukan perkara-perkara
sepertimana yang didakwa. Mereka gagal untuk memberi bukti-bukti bagi menyokong
dakwaan-dakwaan mereka. Mereka memberitahu bahawa
Perdana Menteri sendiri yang memberi maklumat ini. Saya
beritahu mereka, saya tahu wakil tokoh-tokoh itu
berjumpa Perdana Menteri di Kuala Lumpur hujung bulan
Februari dan saya difahamkan dalam pertemuan tersebut
hasrat yang disampaikan oleh tokoh-tokoh tersebut ialah
agar masalah umat Islam di Malaysia diselesaikan secara
baik untuk kebaikan semua. Tidak ada langsung cerita tentang huru-hara. Mereka
beritahu Perdana Menteri ada bukti. Saya cabar mereka
buktikan. Mereka tidak dapat buktikan dan jelas cerita
'huru-hara' adalah rekaan kerana dalam alasan-alasan
perintah tahanan selama dua tahun perkara ini langsung
tidak termasuk dalam mana-mana alasan penahanan.
Soal-siasat berhubung hal ini memakan masa dua hari (13
April dan 14 April 2001). Pada hari kelima, 15 April, saya diminta menceritakan
pengalaman saya bertemu pemimpin-pemimpin negara ASEAN
lainnya, walaupun ia tidak ada kena mengena langsung
dengan dakwaan kononnya berlaku cubaan untuk melakukan
huru-hara atau keganasan. Pihak polis yang menyoalsiasat saya ini untuk
mengenalpasti kekuatan hubungan politik dan diplomasi
antarabangsa secara sah dan aman, yang langsung tidak
melibatkan sebarang unsur keganasan. Mereka cuba
mengukur kekuatan pengaruh politik parti-parti politik
Barisan Alternatif dan bukan lagi tentang persoalan
keselamatan negara. Saya diminta senaraikan semua lawatan kunjungan dan
pertemuan yang pernah saya lakukan ke atas
pemimpin-pemimpin ASEAN sama ada pihak kerajaan atau
bukan kerajaan. Mereka hanya minta saya senaraikan dan
ceritakan pertemuan tersebut. Saya menceritakan
pengalaman tokoh pemimpin negara-negara berkenaan
menyatakan simpati terhadap apa yang berlaku ke atas
Dato' Seri Anwar Ibrahim dan akan menyatakan sokongan
moral mereka kepada kerajaan dan badan-badan bukan
kerajaan di Malaysia. Tiada masalah keselamatan negara
yang timbul. Soal-siasat berhubung soal keselamatan
negara pun tidak dilakukan. Persoalan perhubungan antarabangsa ini dilakukan selama
beberapa hari. Tidak ada satu pun elemen-elemen
soal-siasat dalam tempoh ini dibuat berdasarkan
pertuduhan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara untuk
memberikan justifikasi terhadap penahanan saya kerana
mereka sedar bahawa tiada langsung sebarang unsur cubaan
melakukan huruhara yang menjejaskan keselamatan negara
ditimbulkan dalam pertemuan tersebut.
Hari-hari berikutnya sehingga hari yang kesepuluh
sepanjang penahanan, saya telah disoal tentang
ceramah-ceramah politik saya dan perancangan untuk
melakukan perhimpunan aman. Sebelum itu seorang pegawai berjawatan tinggi masuk ke
bilik soal-siasat saya. Beliau memberikan gambaran
bahawa negara berada dalam keadaan yang tidak selamat
seperti kes pembunuhan di Memali, peristiwa Taman Medan
dan sebagainya. Saya menyatakan kepada beliau bahawa sebagai seorang
ahli politik parti yang berdaftar dan sah di sisi
undang-undang, saya juga cintakan keamanan dan saya rasa
tidak perlu saya ditahan untuk menceritakan keadaan ini
kerana saya sedia mendengar dan memberi kerjasama tanpa
perlu ditahan melainkan sekiranya saya terlibat dalam
kes-kes yang beliau sebut seperti di Memali dan Taman
Medan. Saya minta bukti atau rekod saya menjadi punca kepada
huru-hara yang dinyatakan tersebut. Tiada jawapan
diberikan oleh beliau. Beliau sebaliknya mengingatkan
saya untuk bekerjasama dengan pihak polis kerana
sekiranya saya tidak beri kerjasama saya akan ditahan
untuk tempoh selama dua tahun dan parti saya akan
menghadapi pelbagai masalah. Saya terkejut kerana ia juga merupakan satu ugutan
kepada saya dan parti. Apabila saya disoalsiasat berkenaan dengan sesi-sesi
ceramah umum yang saya hadiri, mereka mendakwa bahawa
ceramah-ceramah saya menjurus ke arah cubaan untuk
menimbulkan huru-hara. Saya minta mereka buktikan kepada
saya satu insiden di mana dikatakan berlakunya huru-hara
selepas ceramah saya. Mereka menyatakan belum lagi
terjadi sebarang huru-hara tetapi ianya menjurus ke arah
itu. Saya terkejut kerana bagaimana saya boleh ditahan dan
disoal-siasat atas tuduhan mencetuskan huru-hara dalam
keadaan saya belum lagi menyebabkan atau menimbulkan
sebarang huru-hara sebagaimana yang didakwa.
