Laman Webantu KM2A1: 5340 File Size: 25.1 Kb * |
MMMM: B4A - Mana Hilangnya Jalur Itu? By Marhain Tua 30/8/2001 5:28 pm Thu |
[Kalaulah wawasan Mahathir begitu hebat kita sudah lama memetik
buah kejayaannya itu. Tetapi apa yang berlaku semua rencananya gagal
satu-persatu walaupun ia membolot pasaran yang terjamin itu. Hanya
mereka yang haprak sahaja gagal bila diberi peluang emas sebegini
tetapi mengapa mereka dipilih oleh Mahathir juga sedangkan dia begitu
beria-ria melaungkan meritokrasi. Mengapa tidak dikekalkan Tan Sri
Aziz yang mengharumkan nama MAS keseluruh dunia dulu?
Dasar pandang ke Jepun sudah tidak disebut lagi sekarang kerana ia
sudah menjadi rumit dan memalukan sahaja. Jepun kini sedang dilanda
masalah yang terlalu kronik sehingga banyak perdana menterinya angkat
tangan dan tahan cuma beberapa bulan. Sekaligus ini menunjukkan Mahathir
tidak berwawasan kerana memilih Jepun sebagai tauladan kerana disana
politik amat bercampur-baur dengan perniagaan dan keganasan sehingga
bank dan sesiapa yang berani merawat akhirnya akan menjadi spesis
terancam. Bab 4A: Mana Hilangnya Jalur Itu?
Mahathir Mohammad semakin menghampiri gerbang kenyataan hidupnya
betapa segala penipuan dan kelentongan yang direncana selama ini akan
menghasilkan reaksi rakyat marhaen menjelang usia tuanya. Apa juga
yang dilakukannya kini, betapa besarnya sokongan para pengampunya
saperti Aziz Shamsuddin, Zam Mamak Maidin, Rais Yatim dan segelintir
Menteri Besar yang lupa daratan semuanya, Mahathir tidak dapat lari
daripada hakikat hidup bahawa suara kubur yang meneriak namanya
setiap hari, adalah lebih kuat gemanya daripada suara 'Merdeka' yang
diharapkan rakyat akan melaungkannya. Mahathir semakin sedar kini rakyat Malaysia sudah bersekongkolan
tidak kira apa kaumnya, apa agamanya dan apa juga budayanya, laungan
'merdeka' yang mereka laungkan itu tidak akan bergema untuk didengar
oleh Mahathir dan para kroninya dalam BN. Hampir keseluruhan rakyat
tidak kira apa lapisan darjat mereka, tidak akan bersama-sama Mahahtir
melaungkan 'Merdeka' pada ulangtahun ke-44 kemerdekaan negara.
Kalau adapun yang menunjukkan muka pada (apa juga) majlis yang
ditaja untuk tujuan itu, hampir semua muka yang ada di sekelilingnya
tahu betapa mereka di sana hanya untuk berpura-pura sedangkan jauh
di lubuk hati, mereka menyumpah seranah kerana terpaksa menghadiri
majlis itu. Mahathir telah mengamanahkan urusan sambutan 'merdeka' kepada Kadir
Sheikh Fadhil, yang menjanjikan pengagihan 15 juta bendera kepada
rakyat jelata. Tetapi, mana perginya semua bendera itu kerana kajian
rambang yang dibuat menunjukkan bendera kecil yang berkibar dibendera
tidakpun mencecah satu persen? Setelah gagalnya dengan projek itu Kadir
mahu rakyat mengirimkan kad ucap-selamat sempena sambutan hari merdeka,
dan dia mahu melancarkannya hanya dua hari sebelum hari ulangtahun
kemerdekaan kita. Apa juga perkiraan yang digunakan, majoriti rakyat di negara ini
sedar, laungan merdeka kali ini tidak membawa sebarang erti kecuali
sebagai satu laungan daripada hati yang tidak merestuinya dan
'Merdeka' yang dilaungkan itu nanti adalah satu laungan daripada jiwa
yang merintih keperitan hidup dinaungi seorang diktator tua yang
belum lagi mahu mengundurkan dirinya secara terhormat.
