Laman Webantu KM2A1: 5370 File Size: 5.2 Kb * |
TJ SP 263: AP - Kurangnya Kibaran Bendera di Kereta By Pauline Jesudason 4/9/2001 6:10 pm Tue |
[Rakyat sudah mula memprotes secara senyap-senyap dengan tidak mengibar
bendera sehingga kerajaan Umno/BN merasa kecewa dan marah tidak tentu hala.
Ini mencemarkan lagi perayaan tersebut kerana asyik rakyat yang dipersalahkan
setiap ketika. Bayangkan rakyat masih tidak bebas dan ditangkap selepas menggunakan dataran
yang kununnya melambangkan merdeka di hari ulangtahun merdeka. Yang bebas
di negara ini hanyalah pihak tertentu sahaja sehingga mereka boleh lepas
walaupun mencederakan orang-ramai atau membogelkan rakyat.
- Editor] Kurangnya Kibaran Bendera di Kereta
(Fewer Malaysians Mount Flags On Cars)
Oleh: Pauline Jesudason Sambil mengayuh sebuah basikal tua yang mungkin sama baya dengan
usianya, Lim Ah Piew, 52 tahun, menahan panahan suria sambil
berlegar-legar mengedarkan tong gasnya - sambil memperagakan dua
bendera kecil yang berkibar megah di kepala basikalnya.
'Saya berusia lapan tahun ketika itu, namun saya masih ingat laungan
merdeka,' kata Lim. 'Saya mahu orang lain mengingatinya apabila
terlihatkan bendera ini, dan merasakan apa yang saya rasa.'
Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah mengharapkan semua orang
adalah laksana Lim, megah dengan peristiwa kemerdekaan negara pada
1957, setelah dijajah oleh British selama 150 tahun. Selepas 44
tahun, Malaysia telah menjadi salah sebuah negara yang moden di
Asia. Rakyat Malaysia telah digesa mengibarkan bendera seperti yang
dilaksanakan oleh Lim. Bendera itu boleh didapati secara percuma di
stesen minyak, bank dan pintu tol, dan memasangnya di kereta untuk
menyambut hari ulangtahun kemerdekaan pada Jumaat lalu. Tidak ramai
yang mengibarnya dan ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai
tanda bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Mahathir selama dua puluh
tahun, sudah tidak lagi popular seperti dulu.
Kalau dilihat kenderaan yang lalu-lalang di setiap ceruk jalan,
tidak sampai satu kereta bagi setiap 10 buah yang memasang bendera
Malaysia untuk menyambut kemerdekaan negara.
Keadaan begini tidak pernah berlaku sebelum ini. Ketika ekonomi
negara meletup dan merudum pada 1997, rentetan krisis kewangan Asia,
kerajaan telah membuat laungan serupa. Bendera kecil dipasang di
setiap kereta sebagai menyahut seruan kerajaan betapa negara sedang
terancam. Pada tahun ini, Jalur Gemilang berbentuk mini tidak menarik hati
lagi. Ramai rakyat negara ini mengaitkan lambang negara itu dengan
kerajaan Mahathir, yang sudah kehilangan populariti sejak beliau
mengaibkan Anwar Ibrahim, pada 1998 dan ketika negara dilanda krisis
kewangan. Pemecatan Anwar dan pemenjaraan yang menyusul selepas itu telah
mencetuskan himpunan demonstrasi jalanan yang tidak pernah
disaksikan selama beberapa dekad. Namun, di sebalik kemaraan pihak
pembangkang dalam arena politik, kerajaan Mahathir masih berjaya
mencengkam kuasa dalam pemilu 1999. Ketegangan di jalan raya sudah aman selepas itu. Tetapi selepas
majlis perbarisan pada Jumaat lalu, beberapa aktivis pembangkang
telah berkumpul di Dataran Merdeka, telah diambil gambar mereka oleh
pegawai polis yang berpakaian biasa, ketika mereka menyanyikan lagu
kebangsaan negara. Ketika bersurai mereka melaungkan perkataan 'Reformasi!' jeritan
keramat kumpulan reformasi - para pemandu menekan hon kereta tanda
sokongan mereka. Polis telah menahan sekurang-kurang tiga orang
pembantah itu. 'Mengibarkan bendera adalah satu lambang patriotisme di negara ini,'
kata Hatta Ramli, seorang pemimpin PAS.
"Sebaliknya, ramai rakyat memberitahu saya, mengibarkan bendera
adalah umpama menyokong Mahathir,' kata Hatta. 'Rakyat yang enggan
menyokong kerajaan yang memerintah telah membuat pilihan tidak mahu
mengibarkan bendera.' Mahathir telah mengulang cerita zaman penjajahan dulu sebagai zaman
rakyat menjadi hamba abdi dan beliau mahukan generasi muda yang
semakin galak menyokong pembangkang agar mengingati pengorbanan
kumpulan generasi lama. Menteri Pelancongan Abdul Kadir Sheikh Fadzir menggalakkan
pemasangan bendera dengan berkata 'mengibarkannya bererti rakyat
tidak akan mudah dipengaruhi oleh anasir luar'.
Pelbagai usaha dilaksanakan sebagai bahan perangsang seperti
pembikinan bendera terbesar di dunia, yang paling selalu dikibarkan,
dan yang paling berwarna-warni dilukis oleh anak-anak sekolah.
Tetapi, Mike Selmaithan, 25, mencemuh idea yang mengatakan kegagalan
mengibarkan bendera adalah tanda kurang patriotik seseorang.
'Itu mengarut,' kata Mike. 'Semangat patriotisme adalah lebih
bermakna daripada itu. Saya tidak fikir anda akan lebih patriotik
walaupun anda berkeliaran dengan Jalur Gemilang dicat di muka anda.'
Terjemahan SPAR-20 Asal: http://www.washingtonpost.com/ac2/wp-dyn/^
A23270-2001Aug31?language=printer atau
KM2 5352: Fewer Malaysians Mount Flags on Cars |