Laman Webantu KM2A1: 5319 File Size: 26.2 Kb * |
Antara Konspirasi Syaitan Dan Konspirasi Di Bilik 1923 Hotel Istana By CDB 28/8/2001 4:22 pm Tue |
[Kita simpan komen kita dulu.. tetapi perhatikan konfrontasi polis dan
aktivis yang agak hebat mutakhir ini...
- Editor] Kadang, bukan mudah untuk menghasilkan sebuah tulisan yang menarik dan mampu
memikat perhatian pembaca. Meskipun saya dah mula berjinak-jinak dengan
penulisan di akhbar-akhbar seawal tahun 1980an dahulu, namun bukanlah
sesuatu yang mudah untuk menulis berdasarkan fakta dan maklumat yang benar
selepas bermulanya gelombang reformasi yang dicetuskan oleh DS Anwar pada
September 1998 dahulu sehingga kini. Tidak seperti Wak Amin yang ideanya
tidak pernah kering bagaikan sungai yang mengalir, kadangkala saya sendiri
menjadi buntu dan kering idea untuk menulis. Apatah lagi bila lama tak
menulis, nak mengasah semula minda tu bukanlah semudah mengasah pisau di
dapur. Sebab itu ramai orang berkata bercakap sebenarnya lebih mudah
daripada menulis. Saya mulakan dengan perenggan sebegini sebagai sessi selingan sahaja sebelum
meneruskan dengan adegan seterusnya yang akan menceritakan mengenai
perancangan konspirasi terbaru oleh pemimpin Bolehland terhadap orang nombor
duanya. Nampaknya, untuk kesekian kalinya peluang untuk orang nombor dua
menaiki kerusi nombor satu di negara Bolehland ini akan hanya menjadi mimpi
semata-mata selagi sang diktator berkuasa. Meskipun apa yang saya ingin
dedahkan kali ini mungkin telah diketahui ramai berikutan pendedahan oleh
Raja Komando itu, tetapi saya ingin membawakan versi tersendiri dalam
mencoretkan analisis perkembangan politik semasa di bawah regim Mahafiraun
ini. Tak perlu saya mengulas panjang mengenai pendedahan yang telah dibuat
oleh Raja Komando itu. Nanti jadi cerita basi oleh saya pulak. Kalaupun
mungkin ramai rakyat di kampung-kampung yang tidak berpeluang mengetahuinya
berikutan sekatan ceramah oleh pemimpin 'police state' sekarang ini, maka
saya boleh menceritakan secara ringkas nanti konspirasi terbaru tersebut
untuk pengetahuan rakyat yang belum berkesempatan mengetahuinya.
Saya percaya konspirasi yang diatur kali ini merupakan suatu siri dari
siri-siri cengkaman kuasa sang diktator daripada diganggu gugat oleh mereka
yang mungkin mempunyai niat untuk melakukannya kesan bosannya menunggu
terlalu lama sesuatu yang tidak pasti untuk mendapatkannya. Saya ingin
memetik kembali tulisan saya yang bertajuk 'Sampai Bila Mahathir Mampu
Bertahan' yang disiarkan pada 9 September 2000, bermula dari perenggan ke 13
untuk menyegarkan kembali para pembaca dengan analisis yang saya buat
terhadap percaturan politik Mahathir - Badawi selepas era Anwar.
'Pilihanraya 2004 nanti juga akan menyaksikan tahap penurunan paling ketara dalam kelemahan Mahathir memerintah negara. Era kegemilangan dan angan-angan besarnya akan berlalu pada masa itu. Selain faktor umur yang semakin nyanyuk, beliau juga akan menghadapi cengkaman kuasa yang semakin longgar ke atas orang-orang tertentu dalam kabinetnya. Timbalannya sekarang, si Dollah Badawi yang suatu ketika dahulu pernah menyertai Team B pimpinan Ku Li sudah pasti akan mengasah 'parang tajamnya' untuk menebas leher Mahathir secara diam-diam (Brutus kedua ?) ketika mana melihat Mahathir semakin lemah. Pada masa sekarang, si Dollah Badawi pura-pura bodoh menunjukkan taat setianya seperti Hang Tuah kepada Sultan Melaka, tetapi dalam diam-diam sedang rancak mengukuhkan kedudukannya dengan meletakkan orang-orang tertentu di kedudukan strategik yang bakal mengancam Mahathir. Kenyataaan Raja Komando yang mengatakan Dollah Badawi telah 'membeli'
kesemua menteri-menteri besar menambahparahkan lagi kebimbangan Mahathir
bahawa beliau kini telah dikelilingi oleh musang berbulu ayam, gunting dalam
lipatan dan api dalam sekam yang amat merbahaya. Musang yang berbulu ayam
akan menyulitkan tuan reban untuk mengenalpasti ayam-ayamnya yang betul,
gunting dalam lipatan pula akan mencucuk jari yang mungkin akan berdarah,
manakala api dalam sekam akan membuatkan tapak kaki terbakar tanpa disedari.