Demikianlah, kisah persiapan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang sudah
menjadi kelamkabut dan semakin mengarut. Pada hari Sabtu yang baru
lalu, Mahathir ada di Ipoh untuk bersama kanak-kanak sekolah dimana
dia menyaksikan bendera terbesar di malaysia 'yang dibuat oleh guru
dan murid sekolah dengan belanja mereka sendiri.' Demikian propaganda
di akhbar perdana UmnoBN. Tetapi, semua orang tahu siapa penaja
sebenarnya. Kos sebenar menaja upacara itu yang disebut sebagai 'Perhimpunan
Petriotik Pemimpin Pelajar Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Tahun
2001' menelan belanja sekitar RM800,000. Kerajaan pusat menyumbang
RM500,000 dan bakinya oleh Kerajaan Perak. Sekitar 8,000 pelajar
seluruh Perak dikerahkan menghadirinya, sementara negeri yang lain
menyediakan 80 ahli perwakilan. Bayangkan, latihan yang dibuat
berminggu-minggu dan masa anak-anak sekolah yang dikerah untuk semua
kerja bodoh itu, semata-mata untuk menyedapkan hati seorang diktator
tua. Kalaulah wang sebanyak itu digunakan untuk membeli komputer peribadi
yang berharga RM1,500 sebuah (seperti harga di Hypermarket dan bukannya
melalui Odasaja) kita boleh agihkan sekitar 500 buah komputer di
sekolah yang masih belum dibekalkan komputer itu.
Sayang....sepatutnya itulah projeknya yang ditonjolkan untuk
melancarkan sambutan perayaan kemerdekaan negara. Bukannya membuat
bendera terbesar dan menggelarnya sebagai perhimpunan petriotik. Apa
ertinya perhimpunan petriotik kalau murid sekolah diberikan wang saku
harian sebanyak RM2.00 untuk mereka makan? Nampak sangat Mahathir dan
para kroni 'publisis' beliau ketandusan idea bagaimana mahu terus
menonjolkan ketokohan seorang diktator tua. Apakah mereka masih tdak
sedar, apapun majlis yang akan ditaja, orang akan menyumpah seranah
juga? Mahathir Tidak Ada Meritokrasi Memimpin Negara
Pada ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-44 ini, sejarah akan
merakamkan betapa Mahathir bukan sahaja sudah melepasi tarikh pupusnya,
malahan dia tidak ada meritokrasi memimpin negara ke abad yang baru.
Semua ini bermula apabila rakyat mengetahui bagaimana Mahathir
memenangi pemilu 1999 dulu hasil 'undian' pengundi yang berusia
antara 80 hingga 100 tahun. Yang lebih menarik ialah semua
pengundi ini mempunyai nombor kad pengenalan yang berurutan.
1600001 hingga 1603000 di Kubang Pasu
(Sila lihat: http://www.geocities.com/mindarakyat/2001ogo/2001-2613.htm)
Kisah ini pernah dikemukakan oleh wartawan asing pada malam pilihanraya
30 November 1999 dan disiarkan secara langsung pada jam 2.30pagi
oleh TV3. Sebaliknya Mahathir menuduh Pas juga melakukan perkara yang
sama. Rentetan peristiwa ini, pengundi hantu ditangkap di siang hari oleh
petugas Keadilan di Lunas. Kerana itu beberapa pemimpin Keadilan masih
dipenjarakan tanpa bicara di bawah ISA. Kemudian beberapa pemimpin
UMNO yang dianggap mempunyai pendirian yang mahu memerangi kem
Mahathir yang haprak, sudahpun ditekan sehinggakan ada yang dikenakan
disiplin dan digantung daripada keahlian parti.
Kini, beberapa orang rakyat negara yang dikatakan rapat dengan PAS
sudah pun ditangkap di bawah ISA dan dituduh sebagai kumpulan
militan. Mereka didakwa bersikap ganas mahu menggulingkan kerajaan
setelah mempunyai pengalaman berjihad di Afghanistan. Apakah berjihad
itu bukan sebahagian rukun hidup orang Islam? Kalau mereka yang
memegang senjata di Afghanistan boleh dianggap calon militan di negara
ini, bagaimanakah halnya dengan bekas ATM di negara ini yang mempunyai
pengalaman yang lebih lama bermain senjata api?
