Laman Webantu KM2A1: 5321 File Size: 6.2 Kb * |
TJ SP MGG: Tekateki Ucapan Penting Perdana Menteri By M.G.G. Pillai 28/8/2001 7:25 pm Tue |
[PM sudah tidak laku dan dihormati oleh rakyat negara ini.
Semakin lama semakin tiada mereka yang sanggup menjadi penaja
atau menghadiri program ceramah dan makan-minum bersamanya.
Lagipun, setelah dituduh haprak dan malas, siapakah lagi yang
sudi menerima lagi celaan darinya? Apabila NST perlu berkempen
untuk memenuhi ruang kosong majlis itu, ini menunjukkan dia
sudah tidak popular. Ini jauh berbeda dengan program pembangkang
yang lebih menarik sehingga tidak cukup kerusi dan meja.
- Editor] (The Prime Minister To Make An 'Important Speech'!!)
Persatuan Oxford dan Cambridge di Malaysia, seperti juga Persatuan Harvard
Malaysia wujud megah mempertahankan apa yang mereka anggap sebagai satu
martabat kelas atasan dengan menjemput hanya ketua-ketua kerajaan untuk
memberikan ucapan. Perdana Menteri yang ketandusan penonton masakini,
dijadualkan 'membuat ucapan penting' kepada Alumni Oxbridge pada Khamis 30
Ogos 01. Manakah majlis upacara itu? The New Straits Times yang menyedok
berita itu (pada 25 Ogos) tidak pula menyebutnya. Apakah tajuk ucapannya?
Itupun tidak dinyatakan oleh The New Straits Times, walaupun ada sebutan
yang menyebut ucapan itu 'akan menyentuh perkara penting mengenai negara'.
Nampaknya sudah ada masalah dalam hal ini, kerana laporan itu menyiarkan
jemputan kepada segenap lapisan masyarakat sambil memberi penekanan betapa
meja makan untuk tajaan korporat masih terbuka lagi. Satu ketika dulu ada
usaha pegawai tinggi perkhidmatan awam yang sudah bersara bersama para
diplomat menaja jamuan makan menghormati perdana menteri, dan mereka
terkial-kial mencari penaja untuk turut serta. Jabatan perdana menteri
terpaksa masuk campur meminta pelbagai pihak muncul sebagai penganjur.
Itupun diiringi satu ingatan, bahawa para pembeli dan penaja tiket jamuan
tidak menghantar budak suruhan mereka sebagai tetamu perwakilan. Nampaknya
makan tengah hari Oxbridge ini akan mengikut corak dan ragam yang sama.
Adalah satu perkara yang mengaibkan meminta seseorang menghadiri satu majlis
ceramah, walaupun oleh seorang Perdana Menteri, sedangkan topik ceramah itu
sengaja diperam dulu. Bagaimanakah Persatuan Oxford dan Cambridge menjemput
perdana menteri memberikan ceramahnya tanpa mengetahui apa yang akan
dikelentongnya? Dulu, mungkin perkara semacam itu dianggap satu perkara
biasa, tetapi sikap semacam itu sudah lama berlalu. Semakin ramai rakyat
negara yang sanggup ponteng majlis yang menjadikan Mahathir tukang
kelentongnya. Sikap itu bukannya satu tamparan kepada persatuan yang menaja,
tetapi ada kena mengena dengan masyarakat Melayu yang sudah terguris kini.
Mahathir mempunyai masalah besar dengan orang Melayu sehinggakan segenap
lapisan masyarakat itu sanggup menghilangkan diri daripada mendekati
sebarang majlis yang dihadirinya.
Satu ketika dulu, Mahathir dan beberapa penceramah lain dilihat sebagai
sekelompok manusia yang dapat membawa angin kesegaran kepada keadaan hidup
yang semakin lesu, dan ucapannya itu digembar-gemburkan lagi oleh akhbar
perdana. Ada satu peraturan etika hiraki perkhidmatan awam yang diamalkan
selama beberapa tahun, di mana pengerusi Persatuan Harvard merupakan Ketua
Setiausaha Negara, kerana beliau pernah diberikan biasiswa untuk belajar di
sana. Tetapi Persatuan Oxbridge dan Harvarad adalah kelab sosial untuk
membolehkan ahli persatuan bergesel bahu dengan pegawai tinggi kerajaan dan
mendapatkan peluang niaga dan kontrak mega sedaya mungkin. Itu sahaja
peranan mereka selain mendengar ucapan haprak para alumni yang sudah menjadi
perdana menteri ataupun pemimpin jabatan kerajaan. Seseorang terpaksa
berbelanja besar untuk diberikan syarahan sambil melihat gelagat ahli
jawatankuasa yang mengampu-ngampu tetamu kehormat pada hari itu.
Saya mempunyai hak untuk menjadi ahli Persatuan Harvard, tetapi tidak
menggunakan keistimewaan itu. Saya telah menarik diri setelah diberitahu
dengan jelasnya ketika persatuan baru merangka rang undang-undangnya, betapa
hanya mahasiswa yang belajar sepenuh masa dan graduan universiti itu yang
layak menjadi ahli jawatankuasa. Saya belajar di Harvard hanya untuk satu
tahun sebagai 'Nieman Fellow in Journalism', bukannya untuk mendapatkan
ijazah ataupun ijazah lanjutan. Begitulah halnya dengan semua perundangan di
Darulboleh, undang-undang itu sengaja diubah untuk memberikan ruang kepada
pelajar tetap di Harvard memegang kuasa. Oxbridge mempunyai peraturan yang
lebih canggih lagi, cuma pandangannya terhadap perjalanan dunia ini tidak
setaraf dengan kecanggihan itu. Kebanyakan persatuan itu diwujudkan untuk
menonjolkan kegemilangan orang tertentu sahaja.
Ramai orang yang berfikir bahawa Universiti Malaya dan beberapa Universti di
Malaysia yang lain, sepatutnya memainkan peranan yang lebih penting dengan
persatuan alumni yang lebih berkesan. Tetapi, mereka gagal memainkan peranan
ini sehinggakan kerajaanpun memperlekehkan mereka. Adalah tidak mungkin
perdana menteri menyentuh perkara yang mempunyai kepentingan negara yang
besar, kerana dia sudah tidak mempu melakukannya, jika diambil-kira keadaan
sekarang. Malahan, tidak mungkin dia dapat diterima sebagai tetamu kepada
sebarang jamuan makan alumni. Persatuan alumni seperti Oxbridge dan Harvard
menerima sanjungan di peringkat kebangsaan kerana wujudnya rakyat Malaysia
daripada kelas atasan sebagai ahli jawatankuasanya. Kerana itulah perdana
menteri diberi ruang untuk berucap di majlis mereka disebabkan pegawai
tinggi kerajaan yang menganggotainya. M.G.G.Pillai Terjemahan: SPAR-01-1531 Asal: KM2 5315: MGG: The Prime Minister To Make An 'Important Speech'!! |