Saya juga kemudiannya diminta mengingati kembali
sesi-sesi ceramah saya. Apabila saya gagal berbuat
demikian kerana telah menghadiri terlalu banyak sesi
ceramah, mereka mengeluarkan rekod program ceramah saya
dan membacakan program-program tersebut secara sepintas
lalu kepada saya. Dijumlahkan sebanyak 256 sesi ceramah
telah dihadiri hasil dari rekod mereka. Saya berhujah
mengatakan bahawa jumlah sesi ceramah yang banyak
tersebut membuktikan bahawa saya bersih dari sebarang
tuduhan cuba menimbulkan huru-hara kerana tidak ada satu
pun dari sesi-sesi ceramah tersebut membawa atau
menjurus ke arah suasana yang boleh menimbulkan
huru-hara. Saya juga menyatakan bahawa tidak pernah mana-mana
anggota keselamatan menasihatkan atau mengingatkan saya
sekiranya ceramah saya boleh menggugat keselamatan
negara. Mereka kemudian memetik beberapa ucapan saya yang
dikatakan kononnya menggugat keselamatan tetapi tidak
langsung mengemukakan soalan kepada saya berhubung
perkara tersebut. Tidak ada langsung sebarang
soal-siasat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan di dalam
ceramah-ceramah saya yang dikatakan menggugat
keselamatan negara. Mereka hanya membacakan beberapa
butir program-program ceramah saya tanpa sebarang bukti
menunjukkan bahawa ia akan mencetuskan atau menimbulkan
atau membawa kepada suasana huruhara dan kacau bilau.
Saya juga disoalsiasat berkenaan perancangan
menganjurkan demonstrasi serta perhimpunan aman. Pada
awalnya mereka mendakwa saya terlibat dalam damonstrasi
jalanan semenjak September 1998. Saya menafikan
dakwaan-dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa saya
tidak mungkin terlibat dalam demonstrasi September 1998
hingga April 1999 kerana saya berada di luar negara pada
sepanjang tempoh tersebut. Saya diminta menceritakan pengalaman demonstrasi atau
perhimpunan aman yang lain. Saya menceritakan pengalaman
perhimpunan aman di Masjid Negara pada sekitar September
1999 dan yang berlaku di Tol Jalan Kesas November 2000
setelah pihak polis menggagalkan perhimpunan aman di
markas KeADILan di Jalan Kebun. Saya memberikan butiran jelas menunjukkan bagaimana
aktivis parti cuba bekerjasama dengan pihak polis dan
tidak langsung wujudnya sebarang perancangan ke arah
mewujudkan unsur-unsur keganasan. Malah saya minta
mereka buktikan dakwaan berlakunya perancangan dan
perlakuan unsur-unsur ganas seperti cubaan mengumpulkan
bom, grenade launcher, Molotov c##ktail, ballbearing dan
sebagainya sebagaimana yang didakwa oleh Ketua Polis
Negara. Mereka gagal dan tidak mampu memberikan sebarang bukti.
Malahan sebaliknya anggota-anggota polis yang
menyoalsiasat saya mendakwa ada kumpulan lain yang
sedang melakukannya di luar pengetahuan saya. Tetapi
kerana saya adalah antara pemimpin yang hadir dalam sesi
perhimpunan aman atau demonstrasi tersebut maka saya
bertanggungjawab. Mereka lebih berminat menyoal-siasat saya tentang
individu-individu kalangan pemimpin parti yang kononnya
terlibat dalam perancangan dan sebagainya. la lebih
kepada mengenalpasti tokoh-tokoh politik yang aktif dan
bukan berkaitan dengan persoalan ancaman terhadap
keselamatan negara. Pegawai penyiasat menyatakan bahawa mereka sudahpun tahu
mengenai semua hal dan beliau hanya ingin tahu sama ada
saya akan memberi kerjasama atau tidak. Dia juga
memberitahu saya jika saya memberi kerjasama mereka akan
bebaskan saya dalam masa tempoh 60 hari.
Pada hari kesepuluh, saya dibawa polis yang menahan saya
ke tempat tahanan baru yang saya syaki mungkin di Bukit
Aman. Di tempat yang saya tidak ketahui tersebut, saya
ditempatkan dalam sel yang yang berukuran lebih kurang
10 x 12 kaki yang bertutup rapat serta mempunyai ruang
udara yang terlalu kecil. Saya hanya diberikan tuala mandi dan peralatan mandi
yang asas seperti sabun mandi, berus gigi dan ubat gigi.