Segala gelagat Polis Malaysia menangkap pemimpin muda pihak
pembangkang dengan apa juga tuduhan yang bukan-bukan adalah satu sikap
kurang ajar semata-mata bertujuan melencongkan perhatian kepada
keadaan Mahathir yang sudah tergugat dalam UMNO. dan BN. Semua
penangkapan yang memangsakan pemimpin pembangkang dan barisan pelapis
mereka sebenarnya bertujuan memberi ingatan kepada beberapa pemimpin
UMNO yang disyakki berkemungkinan bersekongkolan menghumbankan Mahathir
daripada pucuk kepimpinan parti. UMNO sudah memimpin negara ini lebih daripada 44 tahun, tanpa melihat
sebarang usaha untuk menjatuhkannya dengan gerakan militan ataupun
rusuhan jalanan. Kenapakah secara tiba-tiba setelah kemerdekan dicapai
selama 44 tahun, rakyat sanggup bangkit dengan segala gerakan kasar
yang didakwa oleh Mahathir? Kenapakah selama Malaysia dihambat oleh
serangan komunis dan kegawatran ekonomi pada awal lapan puluhan
dulu, tidak ada pergerakan militan untuk menjatuhkan kerajaan?
Kenapakah UMNO dan Mahathir terasa mereka tergugat di saat Mahathir
sudah pun hampir melangkahkan satu kakinya ke liang kubur? Kalau
rakyat negara ini boleh melepasi kegawatan ekonomi pada awal lapan
puluhan dulu, apakah mereka tidak mampu menangani kegawaan ekonomi di
awal milinium ini? Oleh kerana Mahathir tidak pernah ikhlas dengan tugasnya, hasil
pemerintahannya kini amat terserlah di mana hampir semua projek yang
diagung-agungkan sudahpun gagal segagalnya. Sebut sahaja setiap projek
mega yang ditaja oleh mahathir dan buka lembaran sejarah untuk
mengikuti kemajuan projek itu dan lihatlah apa keseduhannya? Hampir
semuanya gagal. Kita harap ada penulis muda yang sanggup mencatatkan
semua projek tajaan Mahathir dan catatkan apa kesudahannya. Kita
boleh rakamkan sedikit di sini sebagai bunganya: Litar F1 perlu
membayar royalti RM 50 juta setiap tahun, hanya untuk menaja lumba
kereta bertaraf dunia. Ini adalah projek gajah putih yang terbesar.
Lihat projek Sukan Komanwel, yang tidak menguntungkan, malahan
mencetuskan banyak kerugian. Tetapi di Sydney yang menajanya selepas
Kuala Lumpur, mereka mendapat keuntungan lebih 350 juta Australian
Dollar. Lihat pula projek kommuter dan LRT yang membuatkan setiap
pelancung luar ketawa. Di Eropah yang mempunyai perkhidmatan begini,
dan bikinan sebelum perang dunia kedua lagi, setiap jenis tren dan
pengangkutan transit bolih dinaikki di stesen yang sama. Tetapi, projek
Mahathir di Malaysia pada abad ke-21, memerlukan penumpang menapak ke
stesen lain seandainya mahu menaikki 'Putra' kerana tidak ada kemudahan
pengangkutan yang mesra penumpang. Inilah gambarannya betapa negara ini diperintah mengikut citarasa
seorang diktator yang sebenarnya tidak tahu memimpin. Yang
mengekalkannya di jawatan itu ialah segala tipu helah dan kelentongan
yang dikenakan dengan jentera propaganda yang licin. Jentera
pemerintahan yang haprak ini dikongsi sama oleh barisan pemimpin
pembantu yang korup dan rakus sehinggakan mampu merestui segala tipu
helah yang direncana oleh Mahathir. Sekaligus, Malaysia di bawah
kepimpinan Mahathir sudah menjadi negara pariah yang diluar jangkaaan
rakyatnya yang amat cintakan keharmonian.