Kiasan orang-orang tua Melayu ini benar-benar menjadi igauan yang menakutkan
Mahathir kerana kebimbangannya terhadap 'pisang yang mungkin berbuah dua
kali' dalam kes Anwar dulu tidak akan memungkinkan lagi untuk beliau
mempertahankan kuasanya apabila nanti munculnya pemberontakan atau 'coup de
tat' dalam parti UMNO sekiranya beliau tersilap langkah dalam menangani
pengaruh dan kemaraan kuasa Badawi, yang kini dipercayai giat mengimbangi
kekuatan pengaruh Mahathir sendiri. Kebimbangan Mahathir terhadap Badawi mula dirasakan apabila Badawi mengambil
tindakan yang bersifat 'mala fide' iaitu dalam kes menangani perhimpunan
rakyat oleh pihak polis dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu tidak lama dulu.
Tindakan Badawi mengarahkan polis menggempur rakyat sehingga mendatangkan
kecederaan dan kemarahan ramai telah menjejaskan dengan teruknya imej
Mahathir di kawasan undinya sendiri dan menimbulkan kemarahan Mahathir yang
tidak sedikit terhadap Badawi. Niat Badawi untuk menikam Mahathir dari
belakang dengan cara menimbulkan kebencian di kalangan pengundi-pengundi di
Kubang Pasu dipercayai suatu strategi Badawi untuk menyingkirkan mentornya
itu secara terhormat melalui pilihanraya 2004 nanti. Implikasi segera
daripada percaturan 'bijak' Badawi itu ialah keluarnya beratus-ratus orang
pengundi kawasan Kubang Pasu menyertai PAS dan Keadilan. Kelicikan Badawi
memperalatkan polis untuk mengenakan bossnya inilah menjadi sebahagian
daripada faktor kumulatif yang mendorong Megat Junid menjadi perancang untuk
menyembelih Badawi pada kali ini dengan restu penuh daripada Mahathir
sendiri. Ini belum dikira lagi dengan tindakan budak suruhan Badawi bernama Berahim
Al-Kataki yang menganjurkan perhimpunan Badan Bertindak Melayu pada awal
Februari lalu dimana perhimpunan tersebut telah bertukar menjadi medan
'membelasah' Mahathir secara terbuka oleh beberapa kerat ayam jaguh Badawi
yang dah tumpul tajinya. Mahathir dipercayai mengesyaki bahawa Badawi telah
dan sedang mengatur langkah-langkah mengukuhkan kuasanya dengan cara
menikamnya dari belakang, sama seperti kisah Brutus dan Ceasar yang
ditimbulkan oleh Mahathir terhadap DS Anwar dahulu.
Perkomplotan di belakang tabir Badawi-Daim yang dipercayai bermula sejak
tahun lepas untuk menggulingkan Mahathir semakin mencurigakan kepercayaan
Mahathir terhadap orang nombor duanya itu. Dengan kekayaan super
billonairenya, Daim telah bersekongkol secara sulit dengan Badawi untuk
memaksa Mahathir melepaskan kuasanya menjelang perhimpunan agung UMNO yang
lalu. Beroleh sokongan dan suntikan semangat daripada anak raja yang kalah
perang dari Gua Musang dan sejenis katak yang suka melompat, Badawi dan Daim
mengatur langkah untuk membeli perwakilan dalam perhimpunan UMNO untuk
mengusulkan undi tak percaya terhadap sang presiden. Malang bagi Daim,
percaturannya itu telah berjaya dihidu oleh spy-spy Mahathir menyebabkan
beliau terpaksa dan dipaksa melepaskan kesemua jawatannya dalam kerajaan dan
parti pada Jun lepas selepas bercuti selama dua bulan.
