Laman Webantu KM2A1: 5366 File Size: 10.9 Kb * |
TJ SP MGG: Pembelotan Generasi Merdeka By M.G.G. Pillai 3/9/2001 10:39 pm Mon |
[Temasya merdeka telah digunakan untuk menonjolkan keunggulan diri -
bukannya untuk menyatukan rakyat negara ini. Ia telah dicemari dengan
tuduhan-tuduhan yang semakin menimbulkan kemarahan kerana tiadanya
sebarang bukti. Sepatutnya perayaan merdeka dipenuhi dengan aktiviti
dan ucapan yang bercorak berkawan, bukannya berlawan kerana itu hanya
akan menambah geram.... Pentas untuk membuat tuduhan bukannya di
hadapan penonton tetapi di kamar yang ada hakim dan peguam.
- Editor] (The Betrayal of the Merdeka Generation)
Majlis sambutan yang memakan masa sebulan lamanya dan kerap dilangsungkan
tanpa terang-terangan dan dianggap sebagai tidak relevan oleh majoriti
rakyat jelata, berakhir dengan hari merdeka pada 31 Ogos. Inilah sambutan
pertama di hari Jumaat sejak merdeka dirakamkan pada 1957. Kalaulah ada
sebarang kepentingan budaya dan pengertian keramatnya seperti yang dianggap
sejak dulu-dulu, semuanya sudah sengaja dilupakan ataupun diperam sahaja.
Satu ketika dulu kita menganggapnya sebagai lambang kematangan di kalangan
negara yang lain, kini kita anggap semua majlis itu sebagai majlis untuk
ucapan puji-memuji dan perbarisan yang sudah hilang makna sebenarnya sejak
satu waktu yang sudah lama. Yang ternyata pincangnya dalam sambutan
kemerdekaan ialah semangat rakyat menyambutnya. Selama ini kerajaan
beranggapan, kemajuan kebendaan boleh dijadikan pengganti, namun tanpa
kesedaran apa maknanya kemerdekaan itu yang sebenarnya, usaha kerajaan
itupun kantul juga. Tanpa semangat itu Malaysia tidak boleh maju.
Segala perpaduan yang difahami ketika kemerdekaan mula-mula ditegakkan, kini
sudah menjadi satu fiksyen. Ia sudah tidak lagi membawa sebarang makna
disebabkan terbelahnya anggapan rakyat jelata sehingga berlaku perbalahan
antara anggapan budaya dan persekitaran politiknya. Satu ketika dulu
perbezaan pendapat wujud disebabkan perkauman, kini perbezaan itu sudah
membarah disebabkan perbezaan bahasa sesuatu bangsa dan fahaman
kedaerahannya yang digodam lagi oleh sikap sambil lewa.
Orang-orang seperti saya, yang masih muda remaja ketika hari keramat pada
1957 dulu, kemerdekaan menyedarkan kami akan kematangan hidup, kisah
penjajahan yang penuh ketuanannya dan satu cara hidup sebagai rakyat kepada
sebuah negara yang merdeka. Sambutan kemerdekaan pada tahun ini menyerlahkan
kedurjanaan politik sebuah negara. Segala harapan kami ketika Malaya (dan
kini Malaysia) mencapai kemerdekaannya sudahpun lenyap kini. Serba-serbi
dikaitkan kepada wang ringgit, dan sesiapa yang masih memaut idealisme itu
sudah dianggap seorang yang gila. Apa yang menyatu-padukan negara pada 1957,
segala kepercayaan dan harapan akan hala-tuju yang dikongsi bersama sudah
lenyap sama sekali. Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang telah merajai negara ini walaupun
sebagai Perdana Menteri mesti sanggup menerima segala cemuhan terhadap
segala kegagalan ini. Ketika mula-mula menjawat jawatannya itu dia tentu
mempunyai segala niat yang suci. Tetapi dia tidak dapat memahami kesediaan
Melayu yang masih terpaut kepada ketenangan hidup pada abad ke-18 dulu, dan
belum bersedia untuk melompat membabi-buta ke kancah abad ke-20.