- Dasar Pandang Ke Timur Yang Songsang
Oleh kerana rakyat Malaysia terlalu sayangkan negaranya, rakyat telah
menyetujui rencana Mahathir yang memberi penekanan ke arah Timur
dengan meniru kemajuan Jepun dan Korea. Inilah kesilapan terbesar
rakyat negara ini terutama sekali pemimpin UMNO yang sepatutnya
sedar akan sasaran sebenar Mahathir. Dasar pandang ke Jepun adalah satu dasar yang banyak merugikan Malaysia
kerana apa yang dipraktikkan di negara ini berasaskan amalan di Jepun
adalah idea yang disogok oleh Mahathir kepada rakyat. Sedangkan pada
waktu yang sama rakyat disogokkan dengan kemajuan serta halehwal
pertumbuhan negara Barat. Alangkah anih, ketika Malaysia bergantung kepada Jepun dalam
serba-serbi kemajuan negara, pelaburan yang paling besar dan
pengekspotan keluaran negara adalah tertumpu kepada Amerika? Di waktu
yang sama, berapa ramaikah rakyat Malaysia mampu bertutur dan membaca
bahasa Jepun? Sejak Mahathir memainkan peranan aktif dalam politik Malaysia merdeka,
Jepun sudahpun dipimpin oleh lapan belas [18] perdana menteri. Sila
lihat http://www.mizuho-sc.com/english/ebond/politics/prns.html.
Mengikut pengakuan Mahathir sendiri, sejak dia menjadi perdana menteri
dia telah melawat Jepun lebih dari 50 (lima puluh) kali. Malahan,
'Mahathir sentiasa mempunyai ruangan khas setiap bulan di mana dia
memeberi syarahan dan tunjuk-ajar kepada orang Jepun bagaimana mahu
membangun menjadi satu bangsa yang besar'. Kalau kita baca semua
tulisan mahathir kepada orang Jepun, kita boleh nilai otak kelentongnya.
Contoh terbaik terdapat dalam tulisannya yang diberi jodol 'Mahathir's
World Analysis' yang disiarkan secara bersiri oleh Mainichi Interactive
(Sila lihat: http://www.Mainichi.co.jp/english.mahathir/index.html)
Sebenarnya tidak ada yang menarik dalam tulisan itu semua, kecuali
satu-dua yang merupakan idea kitaran semula persis perilaku Mahathir
yang mengitar idea orang dalam pembangunan negara ini. Kerana itu
kebanyakan projek negara hancur lebur dibuatnya. Tetapi, ada satu perkara
yang kerap diulang-ulang di situ yang berkaitan dengan apa yang disebutnya
kelakuan Anwar Ibrahim yang terpaksa disingkirkannya disebabkan
'kelakuan sumbang', sedangkan Anwar terpenjara disebabkan tuduhan palsu
rasuah yang tidak pun mempunyai bukti yang sah. Malangnya Mahathir tidak
sedar sehingga kini, kejatuhan martabat dan marwahnya di Jepun berlaku
selepas dia terlalu galak mengaibkan nama Anwar Ibrahim dalam
tulisannya itu untuk bacaan masyarakat Jepun. Orang Jepun mempunyai satu
budaya unik memberi kehormatan tertinggi kepada golongan 'wira' mereka.
Budaya 'samurai Jepun' memberikan tahap penghormatan yang amat tinggi
kepada pejuang. Anwar dianggap oleh orang Jepun sebagai seorang
pejuang. Apabla Mahathir menulis dengan mengaibkan Anwar, orang Jepun
melihatnya sebagai seorang yang sudah sewel dan sebagai pemimpin
yang sepatutnya sudah lama bersara. Oleh kerana Mahathir terlalu sibuk cuba menonjolkan ketokohannya kepada
masyarakat Jepun dia fikir usahanya itu dapat disebarkan oleh media
Jepun sehingga mampu menarik minat orang Barat terutama sekali orang
Amerika. Mahathir sudah menjadi gila beranggapan bahawa gelagat
memberikan nasihat kepada Jepun, dia boleh menonjolkan dirinya sebagai
pemimpin Asia yang unggul: di mana seorang pemimpin tanah jajahan Jepun
sudah mampu menjadi penasihat kepada kerajaan bekas penjajahnya. Mungkin
kerana itu masyarakat niaga Jepun memberi gelaran 'Asian Malcolm
X' kepada Mahathir. Sudah menjadi sikap dan budaya Jepun, tidak menggunakan perkataan
'tidak' dan 'tidak boleh' secara berterus-terang. Mereka ganti budaya itu
dengan melengahkan masa sehingga pihak yang lain merasa sendiri apakah
jawapan sebenarnya. Inilah yang memerangkap Mahathir dan seterusnya
Malaysia. Oleh kerana Jepun tidak pernah kata 'Mahathir silap ataupun
salah', Mahathir fikir apa yang dicakapnya di Jepun itu diterima pakai.