Kemarahan Mahathir terhadap Daim telah disusuli dengan ancaman tindakan yang
keras seperti yang dikenakan terhadap Anwar. Daim telah dipaksa secara
terhormat agar melepaskan kesemua jawatannya di dalam parti dan kerajaan
dengan ancaman beliau akan menerima nasib yang sama seperti Anwar jika
berdegil. Untuk mengelakkan tohmahan ramai, beliau telah diminta supaya
mengambil cuti terlebih dahulu agar segala-galanya kelihatan berlaku seperti
"normal". Sebab itulah sebaik sahaja Daim melepaskan kuasanya, rumah beliau
telah digeledah oleh anjing-anjing suruhan Mahathir dan Daim telah diseret
ke Bukit Aman untuk disoal siasat selama enam jam. Hanya sikap penakut Daim
sahaja yang telah menyelamatkan beliau daripada menjadi mangsa keganasan
Mahathir seterusnya dimana sikap mengalah dan akur yang ditunjukkan oleh
Daim telah membantutkan niat Mahathir untuk 'membelasah' Daim sampai lebam
matanya. Mungkin ramai yang bertanya, kenapa Mahathir tidak terus menyembelih Badawi
selepas mendapat tahu yang beliau bersekongkol dengan Daim untuk
menjatuhkannya? Itulah. Bukan senang untuk menyembelih seekor gajah yang
besar dan mempunyai belalai yang panjang. Silap gaya gembalanya sendiri akan
dihenyak dan dilanyak. Pengalaman tindakan yang 'silap' menyingkirkan Anwar
sebagai salah satu tindakan drastiknya ketika mahu membendung kegawatan
ekonomi pada 1998 telah mengajar Mahathir bahawa adalah bodoh untuk
mengambil langkah dan tindakan yang seratus peratus sama dengan sebelumnya.
Namun dalam masa yang sama beliau mencari orang kepercayaannya yang telah
disingkir oleh rakyat dalam pilihanraya umum lalu, iaitu Megat Junid untuk
mengatur sesuatu yang besar terhadap Badawi.
Tindakan Badawi yang semenjak menguasai polis begitu kerap menggunakannya
untuk mengambil tindakan keras ke atas perhimpuan reformasi turut tidak
menyenangkan Mahathir kerana rakyat dan dunia antarabangsa akan menuding
jari kepadanya meskipun mungkin bukan beliau yang mengarahkan sedemikian.
Bagi Badawi pula, adalah lebih mudah untuknya mencuci tangan dengan niat
untuk menjatuhkan imej Mahathir melalui keganasan polis kerana semenjak kes
DS Anwar, hanya batang tubuh Mahathir seorang sahaja yang menjadi objek dan
sasaran serangan rakyat dalam apa jua tindak tanduknya menangani kesan-kesan
besar penyingkiran Anwar. Sebab itulah, ketika menangkap Ezam dan
kawan-kawannya, Mahathir telah membelakangkan Badawi mungkin dengan niat
untuk 'memperbodohkan' cucu ulamak itu sambil memalukannya. Tentu pembaca
masih ingat bagaimana Badawi telah mengaku tidak tahu menahu dengan
tangkapan yang dibuat itu apabila ditanya oleh wartawan. Selepas beberapa
hari kemudiannya barulah Badawi mengeluarkan kenyataan-kenyataan lucu demi
meng'cover' airmukanya. Inilah sebenarnya permainan catur yang menarik untuk
dilihat antara Badawi dengan bossnya itu.
Dalam tulisan saya yang bertajuk, 'Kalau Tiada Angin Masakan Pokok
Bergoyang' yang ditulis pada 30 April lepas, saya telah menyentuh mengenai
tindakan perletakan jawatan oleh Mokhzani anak kesayangan Mahathir daripada
alam korporatnya. Pada perenggan ke 10 artikel tersebut saya menulis
'Ketika mana Mahathir sendiri akan terancam oleh mereka yang sedang mengintai
peluang untuk menyingkirkannya secara diam-diam (diketuai oleh Badawi -
Daim), kemasukan Mokhzani akan memberikan nafas baru untuk Mahathir
mengukuhkan kuasanya. Saya belum dapat meramalkan portfolio apakah yang
bakal diberikan Mahathir kepada anaknya itu tetapi besar kemungkinan adalah
sebagai timbalan menteri dalam negeri (untuk menjaga polis) atau pun
timbalan menteri kewangan (sebelum dilantik sebagai TPM)'.