Tiada selimut diberikan. Saya terpaksa tidur di atas
platform kayu tanpa sebarang alas tidur. Cermin mata
saya juga tidak diberikan ketika itu.
Pada keesokannya saya dibawa ke bilik soal-siasat. Di
dalam bilik soal-siasat tersebut, dua orang pegawai
polis telah berada di situ. Kedua-duanya adalah pegawai
yang menyoal-siasat saya dahulu. Mereka memberitahu
dengan nada tegas bahawa saya ditukarkan ke tempat yang
baru kerana saya tidak beri kerjasama kepada polis.
Saya menafikan dakwaan mereka. Bagi saya, saya telah
menjawab semua persoalan secara terbuka. Mereka
mengancam bahawa mereka terpaksa menahan saya selama dua
tahun selagi saya tidak menceritakan segala-galanya.
Saya tegaskan kepada mereka bahawa saya tidak pernah
terlibat dengan sebarang unsur-unsur ganas sekiranya itu
yang mereka mahukan, dan sukar untuk menceritakan atau
merekacipta perkara-perkara yang saya tidak lakukan.
Selepas itu kelima-lima pegawai penyiasat hadir bersama
dua orang lagi pegawai penyiasat baru dan salah
seorangnya menjadi ketua baru bagi kumpulan penyiasat
tersebut. Bermula dari itu, saya telah didera dengan disoal-siasat
secara berterusan bermula kira-kira 8.00 pagihingga
kira-kira jam 4.00 hingga 5.00 pagi selama 2 hari
berturut-turut. Kami akan bermula semula kira-kira jam
10.00 pagi hingga jam 3.00 pagi hari yang berikutnya.
Saya jelaskan tentang pergerakan seluruh jentera
pilihanraya kecil Lunas. Persoalan mereka lebih tertumpu
kepada persoalan politik dan strategi politik serta
pilihan raya. Mereka minta diperincikan sumber kewangan
yang diperolehi semasa pilihan raya tersebut dan
sebagainya. Tidak ada langsung disentuh tentang
persoalan ancaman terhadap keselamatan negara.
Pihak polis juga cuba kaitkan tentang isu perkauman yang
kononnya cuba dimainkan oleh pihak pembangkang. Saya
menafikan segala dakwaan tersebut dan mereka juga gagal
untuk memberikan atau menampilkan sebarang bukti.
Pihak polis juga cuba kaitkan tentang isu perkauman yang
kononnya cuba dimainkan oleh pihak pembangkang. Saya
menafikan segala dakwaan tersebut dan mereka juga gagal
untuk memberikan atau menampilkan sebarang bukti.
Peristiwa penahanan bas-bas yang melibatkan
pengundi-pengundi hantu telah saya nyatakan secara
terperinci dan jelas kepada pegawai-pegawai yang
menyoalsiasat saya bagi menunjukkan tiadanya sebarang
unsur. kekerasan digunakan, bahkan saya dan
pemimpin-pemimpin parti yang lain telah bekerjasama
penuh dengan pihak polis tempatan bagi mengatasi masalah
tersebut. Pegawai-pegawai polis yang menyoalsiasat saya
kemudiannya mendakwa bahawa pihak polis tempatan di
Lunas telah berpihak kepada pembangkang.
Soal-siasat untuk 15 hari yang pertama adalah intensif
dan berkisar ceramah, lawatan-lawatan pertemuan dengan
pemimpin ASEAN, demonstrasi dan pilihanraya di Lunas.
Soal-siasat hari-hari seterusnya (lebih kurang hari ke
15) langsung tidak menjurus tentang soal ancaman
terhadap keselamatan negara. Soal-siasat selanjutnya lebih berkisar kepada:
1. Sumber kewangan saya. 2. Sumber kewangan parti. 3. Sumber kewangan Datin Seri Dr Wan Azizah bt. Wan Ismail.
4. Cubaan untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin parti.
5. Masalah parti-parti BA yang lain. 6. Rancangan masa depan BA. 7. Sumber kewangan semasa pilihanraya umum 1999 dan
pilihanraya kecil Teluk Kemang. 8. Struktur parti dan Pemuda parti. 9. Persoalan kes Dato? Seri Anwar Ibrahim.
10. Persoalan Umno dan pengaruh Anwar Ibrahim dalam
Umno. Soal-siasat berkaitan dengan perkara 9 dan 10 memakan
masa yang agak lama. Dalam perkara 9 mereka
bersungguh-sungguh menceritakan kepada saya bahawa
kononnya Dato' Seri Anwar Ibrahim memang bersalah dan
mereka meminta saya tidak terus membawa isu Anwar
Ibrahim dalam perjuangan politik saya.