Jepun hari ini adalah sebuah negara yang mencelaru kerana baru
memasukki ambang reformasi sosial hidup dan perubahan tanggapan ekonomi
mereka. Mahathir pernah menasihatkan Jepun agar membiarkan sesaorang
perdana menteri memegang kuasa lebih lama lagi. Selama dua puluh tahun
Mahathir menjadi Perdana menteri, Jepun sudah mempunyai lebih lima
belas perdana menteri. Ada yang tidak sampai setahun sudah ditukarkan.
Tetapi, begitulah budaya Jepun di mana seorang perdana menteri hanya
mampu bertahan sekita dua tahun sahaja. Parti politik Jepun sedang
mengharungi zaman peralihan. Ketika gempa bumi berlaku di Kobe beberapa
tahun dulu, kerajaan Jepun tidak mampu membantu seluruh rakyat yang
menderita. Tetapi, kumpulan Yakuza Jepun (kongsi gelap) telah berjaya
memberikan bantuan yang diperlukan oleh mangsa gempa. Ini menunjukkan
politik Jepun selama ini adalah laksana suasana perniagaannya yang
dikawal serta dipengaruhi oleh kongsi gelap.
Kalau perdana menteri Jepun yang berkuasa hanya sekitar dua tahun,
masih mampu dikawal oleh kongsi gelap (Yakuza) Jepun, bagaimanakah
kisah Perdana Menteri Malaysia yang banyak dan lama berurusan dengan
perniagaan Jepun? Apakah Mahathir bebas daripada cengkaman pengaruh
Yakuza Jepun? Sepandai-pandai Mahathir menipu dan mengelentong orang Malaysia, Jepun
ternyata lebih bijak lagi menipu Mahathir. Ketika Mahathir melancarkan
projek 'Pandang ke Timur' dulu, penekanannya ialah kepada Jepun. Tetapi
kerana mahu menunjukkan sikap yang tidak terlalu taksub kepada Jepun,
dia beri juga sedikit ruang kepada Korea dan Taiwan, sedangkan
Taiwan mempunyai masalah dengan China.
Generasi lama tentu masih ingat projek 'Dayabumi' yang ketika itu kos
pembangunan sepatutnya tidak melebehi RM 35 juta. Tetapi, bagaimanakah
Dayabumi terpaksa dibeli oleh Petronas dengan beratus juta? Inilah
projek Jepun dan Mahathir bersekongkol menipu rakyat negara ini.
Apabila Mahathir naik mua dengan projek Dayabumi, menggunakan wang
Petronas, dia ulang sekali lagi dengan membina Menara Kembar Petronas
secara berkongsi dengan Ananda Krishnan. Bayangkan tanah kerajaan
dibiarkan Ananda membelinya dan setahun kemudian kerajaan membelinya
semula dengan haraga yang berlipat ganda. Kemudian, Ananda dijadikan
'partner' kepada projek menara kembar itu.
Mahathir Penyelamat Ekonomi Jepun
Pada tahap awal kita mula-mula pandang ke timur dulu, Jepun sedang
dihenyak oleh kegawatan ekonominya. Sikap Malaysia membeli serba-serbi
Jepun telah membantu Jepun bangkit semula kerana banyaknya kemudahan
yang diberikan oleh Malaysia. Pada waktu itu orang Jepun lebih senang
datang ke Malaysia untuk bermain golf selama seminggu dari bermain
satu pusingan 18-lubang di Tokyo. Kemudian, segala yang datang daripada Jepun diberikan kehormatan
seolah-olah ia datang daripada kayangan. Kereta buatan Malaysia yang
menggunakan teknologi Jepun dianggap terbaik. Tetapi, sehingga kini,
Proton masih belum ada lagi 'wind tunnel' untuk menguji kereta buatan
sendiri. Model Proton Perdana adalah model yang ditolak oleh Jepun
kerana adanya 'computer-design-defect' di mana pintunya tidak boleh
dikatup rapat. Kini, rakyat Malaysia terpaksa membeli kereta 'buatan
Malaysia' dengan harga yang lebih tinggi daripada harga yang dijual
di luar negara. Kebanyakan kereta Proton di Eropah terutama sekali di
U.K,. digunakan oleh syarikat kereta-sewa dengan perjanjian dibawa
balik ke Malaysia untuk diganti dengan yang baru. Apabila dibawa
pulang, kereta itu dibaiki semula dan dijual sebagai kereta baru.