Umum mengetahui bahawa Mahathir merupakan seorang pemimpin yang paling sukar
dibaca tindakan dan keputusannya. Banyak tindakan yang telah dibuatnya
sebelum ini kadangkala di luar jangkaan sama sekali. Dengan memegang buat
kali kedua jawatan Menteri Kewangan kali ini, Mahathir mungkin mahu
menyediakan masa yang secukupnya untuk anak beliau Mokhzani tersebut
mempersiapkan diri untuk memegang portfolio yang lebih penting di bawah
ketiak bapanya. Kemasukan Mokhzani ke dalam kabinet nanti juga sebagai
suatu langkah untuk mengimbangi kekuatan dan pengaruh Badawi yang kelihatan
begitu mendadak membina pengaruhnya kesan ketidak-popularan Mahathir
selepas tragedi yang menimpa Anwar. Penyingkiran Daim pada Jun lepas merupakan langkah pertama sang pemburu
menembak dua ekor burung dengan sebiji pelurunya. Namun, burung yang seekor
lagi mungkin belum mengena tepat ke batang tubuhnya sementara rakannya
telah terkulai menjadi bangkai. Tetapi tidak harus dilupakan yang pisau
belati yang tajam masih menunggu untuk memotong leher sang burung.
Ketakutan Mahathir terhadap rencana Daim-Badawi menyebabkan kawan karibnya
itu terpaksa dikorbankan meskipun mereka tersangat rapat hinggakan dunia
menyangka yang Malaysia ini sebenarnya kepunyaan Mahathir-Daim. Perseteruan
senyap Mahathir-Daim sebenarnya lebih kepada berpunca dari akibat perebutan
'harta karun' negara , iaitu perebutan untuk membolot harta dan wang rakyat
sesama mereka. Sebagai seorang yang licik dan cekap dalam menghidu kemaraan saingannya,
Mahathir dalam diam dan 'berhemah' turut mahu mengenakan Badawi.
Pembongkaran isu-isu panas negara semenjak akhir-akhir ini seperti isu KMM
dipercayai juga sebagai sebahagian strategi Mahathir untuk menguji
kemampuan Badawi menanganinya. Ini belum dikira dalam isu Al-Maunah dahulu
yang jelas memperlihatkan kelemahan Badawi untuk menyelesaikannya dengan
cekap sehinggakan terpaksa mengorbankan nyawa dua anggota pasukan
keselamatan. Seterusnya Badawi dimalukan lagi dalam insiden melarikan
kereta polis di Gombak oleh kununnya dua orang perompak yang lari
bersembunyi di belakang tangki air di sekitar kawasan itu. Insiden demi
insiden yang berlaku seakan memperlihatkan suatu susunan yang menarik untuk
menjatuhkan maruah dan kredibiliti Badawi selaku orang nombor dua, sekaligus
menguji kemampuannya dan dalam masa yang sama sebagai amaran yang tersirat
oleh seorang boss agar Badawi jangan cuba nak 'berlagak' atau lawan tokey !
Menelusuri insiden-insiden terancang yang disebutkan di atas, Mahathir telah
memberikan restu penuh kepada budak suruhannya yang begitu taat, iaitu Megat
Junid untuk mengatur satu konspirasi sebagai langkah untuk membendung
kemaraan Badawi sebelum pilihanraya 2004 nanti. Pertemuan di bilik
bernombor 1923 Hotel Istana Kuala Lumpur selepas hariraya haji lepas antara
Megat Junid dan beberapa orang lagi seperti Rahim King, Mejar Azizan, Sarjan
Mejar Che Wahid dan seorang lagi rakan mereka merupakan pertemuan sulit yang
dirancang sebegitu rupa untuk menyekat Badawi dari menjejaki kakinya ke
tangga Perdana Menteri. Kata-kata Megat Junid, 'Kalau Pak Lah jadi Perdana
Menteri jangan harap Anwar akan dibebaskan' semasa membincangkan konspirasi
terhadap Badawi di bilik hotel tersebut mungkin suatu umpan untuk meyakinkan
Raja Komando bahawa jika puak-puak Reformasi inginkan Anwar dibebaskan,
Badawi mesti dihalang dari menjadi PM dan sebagai pilihan akhir, Mahathir
mungkin akan membebaskan Anwar sebagai sebahagian konsesi untuk mengimbang
dan meredakan penentangan orang-orang di kem Badawi.