Untuk tujuan tersebut, saya telah ditunjukkan oleh
mereka afidavit DrMunawar Anees dan Mior Razak yang
kononnya mengaku melakukan perbuatan liwat tersebut.
Mereka juga cuba meyakinkan saya bahawa Anwar adalah
seorang agen kepada negara asing, sekali lagi tanpa
mampu menampilkan sebarang bukti yang menyokong
dakwaan-dakwaan tersebut. Mereka menyuruh saya meninggalkan Anwar dan mengatakan
bahawa saya boleh terus berada di dalam parti, tetapi
tidak lagi boleh mengutarakan atau memperjuangkan
isu-isu yang berkaitan dengan pembelaan terhadap
penganiayaan ke atas Anwar. Ini adalah antara isu yang
menjadi fokus utama soalsiasat selama beberapa hari
untuk bahagian terakhir sepanjang tempoh penahanan saya
tersebut. Berkenaan soal-siasat yang melibatkan perkara 10, saya
telah diminta untuk memberikan keterangan secara
terperinci berkaitan tokoh-tokoh Umno yang dilihat masih
menyokong Anwar Ibrahim. la meliputi semua
bahagian-bahagian di seluruh Malaysia.
Sesi soalsiasat berkaitan dengan perkara-perkara 1
hingga 10 ini memakan masa lebih kurang 30 hari daripada
jumlah keseluruhan tempoh soal-siasat manakala
soal-siasat yang berkaitan tentang soal keselamatan
negara berlaku lebih kurang 15 hari sahaja.
Tempoh selebihnya, iaitu lebih kurang 9 hari tidak
berlaku sebarang sesi soal-siasat. Selepas lebih kurang hari penahanan yang ke-30,
tiba-tiba isu baru telah ditimbulkan oleh
pegawai-pegawai polis yang menyoal-siasat saya, kononnya
berkaitan dengan pengakuan seorang daripada teman saya
yang ditahan di bawah ISA, bahawa saya adalah merupakan
punca segala perancangan untuk melakukan perkara-perkara
berkaitan dengan keganasan. Saya ditunjukkan satu kenyataan bertulis kononnya telah
dibuat oleh teman tersebut yang menceritakan bahawa saya
kononnya telah terlibat dalam usaha-usaha menganjurkan
keganasan. Saya merasa pelik isu yang serius ini hanya
timbul selepas 30 hari disoalsiasat. Saya menafikan segala dakwaan tersebut dan telah menulis
secara panjang lebar menafikan setiap dakwaan di dalam
kenyataan tersebut. Tidak sukar untuk saya menjawab
tuduhan tersebut kerana jelas banyak fakta-fakta yang
dinyatakan adalah bercanggah dan tidak masuk akal.
Pegawai penyiasat itu sendiri mengakui banyak
fakta-fakta yang bercanggah di dalam kenyataan tersebut.
Keesokan harinya pegawai penyiasat memberitahu saya
bahawa pihak atasan mereka tidak menerima penjelasan
saya. Saya tetap bertegas dengan kenyataan saya kerana
jelas saya tidak terlibat sama sekali dan saya
mempersoalkan sikap pegawai penyiasat tersebut kerana
semalam beliau sendiri menerima penjelasan saya dan
mengakui kenyataan dari teman tahanan tersebut adalah
bercanggah dan tidak boleh diterima akal.
Beliau (pegawai penyiasat tersebut) memaklumkan kepada
saya bahawa pihak atasan mengarahkan supaya mendapatkan
pengakuan saya, jika tidak saya dilihat tidak memberikan
bekerjasama dan akan ditahan dengan lebih lanjut untuk
tempoh dua tahun. Saya memberitahu beliau bahawa saya
tidak mahu membuat sebarang pengakuan dan tidak akan
menurunkan sebarang tandatangan atau bertanggungjawab.
Pegawai penyiasat tersebut memberitahu saya bahawa
beliau terpaksa masukkan juga 'pengakuan' saya dalam
kenyataan. Pada segala masa yang saya berada di dalam tahanan saya
tidak pernah dimaklumkan secara jelas dan terperinci
tentang sebab-sebab saya ditahan. Sebaliknya, di sepanjang tempoh tahanan dan soalsiasat, saya menyangka bahawa penahanan saya adalah disebabkan oleh kepercayaan politik saya, gerak kerja atau aktiviti penerangan umum kepada rakyat melalui program-program ceramah yang dianjurkan oleh parti-parti di dalam Barisan Alternatif atau kerana ancaman politik terhadap Perdana Menteri, Umno dan Barisan Nasional, dan bukannya sebagaimana alasan-alasan sepertimana yang dinyatakan dan didakwa oleh Ketua Polis Negara berhubung tentang penahanan saya dan teman-teman yang lain di dalam satu sidang akhbar pada 11 haribulan April, 2001. |