Laman Webantu KM2A1: 5372 File Size: 8.6 Kb * |
TJ SP 264: KQ - Selepas Suhakam, Semua Mata Tertumpu Kepada Badan Kehakiman By Kim Quek 4/9/2001 6:06 pm Tue |
[Soalnya sekarang polis sudah melakukan kesalahan kerana mengganas
dalam meleraikan perhimpunan. Apakah salahnya motosikal dan kereta sehingga
perlu dijahanamkan? Kalaulah Suhakam berbohong dalam lapurannya kerajaan
perlu mencabarnya di mahkamah. Tetapi nampaknya kerajaan tidak berani dan
sengaja tidak memperdulikan lapuran itu. Ini menunjukkan polis Mahathir
memang bersalah dan INGIN TERUS melakukan keganasan. Polis tidak berhak
melakukan keganasan kerana itu bercanggah dengan perlembagaan. Jangan lupa
lapuran Suhakam itu diketuai oleh bekas hakim besar Malaya....
Sekarang terpulanglah kepada badan kehakiman untuk menentukan keadilan jika
tidak polis akan terus mengganas tanpa dikenakan hukuman.
- Editor] Selepas Suhakam, Semua Mata Tertumpu Ke arah Badan Kehakiman
(After Suhakam, All Eyes On Judiciary)
Ketua Polis Negara (IGP: KPN) telah memperlekehkan satu laporan yang lengkap
daripada Suhakam, mengenai keganasan polis ketika menangani himpunan aman
rakyat. Laporan itu merakamkan pendedahan beberapa orang saksi termasuk beberapa
orang pegawai polis, yang mengambil masa 4 bulan dan mengandungi pelbagai
bukti yang tidak dapat dinafikan lagi mengenai keganasan dan salahguna kuasa
polis yang menjadi alat mengganyang dan memusnahkan kumpulan pembangkang.
Norian Mai hanya mampu menyatakan: 'Saya tidak memberi perhatian kepada
laporan itu kerana ia bayas dan tidak betul, itu sahaja.' Dia tidak mahu
mengulas lanjut untuk menyokong pendapatnya; dan enggan menjawab sebarang
soalan daripada kumpulan wartawan.
Keangkuhan semacam ini apabila datang daripada seorang pegawai tertinggi
polis sebuah negara yang bergelar demokrasi sebenarnya mengundang
pemecatannya dengan segera, dan sepatutnya mencetuskan satu krisis politik
yang bukan seharusnya menyebabkan kejatuhan menteri yang bertanggung jawab
dengan kegiatan polis (di Malaysia tugas itu ditanggung oleh Timbalan
Perdana menteri dan menteri Halehwal Dalam Negeri), malahan juga seluruh
kerajaan. Tetapi di Malaysia perkara ini dipandang remeh sahaja. Kita tidak
membaca ataupun mendengar sebarang protes dan bantahan daripada rakyat
jelata dalam akhbar ataupun TV, kerana semua itu adalah dikawal ketat oleh
parti yang memerintah dan hanya menyiarkan berita yang condong mengampu
mereka sahaja. Seseorang mungkin mahu bertanya: Bagaimanakah seorang KPN boleh menjadi
begitu berkuasa sehingga mampu memperlekehkan satu laporan yang sungguh
bermakna yang menunjukkan bagaimana polis telah mencemar perlembagaan
negara? Jawapannya amat mudah: KPN ini hanya melaungkan apa yang sepatutnya disebut
oleh tuan besarnya, perdana menteri negara ini. Sebelum itu Perdana Menteri
Mahathir telah memperlekehkan laporan Suhakam itu sebagai dipengaruhi oleh
anasir barat dan tidak perlu diberikan perhatian tanpa memberikan alasannya.
Malahan Mahathir telah memuji polis Malaysia, yang dianggapnya berlembut
berbanding tindakan polis Itali yang bertindak ganas terhadap penunjuk
perasaan. Dia telah bertindak kurang ajar dengan mencadangkan agar polis
Malaysia diberikan kuasa untuk bertindak ganas seperti polis Itali.