Ketika dia memarahi orang Melayu dengan segala pendapatnya, dan melakukan
segala kesilapan untuk membetulkan budaya yang difikirkannya sudah terlalu
purba, terutama sekali dengan cara mengaibkan Anwar Ibrahim yang pernah
berkhidmat dengan setia kepadanya, orang Melayupun naik getik dan berpaling
membelakanginya. Sambutan merdeka masa kini digunakan sebagai pentas untuk
meraih sokongan orang Melayu semula, dan tidak mempunyai tujuan yang
lainnya. Orang yang membuat bendera telah meraih keuntungan mereka, orang
yang memberikan perkhidmatan mengagihkan bendera itupun membuat keuntungan
juga. Tetapi, segala temasya dan majlis untuk mengibarkan bendera itu sudah
tidak membawa sebarang makna kerana ia mencetuskan semakin banyak tanda
tanya dan semakin banyak kemarahan yang terus membara.
Sebagai alasan, UMNO kini menyerang PAS untuk dijadikan bahan politik
mereka. Ini merupakan satu pedang yang mempunyai dua mata, seperti yang
pernah dialami oleh Shah Iran sebelum kejatuhannya. Untuk meraih simpati dan
sokongan orang Melayu, UMNO mahu menonjolkan diri sebagai sebuah parti yang
lebih kuat berjuang berlandaskan ajaran Islam berbanding PAS. Sementara itu
PAS hanya perlu mendakwa UMNO tidak Islamik untuk memperlekehkan UMNO.
Ketika negara melangkah memasuki ambang baru tahun kemerdekaan segala amalan
praktikal politik tidak lagi menjurus kepada mengekalkan konsep negara yang
pelbagai kaumnya tetapi mahu menonjolkan ketuanan UMNO dalam negara yang
berpandukan ajaran Islam. Segala konsep kepelbagaian kaum dan idealisme itu
sudah lenyap di angin lalu. Jadi, hari merdeka adalah satu lagi hari yang digunakan oleh kerajaan
Mahathir untuk melaungkan kepada seluruh dunia betapa budaya sesuatu
masyarakat itu boleh digantikan dengan masyarakat yang mementingkan ekonomi
negara tanpa mementingkan budaya bangsanya dan memadai dengan segala
kerakusan dan kemajuan kebendaan. Janji-janji manis adalah merupakan amalan
harian. Hanya tanggapan UMNO yang boleh diterima pakai sedangkan pendapat
orang lain boleh dibiarkan tersadai. Kerana itu Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah negara yang ketandusan
budaya dan ketiadaan kepakaran untuk menjadi sebuah negara yang berdaulat.
Kumpulan minoriti di Malaysia adalah rakyat Malaysia itu sendiri. Mereka
teraba-raba mencari hala-tuju sebagai rakyat, sebenarnya. Kerajaan membuat
segala keputusan untuk rakyatnya, selalunya tanpa memikirkan kesannya.
Sesiapa yang berani mencabar keputusan kerajaan itu akan menerima padahnya.
Dua dekad sudah berlalu di mana idealisme pemerintahan itu tertumpu kepada
nafsu-nafsi seorang Perdana Menteri yang menggunakan teori politik
menonjolkan UMNO sebagai asas ketuanan Melayu yang dengan cara membungkusnya
dalam Dasar Ekonomi Baru, dan kini membawa bahana yang menyebabkan UMNO
diperlekehkan oleh orang Melayu. Semua itu tidak dapat dikekalkan lagi,
betapapun dicuba segala tipu-muslihat keintelektualan untuk mengekalkannya.
Tambahan pula peniaga Cina sudah tidak lagi berminat untuk mengekalkan
ketuanan UMNO itu. Kepintaran Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra, telah memberi
keistimewaan kepada masyarakat India dan Cina seawal 1957 dulu untuk menjadi
rakyat negara ini. Sedangkan enam tahun sebelum itu, mereka tidakpun
mempunyai peluang itu. Begitu juga dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang
menikmati kemudahannya dua tahun kemudian. Singapura telah menganggotai
Malaysia dalam usaha mewujudkan satu negara yang mempunyai pelbagai kaum,
puak, budaya dan agama. Tunku Abdul Rahman memang memberikan pandangan yang
serius kepada konsep penyatuan bangsa itu dan telah berbincang dengan semua
rakan politik kaum lain untuk menegakkan asas fahaman itu.