Kalau industri kereta tidak mempunyai segala infrastruktur menguji model
baru, bagaimanakah dengan kisah kereta buatan anak watan? Siapakah
sebenarnya yang mahu ditipu oleh Mahathir dengan segala pembohongann ini?
Apakah itu caranya Mahathir mahu memajukan kereta buatan Malaysia?
Oleh kerana Mahathir tidak pernah ikhlas memimpin negara ini, kegawatan
ekonomi di Jepun tidak pernah diberikan ruang yang luas dalam akhbar
Malaysia. Contoh yang terbaik ialah keadaan ekonomi Jepun yang mula merudum
dengan secara menyerlah pada tahun 1993. Itulah waktunya Mahathir
galak melawat Jepun. Pada waktu itu Jepun sedang giat berbalah
mengenai skandal perniagaan dan kerajaan sehinggakan sejak 1993 hingga
2000, jawatan perdana menteri Jepun bertukar tangan sebanyak tujuh
kali (bererti seorang perdana menteri untuk setiap tahun). Kalau kita
lihat kegagalan Jepun ketika itu ia menyangkuti pentadbiran kerajaan
yang mereput sejak 1993 lagi. Pada 1996, Moody's Investor Services
telah menurunkan taraf sistem perbankan Jepun kepada Gred 'D'. Ini adalah
satu taraf yang selalu diberikan kepada institusi kewangan negara
dunia ketiga (sila baca The Ministry: How Japan's Most Powerful
Institution Endangers World Markets oleh Peter Hartcher - Harvard
Business School Press) Punca kegagalan Jepun ialah usaha mereka cuba meniru gelagat Margaret
Thatcher dengan 'The Big Bang'. Margaret Thatcher terpaksa melaksanakan
penswastaan itu untuk melepasi cengkaman sistem 'dole' yang merupakan
rencana sosialisme yang semakin menghenyak ekonomi negaranya. Di Jepun,
sistem ini tidak dapat dijayakan kerana masyarakat Jepun bekerja di
satu tempat sepanjang hayatnya dan secara turun temurun. Pada awal
1990-an, rakyat Jepun sudah penat dengan budaya berkorban untuk negara
sehingga mereka dikejutkan oleh kewujudan Kumpulan Aum Shinrikyo dan
beberapa sami agama mereka. Budaya Berkorban Untuk Negara Kereputan ekonomi Jepun sekarang ini adalah hasil budaya kesabaran
masyarakat Jepun setelah kalah Perang Dunia Kedua dulu. Kerana
menanggung malu selepas dua bom atom digugurukan di Hiroshima dan
Nagasaki yang mengorbankan lebih 240,000 nyawa, Jepun bangkit untuk
menguasai dunia. Selama lebih lima puluh tahun rakyat Jepun bangkit dan
bersabar untuk membina semula nama keunggulan Jepun itu.
Kebangkitan Asianisma Kesabaran yang berpanjangan selama lima puluh tahun itu berjaya
menukarkan sebuah negara yang jatuh miskin disebabkan kekalahan perang
menjadi satu kuasa besar dalam bidang ekonomi. Dengan menerima
penempatan askar Amerika di negaranya Jepun tidak dibenarkan
mengembangkan pasukan tenteranya tetapi disuruh menumpukan pembangunan
dalam industri kereta dan elektronik. Kesannya, Jepun menguasai industri
kereta dunia. Tanpa disedari oleh dunia barat Jepun telah menegakkan semangat
Asianisme. Inilah yang turut mempengaruhi Mahathir sehingga beliau
mahu menaja penubuhan EAEC (East Asian Economic Caucus) yang ditentang
oleh Amerika dan negara barat. Penubuhan APEC (Asia Pacific Economic Coperation) diasaskan pada
1989, dan sejak itu persidangan tahunannya dilaksanakan secara
bergilir-gilir. Pemimpin negara APEC bertemu untuk kali pertamanya di
Seattle di mana masyarakat 'Pacific Community' telah disytiharkan.