Sebenarnya Perdana Menteri telah sengaja tidak menyebut betapa polis di
Itali itu telah menggunakan kekerasan untuk sengaja mengagalkan satu
persidangan antarabangsa. Para penunjuk perasaan itu telah membakar kereta,
memusnahkan kedai, merompak dan menyerang dengan ganasnya para anggota
polis. Sebaliknya di Malaysia, himpunan rakyat yang menunjuk perasaan
bergerak ke tapak perhimpunan yang merupakan milik persendirian untuk
berhimpun, menyanyi lagu dan menari tarian budaya, persis perkelahan
keluarga, apabila mereka disekat dan dipukul dengan ganasnya oleh pasukan
gerak-gempur pencegah rusuhan. Pasukan polis ini telah memecahkan cermin
kereta orang awam, menghayunkan belantan kepada mereka, melepaskan tembakan
gas pemedih mata terhadap orang awam yang tidak berdosa, menangkap dan
mendera para peserta. Apabila Perdana Menteri menganggap polis Malaysia layak bertindak ganas
dengan merujuk kepada dua jenis tunjuk perasaan yang berbeza ini,
menunjukkan betapa hapraknya fikiran beliau sekarang ini. Selain mendedahkan
ketiadaan logik dalam pemikirannya lagi, pendapatnya itu sudah menunjukkan
betapa tahap pemikirannya sudah berbelit dan dipalit keganasan yang tidak
ada tepiannya. Kalau fikiran semacam itu muncul daripada rakyat marhaen,
bolehlah kita meredakan diri kita dulu. Tetapi, apabila seorang pemimpin
negara yang mempunyai begitu banyak kuasa autoktratik seperti Mahathir
menyuarakannya, ia adalah satu pertanda bencana yang melanda negara.
Mereka yang merasa lega membaca laporan Suhakam dan mengharapkan kemunculan
semula hak asasi manusia di Negara ini, menganggap cemuhan terbaru KPN
terhadap Laporan itu sebagai satu bencana. Suhakam memang merupakan seekor
harimau yang tidak bergigi disebabkan sifat kewujudannya, yang hanya boleh
merakamkan pencabulan hak asasi manusia tanpa mempunyai sebarang kuasa untuk
memerah bukti dan mendera para pesalah. Dengan keceluparan PM dan KPN,
peranan Suhakam sebagai pelindung hak asasi manusia sudah tercemar menjadi
satu institusi yang indah khabar daripada rupa.
Namun demikian, walaupun Suhakam tidak mempunyai kuasa untuk mempertahankan
hak asasi manusia (bukan disebabkan kesilapan dan kegagalannya) negara ini
harus merakamkan penghargaan terhadap cara anggota Suhakam menjalankan tugas
mereka. Apabila disogokkan dengan sikap kurang ajar terhadap kedaulatan
undang-undang oleh pemimpin terulung negara dan ketua pegawai polis negara
ini, tentu kita merasa hambar memikirkan perkara ini. Tentu kita merasa
hampa dengan usaha kita mengikut saluran Perlembagaan melakukan perubahan
kepada pemerintahan negara yang telah mewujudkan undang-undang zalim, untuk
digunakan oleh seorang pemerintah yang semakin tidak waras tidak berhati
perut. Inilah yang membolehkan beliau mengamalkan segala kedurjanaan dan
penggunaan undang-undang zalim sehingga membiarkan amalan itu menyusup ke
bawah untuk diserapi oleh setiap lapisan jentera kerajaan. Kesannya
membuatkan para petugas jentera kerajaan itu turut sama bergelumang dosa
kerana mengekalkan kuasa politik parti yang memerintah. Tercetuslah suasana
menjijikkan di mana rakyat jelata dinafikan hak bersuara dengan bebas dan
berhimpun secara aman. Setiap pilihanraya dijadikan satu temasya di mana
parti yang memerintah melakukan putarbelit dan tipu daya sebaran media,
untuk mampu memerintah terus dan mencengkam kuasa sehingga musnah secara
tersendirinya. Antara segala keadaan yang menghampakan itu, masih wujud satu cahaya yang
semakin jelas pancarannya. Inilah badan kehakiman negara di bawah pimpinan
seorang Ketua Hakim Negara yang baru. Sudah nampak semakin jelas kemunculan
kuasa bebas badan kehakiman. Beberapa penghakiman yang dikeluarkan menepati
piawaian yang diharapkan oleh rakyat jelata, walaupun ada kerisauan di pihak
Penguasa terhadap penghakiman semacam itu.
Semua pandangan sedang tertumpu kepada Mahkamah Persekutuan. Sebagai
mahkamah paling tinggi di negara ini Mahkamah Persekutuan akan bersidang
mendengar rayuan para aktivis terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang
mengsahkan penahanan mereka mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 10
tahanan ISA telah mendedahkan dalam affidavit bersumpah mereka betapa KPN
telah berbohong apabila beliau menyatakan penangkapan orang tahanan itu
adalah disebabkan pembabitan mereka dalam mengumpulkan senjata untuk
melancarkan satu pemberontakan bersenjata.
Keputusan persidangan itu nanti akan memberi petunjuk apakah badan kehakiman
negara sedang meniti jembatan usaha untuk menegakkan kembali martabat
perundangan negara. Ini akan menjadi satu panduan apakah masih ada harapan
untuk melaksanakan satu perubahan kepada pemerintahan negara ini melalui
saluran kedaulatan Perlembagaan.
01 September, 2001. Terjemahan: SPAR-08-009 Asal: KM2 5354 After Suhakam, All Eyes On Judiciary |