Satu kejutan berlaku pada Mei 1969, apabila UMNO cuba mengekalkan ketuanan
Melayu dengan melancarkan satu bentuk rampasan kuasa terhadap masyarakat
Melayu. Tujuannya ialah untuk menyisihkan kaum Cina, India dan
bukan-Bumiputera menjadi kaum yang terus tertakluk kepada ketuanan Melayu
secara politiknya, sambil menentukan UMNO akan terus memimpin masyarakat
Melayu. Yang menjadi mangsa ketika itu ialah perhubungan kaum. Inilah yang
memecahbelahkan masyarakat Cina daripada masyarakat Melayu. Orang India yang
sepatutnya berkecuali ketika itu ataupun memihak menyebelahi orang Melayu,
telah memilih untuk memihak kepada orang Cina. Kesannya mereka terpinggir
dalam dasar ketuanan negara. Dasar Ekonomi Baru dan Ketuanan Melayu tidak
memberi sebarang penonjolan kepada keperluan masyarakat India. Sejak 44
tahun itu telah meminggirkan orang India sama sahaja dengan nasib yang
merudung malang mereka ketika zaman penjajahan British dulu. Keadaan ini
semakin menghenyak setiap orang India itu apabila ia tertipu dengan
kepercayaan diri betapa ia sudah mempunyai kuasa politik kerana menganggotai
Barisan Nasional, sedangkan sebenarnya dia tidak ada sebarang kuasapun.
Tanpa sebarang unsur budaya dan kepakaran yang dilumuri oleh ketaksuban
menjahanamkan segala jentera kerajaan, menyebabkan hilangnya sebarang
perasaan kegembiraan untuk menyambut 31 Ogos. Segala kesalahan tidak pernah
diperbetulkan, dan tidak ada tanda untuk membetulkannya.
Pertumbuhan ekonomi dan industri negara menjadi satu macam dongengan, yang
mendodoikan nafsu serakah mencipta yang terbesar, terbesar, terdalam dan
tersingkat untuk dirakamkan dalam buku catatan yang menggambarkan keutuhan
Ketuanan Melayu, dan kerajaan BN pimpinan UMNO. Sebenarnya itu semua adalah
satu usaha untuk membuktikan kepada rakyat jelata bahawa mereka mempunyai
hak moral untuk memerintah. Untuk memburukkan keadaan, apabila ketuanan Melayu itu menghilang, UMNO
menjadi gelabah untuk menggunakan Islam dan cuba menonjolkan agenda
Islamiknya. Inilah yang telah menjebak UMNO dan memerangkapnya ke tangan
orang yang lebih berpengetahuan terutama sekali mereka dalam PAS. UMNO telah
cuba membungkus kembali konsep ketuanan Melayu itu dengan warna teokratik
sejagat, tetapi PAS tidak perlu berbuat banyak usaha untuk
mengkucar-kacirkan sebarang usaha haprak UMNO itu. Untuk membuktikan PAS
bersalah, UMNO menjadi lebih condong daripada PAS dalam menonjolkan isu
amalan Islam. Dengan cara itu, tanpa disedarinya UMNO telah memusnahkan
segala janji-janjinya untuk menegakkan satu negara Malaysia yang pernah
dibayangkannya. PAS bertindak selamba. Terpulanglah kepada UMNO, dan
bukannya PAS yang perlu menunjukkan watikah keIslamannya.
Sambutan ulang tahun merdeka kali ini, mungkin merupakan yang paling haprak
pernah dilihat sejak 20 tahun yang lalu. Inilah pertama kalinya idealisme
Malaysia itu tidak pernah menjadi agenda utama para pemimpinnya. Tetapi,
mereka tidakpun mahu mengakuinya. Masyarakat Melayu sudah naik getik,
masyarakat Cina memang sudah lama jelek, masyarakat India pula cuba
mendapatkan apa yang dinafikan kepada mereka selama ini. Rakyat Sabah dan
Sarawak membincangkannya apakah UMNO dan BN betul-betul diperlukan untuk
mereka terus hidup. Kerajaan tidakpun mempunyai sebarang dasar yang khusus
menjelang sambutan hari merdeka tahun ke-44 ini, untuk membuktikan mereka
yang bersalah. Segala tipu muslihat terus dicanang untuk menyorokkan
kebenaran. Namun, kebenaran itu masih tidak dapat disungkup lagi.
M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR-01-1561 Asal: KM2 5360: MGG: The Betrayal of the Merdeka Generation
|