Mahathir tidak menghadirkan dirinya pada persidangan itu. Sebabnya
Mahathir jengkel kerana Amerika menolak cadangannya menubuhkan EAEC.
Lagipun Mahathir merasa curiga APEC akan menjadikan ASEAN satu nama
untuk lipatan sejarah sahaja. Sejak persidangan Seattle itu beberapa persidangan tahunan telah
dijalankan di beberapa negara lain dan keahliaan APEC sudah meningkat
daripada 12 ahli pada 1989 menjadi 21 pada 1998. Sehigga bulan
yang lalu, Mahathir masih menyebut akan hasratnya mahukan EAEC
diberikan pentas yang lebih luas. Apabila APEC bersidang di Malaysia pada 1998, Clinton tidak
menghadirinya kerana membantah cara Mahathir mengaibkan Anwar. Kerana
itu dia telah diwakili oleh Albert Gore yang menyebut perkataan
'doimoi' dan 'reformasi' secara terbuka.
Pada 1998 dulu, ekonomi Jepun sudah semakin mereput, dan Mahathir amat
sedar perkara itu. Waktu itu Ryutaro Hashimoto sudah semakin
tercungap dan sedang merundingkan pengundurannya untuk digantikan oleh
Keizo Obuchi, seorang perdana menteri yang amat dipuji oleh Mahathir
secara melangit tingginya. Orang Jepun hairan kenapa. Di waktu yang
sama Mahathir gila sakan di Malaysia mahukan beberapa projek mega
dipercepatkan, sedangkan negara sudah menghadapi masalah matawang yang
dikawal serta kesangsian rakyat apabila pasaran saham semakin
mengecut. Pada saat ini rakyat Malaysia sendiri pun kehairanan kenapa
Mahathir berperangai seperti itu. Pada pertengahan 1998, hutang bertapuk di Jepun sudah mencecah $600
bilion, (USD 770 bilion mengikut cerita orang dalam) Walaupun kadar
faedah pinjaman bank hanya sekitara 1%, bank sudah tidak mampu
memberikan pinjaman. Sebenarnya, iklim perniagaan sudah semakin mencelaru sejak 1996 lagi.
secara tiba-tiba budaya taat setia dan berkorban untuk berkhidmat
kepada negara dan bangsa merudum di Jepun. Rakyat Jepun sudah
semakin tidak senang hati dengan konsep bekerja pada satu majikan
sehingga mati. Semakin ramai yang bertindak bersara dan menarik
simpanan mereka untuk melabur di Malaysia dan Thailand. Di waktu itu
ramai rakyat Jepun yang mengeluarkan simpanan untuk menyertai tabung
pelaburan di Malaysia dalam apa yang disebut sebagai pelaburan wang
panas. Penaja pelaburan wang panas itu ialah Yakuza. Tetapi, dalam
mentohmah kegiatan wang panas di Malaysia, Mahathir hanya menuduh
Soros sebagai penyangak matawang, tanpa menyebut pembabitan kumpulan
lain seperti Yakuza daripada Jepun, Mafia daripada Itali dan Amerika
dan 'Chinese-Triad' daripada Hongkong dan Singapura. Kenapakah
agaknya? Kegiatan semua agensi haram ini adalah satu aktiviti yang diakui
oleh semua kuasa besar kerana inilah juga pertubuhan yang menyokong
dan menjatuhkan pucuk kepimpinan di beberapa kerajaan di rantau ini.
Malahan, kalaupun semua pertubuhan ini tidak mahu disebut, Mahathir
tentu masih ingat lapuran dan pengakuan Daim Zainuddin bagaimana dia
melabur di pasaran saham setiap hari 'untuk belanja dapur.' Sehingga
hari ini tidak ada sesiapa yang dapat mengagak dapur jenis apakah
yang digunakan oleh Daim itu? -Marhaintua-
|