Dakwaan Megat Junid juga bahawa beliau akan dilantik sebagai Menteri
Kewangan oleh Mahathir mungkin sebagai ganjaran lumayan sekiranya Badawi
berjaya disingkirkan seperti Anwar dahulu. Persoalannya, atas isu apakah
Mahathir akan gunakan untuk menyingkirkan timbalannya pada kali ini? Jika
Anwar dahulu berjaya disingkirkan melalui surat beracun perempuan sundal
bernama Ummi Hafilda, yang membawa kepada pertuduhan l*w*t dan salahguna
kuasa ketika rakyat terpingga-pingga dengan penyingkiran dan tuduhan
tersebut, apakah mungkin Badawi akan menghadapi tuduhan yang sama? Ohh,
tidak sama sekali. Mahathir sama sekali tidak akan menggunakan cara yang
sama seperti yang dibuatnya ke atas Anwar dahulu. Konspirasi syaitan ke
atas Anwar dahulu telah memusnahkan secara total imej dan kredibiliti beliau
bukan sahaja di pandangan rakyat malah ke seluruh dunia. Mahathir sedar
ini semua. Harapan dan niat beliau untuk memusnahkan maruah dan imej Anwar
bukan sahaja gagal dan hancur, malah kerajaan beliau hampir mengalami
kekalahan teruk akibat kemarahan orang-orang Melayu dalam pilihanraya umum
1999 lepas. Saya percaya keengganan Mahathir melantik seorang Menteri Kewangan yang
baru menggantikan Daim sehingga ke pembentangan belanjawan Oktober depan
semakin menguatkan teori bahawa Badawi akan disingkirkan secara terhormat
melalui rombakan kabinet yang bakal dibuat, mungkin selepas hariraya puasa
depan. Badawi mungkin tidak akan ditendang terus dari kabinet tetapi akan
diturunkan pangkat menjadi menteri biasa supaya kemarahan orang-orang Badawi
dapat dibendung dan sekali gus memelihara kedudukan Mahathir dari menghadapi
ancaman yang berada di sekelilingnya. Kredibiliti dan prestasi Badawi yang
kurang memuaskan selepas dilantik sebagai orang nombor dua dan menjaga
polis mungkin akan dijadikan alasan betapa negara perlukan seorang pemimpin
yang dinamik dan cekap dalam mentadbir negara, sebagai jawapan kepada Badawi
yang kelihatan lembab dan bengap itu. Dalam dunia politik, segala-galanya adalah mungkin. Kawan hari ini akan
menjadi seteru ketat pada hari esok. Musuh hari ini mungkin akan menjadi
kawan tidur sebantal pada hari esok. Apa yang terjadi ke atas DS Anwar
bukan sahaja akan kekal sebagai bahan dan tragedi sejarah, malah dapat
menjelaskan kepada kita bahawa Mahathir adalah satu-satunya manusia dan PM
yang paling banyak bermasalah dengan semua orang. Jika konspirasi
menjatuhkan DS Anwar dulu dapat kita katakan sebagai konspirasi yang diatur
oleh bapak-bapak syaitan yang diketuai oleh Aziz Shamsuddin, apakah nama
yang wajar kita berikan untuk konspirasi yang diatur oleh Megat Junid di
bilik nombor 1923 Hotel Istana selepas hariraya haji lepas? Namun disebalik
semua itu, Badawi nampaknya bakal menjadi TPM keempat yang tidak sempat
menjejaki kakinya ke kerusi PM di bawah era 20 tahun pemerintahan yang penuh
dengan kontroversi Mahathir Mohamed. Kalau begitu, saya ingin menasihatkan
Datin Seri Endon agar cepat-cepatlah belajar erti ketabahan dan kecekalan
seperti mana DS Wan Azizah. Hai, kempunan juga wanita berambut 'blonde' itu
untuk menjadi 'first lady' !! Salam hormat dan selamat berkonspirasi !
Cucu Datuk Bahaman
|